Semua usahawan yang dah mulakan bisnes pasti nak berjaya. Usaha sana sini, cuba macam-macam dan buat segala tunjuk ajar tak menjanjikan seseorang usahawan itu pasti akan berjaya.
Kunci sebuah kejayaan adalah disiplin. Usahawan perlu tanamkan disiplin dalam diri untuk berjaya.
Cuba lihat kebanyakan orang yang dah berjaya dalam karier atau bisnes, anda pasti nampak kehidupan mereka sentiasa tersusun dan terurus.
Bukan kerana mereka ada pembantu peribadi yang menguruskan mereka, tetapi kerana mereka menjadikan disiplin itu satu kepentingan dalam apa jua situasi. Disiplin yang membuatkan rutin harian mereka nampak mudah.
Teruskan membaca untuk tahu apa rutin harian yang mereka amalkan menjadikan mereka insan yang berdisiplin dan berjaya. Jika anda usahawan dan nak berjaya, amalkan rutin harian seperti mereka.
5 habit orang berjaya
1. Bangun di awal pagi
Orang yang berjaya akan bangun di awal pagi. Pernah ke anda lihat orang yang berjaya tidur pukul 3 pagi dan bangun pada pukul 12 tengahari? Orang kaya mungkin ada, tapi mereka bukan orang yang berjaya.
Bangun awal memberikan anda masa untuk memulakan hari dan fokus pada tugas yang penting. Tanpa persediaan, pasti kita merasa tak bersemangat untuk memulakan tugasan harian.
2. Bersenam untuk sihat
Dah bangun pagi, luangkan sedikit masa untuk bersenam. Tapi tak semestinya perlu bersenam di pagi hari. Kalau selesa waktu lain, tak ada masalah.
Senaman adalah cara terbaik untuk meningkatkan kesihatan fizikal dan juga mental. Ia juga boleh membantu mengurangkan tekanan dan meningkatkan fokus terhadap sesuatu perkara.
Orang yang berjaya akan meluangkan masa untuk bersenam walaupun hanya beberapa minit sahaja dalam sehari. Sekarang kan dah ramai orang pergi ke gym, mungkin sudah masanya anda fikirkan untuk menjadi ahli gym berhampiran.
3. Pilih makan makanan sihat
Makan makanan yang sihat akan memberikan anda tenaga yang anda perlukan untuk menjadi lebih produktif. Tak gunalah bersenam setiap hari kalau tak nak jaga makan. Walaupun makanan sihat, jangan makan dengan berlebihan. Ikut kadar yang perlu sahaja.
Orang yang berjaya memastikan makanan yang diambil adalah makanan yang berkhasiat seperti banyakkan makan buah-buahan, sayur-sayuran serta bijirin penuh.
4. Cari masa untuk rehat
Tak kira banyak macam mana pun tugas anda, pastikan anda ada masa untuk berehat. Sentiasa bekerja tanpa rehat akan menjejaskan kesihatan anda.
Rehat akan membantu anda untuk kekal fokus dan produktif. Jadi, pilihan di tangan anda untuk kerja dengan sihat atau kerja dan lelah berpanjangan.
5. Tidur secukupnya
Allah menciptakan siang dan malam. Jika dah bekerja di siang hari, gunakan malam untuk berehat dan tidur secukupnya. Sama seperti berehat, tidur juga sangat penting untuk mengekalkan kesihatan fizikal dan mental.
Tidur yang baik adalah tidur sekurang-kurangnya 7-8 jam setiap malam. Dapat rehat dan tidur yang secukupnya, barulah boleh dapat tidur yang berkualiti dan mudah untuk bangun pagi.
Orang berjaya berani ambil risiko
Selain 5 perkara di atas, orang yang berjaya juga cenderung untuk lakukan sesuatu dengan lebih teratur mengikut matalamat dan positif.
Mereka juga bekerja keras dan berani untuk ambil risiko. Jika anda nak berjaya, anda tidak boleh mengabaikan semua habit ini dan jadikan ia sebahagian daripada rutin harian.
Nak buat perubahan, mulakan dari kecil. Jangan terlalu gopoh untuk ubah semua perkara sekali gus. Mulakan dengan perubahan yang anda rasakan paling mudah untuk anda ubah. Kunci kepada kejayaan adalah konsisten.
Ada orang tak mampu untuk buat perubahan seorang diri. Jika anda salah seorang darinya, carilah sistem sokongan untuk menyokong anda membuat perubahan besar dalam kehidupan anda.
Apabila anda berjaya untuk berubah, luangkan masa raikan kejayaan anda walau sekecil-kecil perubahan. Ini akan bantu anda kekal termotivasi untuk terus melakukan perubahan dan bergerak ke hadapan menuju kejayaan.