Islam amat menggalakkan masyarakat menceburi bidang perniagaan kerana merupakan salah satu pekerjaan yang terpuji.
Rasulullah SAW sendiri terkenal sebagai seorang peniaga sama ada sebelum mahupun setelah baginda dilantik menjadi rasul.
Berdasarkan catatan yang direkodkan di dalam kitab-kitab sirah, Nabi Muhammad SAW mengikuti rombongan bapa saudara baginda iaitu Abu Talib ke Syam bagi tujuan berniaga.
Selain itu, Rasulullah SAW juga pernah membantu isteri tercinta iaitu Saidatina Khadijah binti Khuwailid dalam perniagaan.
Terdapat ramai dalam kalangan para sahabat Rasulullah SAW yang melibatkan diri di dalam kegiatan perniagaan seperti Abu Bakar al-Siddiq, Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf, Zubair bin al-Awwam, Sa’ad bin Abi Waqqas, al-Barra’ bin Azib dan pelbagai lagi.
Barang dagangan Rasulullah SAW laris dijual dan mendatangkan banyak keuntungan lantaran sifat ramah dan mesra baginda dalam berniaga.
Baginda gemar melemparkan senyuman kepada orang lain dan banyak bersedekah serta menghulurkan bantuan kepada pelanggannya yang benar-benar memerlukan.
Keistimewaan yang dimiliki oleh baginda membuatkan setiap perniagaan atau jualannya sentiasa menghasilkan keuntungan besar.
Firman Allah dalam al-Quran Surah al-Baqarah ayat 245 yang bermaksud: “Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.”
Islam memerintahkan agar umat manusia berlaku adil dalam perniagaan serta memberikan layanan yang baik kepada pelanggan. Rasulullah SAW sentiasa mengamalkan sikap baik hati dan lemah lembut ketika menjalankan perniagaan dan tidak pernah menyakiti hati peniaga yang lain.
Amalan tersebut bersesuaian dengan konsep persaudaraan dalam Islam sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”
Sebaliknya Islam menegah dari melakukan perbuatan terkeji dalam perniagaan misalnya melaksanakan jual beli dengan bersumpah dan menyatakan sesuatu yang tidak benar. Dalam hal tersebut Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sumpah itu melariskan barang dagangan akan tetapi menghapuskan keberkatannya” – (Riwayat Al-Bukhari).
Selain itu, Islam juga melarang umatnya dari melakukan perbuatan monopoli iaitu penguasaan sepenuhnya terhadap sesuatu barangan ataupun tindakan menyorok barangan (ihtikar) kerana perbuatan tersebut boleh menaikkan harga sesuatu barangan akibat kesukaran mendapatkannya di pasaran.
Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang menyorok (barangan), dia telah melakukan kesalahan” – (Riwayat Abu Daud, at-Tirmizi dan Muslim).
Sebarang unsur tipu daya atau helah juga mesti dielakkan oleh peniaga kerana amalan tersebut akan menghilangkan keberkatan di dalam perniagaan. Rasulullah SAW memberikan amaran dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Barangsiapa yang menipu kami, dia bukanlah daripada golongan kami.” (Riwayat Muslim).
Jadilah bangsa usahawan yang amanah dan jujur serta banyak melakukan kebaikan. Pasti kita akan untung dunia dan akhirat.