Baru-baru sewaktu 10X SME Bina Bisnes Berjaya: Bangkit Usahawan Melaka (10XSMEBBB) berlangsung, Datuk Wira Dr. Azizan Osman ada kongsikan kepentingan mempunyai mentor dalam hidup dan juga perniagaan.
Menurutnya, tak kiralah apa jua yang dilakukan, bimbingan yang berterusan itu adalah faktor utama yang memacu kejayaan.
Ikuti perkongsian daripada beliau sendiri sewaktu program tersebut berlangsung:-
Datuk Lee Chong Wei kalau masuk seminar dua hari nak belajar main badminton, boleh tak jadi nombor satu?
Cristiano Ronaldo kalau masuk bootcamp dua hari je boleh tak? Semestinya mereka ini perlu ada closed coaching. Kena ada orang yang perhatikan apa yang boleh dibina pada mereka ini.
Begitu juga dalam dunia bisnes. Semua orang perlukan pemasaran tapi kemampuan bertindak itu berbeza. Ada yang datang 10XSMEBBB hari ini bersendirian, ada yang bersama team.
Dulu, saya sanggup bayar RM200,000 untuk berjumpa dengan Sir Richard Branson sewaktu lunch di Toronto, US. Siapa tak kenal dengan individu kaya raya ni?
Beliau semestinya tidak perlukan duit tersebut tapi kalau diberikan sesi itu secara percuma belum tentu individu yang ingin bertemu dengannya itu serius.
Jadi, saya bayar itu untuk tabung foundation beliau. Saya dapat bercakap 15 minit je dengannya.
Satu soalan je saya ajukan, apa yang perlu dibuat untuk jadi billionaire? Jawapan yang diberikan, “you need to be close to people that guide you”.
Jawapan inilah yang menjawab kepada persoalan kenapa saya nak mengajar hingga ke hari ini. Sebab apa? Sebab dahulunya saya pernah lingkup.
Di Melaka ni, saya pernah ingin berjumpa dengan tiga orang kaya untuk dapatkan nasihat je daripada mereka.
Saya cari siapa yang boleh nasihatkan aku? Ada tiga orang yang top waktu itu di Kompleks Munsyi Abdullah.
Saya ketuk office mereka untuk berjumpa. Individu pertama, saya berulang kali minta nak jumpa. Dulu sudah pernah berjumpa sebelum beliau berjaya. Tapi waktu itu, beliau enggan bertemu.
Individu seterusnya sedang honeymoon bersama isteri ketiga. Yang sorang lagi pulak asyik bermain golf tak mahu layan saya.
Sudah tentulah, siapa yang nak layan saya? Buat apa?
Jadi, sejak dari peristiwa itulah saya tanamkan azam untuk bantu mereka di luar sana yang dahagakan kejayaan.