5 Cara Untuk Meningkatkan Kepercayaan Pada Jenama Anda

kepercayaan

Adakah jenama dan bisnes anda mampu membina kepercayaan? Dari pelanggan, pelabur, pekerja, malah diri anda sendiri.

Dalam dunia perniagaan yang kompetitif hari ini, ramai usahawan lebih gemar menumpukan kepada inisiatif yang menarik emosi pelanggan.

Namun begitu, realitinya adalah, kebanyakan pelanggan hanya mahukan jenama yang boleh dipercayai. 

Jika jenama anda tidak boleh dipercayai, anda akan menghadapi kesukaran untuk membina konsistensi yang diperlukan untuk membangunkan perniagaan yang mampu mengekalkan pencapaian atau prestasi yg baik dan menguntungkan.

Peranan kepercayaan dalam pembinaan jenama

Dalam era di mana persaingan di pasaran semakin meningkat dan pengguna semakin biasa dengan manipulasi serta “berita palsu”, kepercayaan menjadi faktor utama dalam membuat keputusan pembelian.

Menurut laporan khas Edelman Trust Barometer 2019, pengguna meletakkan kepercayaan kepada jenama sebagai salah satu faktor utama yang dipertimbangkan ketika membuat pembelian. 

Sebanyak 81 peratus responden kaji selidik mengatakan bahawa mereka perlu mempercayai jenama untuk membuat keputusan yang betul.

Kebanyakan pelanggan melaporkan bahawa mereka lebih suka membeli dari jenama yang mereka kenal dan percayai, manakala 75 peratus menyatakan mereka lebih menghargai kepercayaan berbanding mengikuti trend.

Cara meningkatkan kepercayaan pada jenama

Meningkatkan kepercayaan dalam jenama anda memerlukan usaha yang konsisten. Walaupun terdapat banyak cara untuk melakukannya, berikut adalah lima langkah penting yang boleh anda mulakan untuk meningkatkan kebolehpercayaan jenama anda.

1. Kejujuran

Pelanggan hari ini sangat mementingkan kejujuran dan ketelusan dari sesebuah jenama. Jika mereka melihat sesuatu yang mencurigakan, mereka tidak teragak-agak untuk beralih kepada jenama yang lain. Kita hidup dalam zaman di mana kejujuran adalah kunci kejayaan.

Ianya boleh diterjemahkan kepada pelbagai cara. Contohnya, menunjukkan harga penuh untuk produk termasuk kos penghantaran dan cukai sebelum pelanggan membuat pembayaran. Atau mungkin dengan menjelaskan asal-usul setiap bahan dalam produk makanan. 

Banyak cara yang boleh anda lakukan untuk menjadi telus, dan pelanggan anda pasti akan menghargainya.

2. Bukti sosial

Pengguna hari ini lebih berhati-hati dengan strategi pemasaran korporat dan publisiti yang dirancang. Mereka lebih cenderung untuk mempercayai rakan-rakan dan pengguna lain daripada mempercayai iklan syarikat.

Bukti sosial seperti ulasan pelanggan dan influencer media sosial dapat membantu anda memanfaatkan pandangan pelanggan sedia ada untuk membina kredibiliti dengan pelanggan prospektif. 

Ia adalah cara yang sangat berkesan dan harus digunakan dengan sebaiknya untuk membina kepercayaan.

3. Ketersediaan sistem teknologi yang tinggi

Kadangkala, pembinaan kepercayaan berlaku di sebalik tabir, terutamanya dalam pengurusan infrastruktur teknologi syarikat. 

Contohnya, jika perkhidmatan online anda sering terganggu atau laman web anda sering tidak berfungsi, ini boleh merosakkan kepercayaan pelanggan terhadap jenama anda.

Oleh itu, pastikan anda melabur dalam sistem teknologi yang stabil dan memilih teknologi yang boleh dipercayai. Sama ada dari segi sistem CRM mahupun penggunaan sosial media. Pilihan dan kerjasama yang salah atau pelaburan yang kurang tepat boleh membawa masalah besar kepada jenama anda.

4. Konsistensi

Jenama anda mempunyai personaliti tersendiri. Pelanggan melihatnya sebagai entiti yang hidup dan bernyawa. Untuk membina kepercayaan, penting bagi jenama anda untuk mengekalkan konsistensi dalam semua aspek. 

Dari suara jenama, kandungan, hingga skema warna dan grafik, konsistensi dalam pendekatan ini akan menjadikan jenama anda lebih boleh dipercayai di mata pelanggan.

5. Tepati Janji

Sebenarnya, nak dilihat sebagai jenama yang boleh dipercayai adalah mudah, tak susah pun. Tapi selalunya diri sendiri yang buat sampai menjadi susah. Bila berjanji, tepati setiap janji yang anda dah taburkan.

Jangan sekali-kali berbohong, memanipulasi atau mengubah apa yang anda dah janjikan. Biarlah kata-kata anda membawa maksud yang sebenar. Orang akan merasakan dan menghargainya.

Membina jenama dari akar umbi

Terlalu banyak jenama yang cuba menjadi ‘hype’ dan menjual produk tanpa terlebih dahulu membina hubungan dengan pelanggan. Ini adalah langkah yang salah. Hebat mana pun produk anda, tak akan dapat tawan hati pelanggan jika anda tak bina hubungan baik dengan mereka.

Jika anda mahu berjaya, anda perlu membina jenama anda dari akar umbi. Fokus kepada kredibiliti dan membina kepercayaan. Lakukan perkara yang betul dan hasilnya akan datang dengan sendirinya.

Pembinaan jenama yang kukuh bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan dalam satu malam, tetapi dengan kesungguhan dan strategi yang betul, jenama anda akan menjadi pilihan utama di pasaran.

Artikel terbaru

Leave a Reply