Bagi usahawan, bina bisnes berjaya itu penting. Memang betul ia penting, namun usahawan juga perlu ada pendapatan pasif. Terutama pada mereka yang tidak ada pendapatan yang mencukupi.
Apa itu pendapatan pasif?
Pendapatan pasif adalah wang tambahan yang diperolehi hasil bukan daripada sumber kewangan utama atau dalam erti kata lain, bukan dari pendapatan tetap, gaji bulanan atau hasil jualan bisnes utama.
Pendapatan pasif juga bukanlah sesuatu yang boleh didapati secara percuma seperti meminta-minta atau ihsan dari sesiapa, tetapi merupakan pendapatan kedua atas usaha titik peluh sendiri untuk bantu anda cipta lebih banyak kebebasan kewangan. Namun usaha ini bukan usaha yang diutamakan.
Jenis-jenis pendapatan pasif
Pendapatan pasif boleh dipecahkan kepada tiga kategori iaitu pelaburan, pembinaan aset dan juga perkongsian aset.
Contoh pelaburan adalah seperti saham dividen, amanah pelaburan hartanah atau dana pasaran wang yang boleh menjana wang tanpa perlu buat pemasaran untuk mendapatkan keuntungan.
Dalam pembinaan aset, anda mengambil masa untuk membina atau mengumpulkan aset yang boleh menjana pendapatan seperti muzik, foto atau produk digital yang kemudiannya dijual untuk mendapatkan pendapatan pasif.
Perkongsian aset pula menggunakan harta benda yang anda sudah ada untuk menjana pendapatan. Sebagai contoh, anda jadikan rumah kedua anda sebagai Airbnb.
Bagaimana nak dapatkan pendapatan pasif?
Bagi mereka yang tertanya-tanya bagaimana untuk mendapatkan pendapatan pasif, baca artikel ini sampai habis. Jangan skip! Modal untuk pemula menjana pendapatan pasif bergantung kepada apa sumber yang anda pilih.
Ada yang memerlukan modal yang besar, ada juga yang cukup dengan modal kecil tapi boleh buat keuntungan yang besar. Dan ada juga yang mampu menjadikan pendapatan pasif sebagai pendapatan utama kerana lebih menguntungkan.
10 idea mendapatkan pendapatan pasif
1. Sewa hartanah
Sewaan hartanah atau aset kadangkala dipanggil pendapatan separuh pasif kerana sebagai tuan tanah, masih ada kerja-kerja yang perlu dilakukan seperti pemasaran.
Walaubagaimanapun, sebaik sahaja anda membeli hartanah dan mendapatkan penyewa tetap, anda mungkin tidak perlu melakukan kerja-kerja pemasaran tersebut.
2. Dana Indeks
Melabur dalam indeks saham yang dipecahkan mengikut saiz syarikat, negara, industri atau gaya seperti syarikat yang berkembang pesat. Dana indeks bukanlah pelaburan pendapatan pasif yang paling menarik tetapi mudah difahami dan boleh dipercayai menjadikannya satu pilihan yang hebat untuk mereka yang baru nak bermula.
3. Stok dividen
Saham dividen memerlukan lebih banyak research berbanding dana indeks, tetapi ia boleh jadi salah satu cara terbaik untuk memperoleh pendapatan pasif. Saham dividen datang daripada syarikat dagangan awam yang berkongsi keuntungan mereka secara tetap.
Ramai orang memiliki saham dividen melalui akaun persaraan, tetapi anda juga boleh belinya melalui akaun broker.
4. Pelaburan perniagaan
Sebut pelaburan, sudah tentu ianya melibatkan modal dan risiko. Jika anda ada wang untuk dilaburkan, pertimbangkanlah untuk menjadi rakan kongsi ekuiti dalam perniagaan sedia ada yang memerlukan modal.
Selain itu, anda juga boleh melabur dengan memulakan perniagaan separa pasif seperti kedai dobi layan diri. Perniagaan jenis ini tidak memerlukan terlalu banyak penglibatan dari segi pengurusan atasan.
5. Kepakaran anda
Bukan semua idea pendapatan pasif memerlukan modal yang besar tau seperti menggunakan kepakaran yang ada pada anda untuk mencipta dan menjual kandungan.
Buat panduan atau video pengajaran yang menerangkan produk atau topik yang rumit dan siarkan dalam talian. Anda akan menerima pendapatan setiap kali ada yang membeli video anda tanpa perlukan usaha yang lebih.
6. Kreativiti
Anda sangat beruntung jika anda adalah seorang yang kreatif dan ada hobi yang berkaitan dengan kreativiti anda. Antara kreativiti yang boleh menjadi pendapatan pasif adalah dengan mencipta muzik, menjual fotografi, menulis buku atau e-book.
Tukarkan karya seni anda kepada fail digital untuk dijual secara online. Anda pasti terkejut apabila melihat bakat anda boleh ditukarkan kepada duit.
7. Affiliate
Caranya nampak mudah, anda pasarkan produk orang lain dan anda dapat bayaran jika ada yang membeli produk tersebut dengan perkongsian link kepada produk tersebut.
Namun, pemasaran ini memerlukan penggunaan sama ada sosial media, tapak web atau blog. Affiliate yang popular sekarang adalah di platform TikTok kerana mudah untuk dipasarkan.
8. Sewakan rumah atau kereta anda
Anda ada rumah atau kereta lebih? Sewakan untuk mendapatkan pendapatan tambahan. Hanya ada bilik lebih juga boleh disewakan jika anda selesa untuk duduk serumah dengan orang luar.
Dengan sedikit usaha, anda sudah boleh mendapatkan pendapatan yang tetap. Tapi ingat, pastikan harta anda mempunyai perlindungan insurans yang betul sebagai persediaan jika berlaku kerosakan kepada harta benda anda.
Cuba lihat ke sekeliling anda, apakah kemahiran atau aset yang boleh anda jadikan sebagai sumber pendapatan tambahan? Apa yang boleh diperoleh dengan mudah?
Dengan pemikiran yang betul, kreativiti dan sedikit usaha, anda boleh menghasilkan lebih banyak idea untuk mendapatkan pendapatan pasif.