“Bos, ni surat berhenti kerja saya…”
Usahawan di luar sana mesti pernah hadapi situasi yang mana tiba-tiba je kakitangan bagi short notice nak berhenti kerja. Tak ada ribut, tak ada angin tiba-tiba surat sampai depan mata. Tak habis dengan tu, masing-masing bermasam muka pulak. Membawang tu jangan cakap lah, asyik salahkan orang tu, orang ni, asyik tunding jari sana sini. Betul betul?
Dalam sesebuah organisasi dah tentulah ada bos dan ada pekerja, ada ketua dan ada pasukannya serta konsep perhubungan dua hala antara kedua-dua pihak ini sebenarnya yang menentukan perhubungan majikan dan pekerja.
Benda paling penting dalam organisasi adalah bermula dari ketua. Ketua ibarat nakhoda kapal, yang akan mengemudi kapal dan anak kapal menuju destinasi yang sama dan menghadapi gelora dan ombak badai. Majikan adalah ketua. Setiap team dalam sesebuah department ada ketuanya sendiri. Setiap kakitangan tu juga adalah seorang ketua.
Bagi seorang majikan mereka perlu tahu 5 kunci utama dalam membina hubungan majikan-kakitangan yang baik:
1/ Kredibiliti
Dah tentu lah dalam office atau mana-mana syarikat, kredibiliti ketua diukur dari hasil tugas yang dibuat oleh dirinya dan pasukan. Kadang-kadang kita tengok ada sesetengah majikan atau leader yang orang kata ‘kekwat’ atau sombong dengan pekerja bawahan. Ada ketua yang hanya pandai mengarah, dan pandai menyuruh serta tidak menjadi contoh tauladan yang terbaik. Ada sesetengah majikan/ketua yang nak dapat kehormatan dari team, mereka menggunakan sentimen ‘fear’ dan perasaan takut dan garang untuk hadirkan rasa hormat dari pekerjanya. Malangnya, mentaliti seperti itu lah yang menjadi punca pekerja tidak menghormati ketuanya malah mereka lagi rasa menyampah untuk menghormati bos mereka. Lama-lama orang akan tak suka dan menjurus kepada benci dan itu adalah punca kepada keregangan hubungan antara pekerja dan ketua.
2/ Knowledge (Ilmu)
Ilmu ni sangatlah penting bagi setiap ketua dalam mendapatkan kehormatan dan kenyakinan pekerja terhadap kita. Betul! Majikan sepatutnya melantik pekerja yang lebih bijak dari mereka supaya mereka boleh bantu untuk mudahkan kerja dan tugasan harian. Tetapi, kalau kakitangan lebih pandai dari majikan, jangan lah pula majikan buat-buat pandai, dan kakitangan pula nak menyombong meninggi diri. Sama-sama belajar dan melengkapi antara satu sama lain bagi mengekalkan hubungan yang baik antara satu sama lain.
Mungkin ada ketua yang tidak mahir dalam sesuatu bidang, tapi majikan seharusnya pastikan mereka zero ilmu. Sekurang-kurangnya mereka boleh menguasai kemahiran C.M.D. (Control, Manage, Decide); mengawal, mengurus dan membuat keputusan sudah cukup untuk membuktikan mereka layak untuk menjadi ketua.
3/ Sikap
Biasalah orang kata bila kita dah duduk kat tempat tinggi ni kita lupa diri, tak tahu nak pandang bawah. Ciri-ciri ketua yang ramai orang nak adalah ‘humble’ atau bersahaja. Dalam konsep bekerja, sebenarnya apa yang diperlukan adalah rasa selesa dari tempat kerja dan juga orang yang bekerja, betul tak? Tapi kalau seorang ketua kita terlalu ‘bossy’ atau tidak boleh terima pendapat orang lain dah tentulah ramai yang akan rasa tak selesa. Dalam konsep sebuah organisasi, sikap adalah sangat penting.
Majikan yang ada hubungan yang baik dengan kakitangan selalunya memupuk sikap atau attitude yang baik dalam organisasi. Mereka bersama-sama memupuk budaya mementingkan sikap dan perhubungan yang baik di antara majikan dan kakitangan.
4/ Komunikasi
Komunikasi yang rapuh adalah punca utama berlakunya keregangan dalam hubungan antara pekerja dan majikan. Sesetengah majikan tidak bijak dalam berkomunikasi dengan pekerja. Mereka tak mampu nak sampaikan arahan, dan tak mampu mengawal emosi menyebabkan komunikasi tidak berjalan lancar.
Kesilapan utama majikan ialah, bila mereka lantik kakitangan, mereka anggap kakitangan itu terus pandai serta merta untuk buat semua kerja. Majikan tak beri penerangan, tak berikan latihan secukupnya dan tak bimbing kakitangan. Bagaimana mereka nak melakukan pekerjaan sekiranya tiada latihan yang bimbingan? Betul betul?
Majikan juga gagal untuk sampaikan misi dan visi syarikat kepada organisasi sehingga kakitangan tak pasti apa sebenarnya arah tuju organisasi dan apa tugas yang mereka perlu buat untuk bantu majikan capai matlamat perniagaan.
5/ Kebajikan
Kebanyakan pekerja boleh berhenti kerja sebab mereka rasa kebajikan mereka tidak dijaga oleh majikan. Contohnya, keperluan tempat kerja dan benefit yang sepatutnya mereka dapat ditarik atau dihadkan. Tak dapat dinafikan, ramai pekerja datang bekerja dengan anda kerana dia percayakan anda mampu dan boleh bayar gaji dan berikan imbuhan yang setimpal. Dan, jika perkara ini tidak diuruskan sebaiknya, kepercayaan yang ada mungkin akan hilang.
Tahukah anda 5913 majikan didakwa kerana gagal bayar caruman KWSP sepanjang tahun 2017? Di Melaka dan beberapa negeri lain pihak KWSP dan SOCSO sentiasa mengadakan operasi untuk mengesan majikan yang tak bayar caruman. Bukan itu sahaja, Jabatan Tenaga Kerja turut menerima 343 aduan semenjak bulan Jun lalu tentang majikan lewat bayar gaji dan kesemuanya dalam siasatan sekarang.
Statistik di atas menunjukkan bukti bahawa ada sahaja majikan yang tidak ambil berat tentang soal imbuhan dan faedah pekerja. Dan ini sebenarnya adalah satu kesalahan yang serius.
Kakitangan adalah aset sesebuah organisasi. Majikan yang bijak akan bina kakitangan dan rancangan masa hadapan mereka untuk berkembang bersama syarikat. Ini adalah proses yang sepatutnya berlaku secara berterusan. Malangnya, ramai majikan tak endahkan hubungan dengan kakitangan, dan kakitangan juga tak dibimbing untuk hargai majikan.
Kesimpulannya, antara majikan dan kakitangan adalah saling memerlukan antara satu sama lain. Rezeki seorang majikan adalah dari kakitangannya yang berusaha untuk memajukan syarikat dan rezeki seorang kakitangan adalah dari gaji dan imbuhan hasil usaha yang sama-sama mereka berikan dalam membangunkan syarikat. Majikan dan kakitangan, hubungan perlu selari, jika tak, mereka hanya mencurah pasir ke dalam periuk nasi sendiri.