Ketidakseimbangan aktiviti seharian boleh mengakibatkan kita menjadi tidak bersemangat serta memberi kesan kepada kesihatan mental dan fizikal.
Tidur lewat, makan makanan yang tidak sihat dan tidak bersenam boleh menyebabkan emosi tidak terkawal.
Selain itu, bekerja lebih masa sehingga tiada masa untuk berehat amat berbahaya jika diamalkan untuk jangka masa yang panjang.
Pengurusan masa yang baik dan teratur memainkan peranan yang penting untuk menjalani aktiviti sehari dengan lancar.
Mahu tahu caranya? Ikuti 3 tip yang dikongsikan ini!
1. Tidur yang cukup dan bangun awal pagi
Kekurangan waktu tidur boleh memberi kesan yang tidak baik kepada mental dan fizikal individu. Purata waktu tidur yang disyorkan adalah sekitar 7-8 jam dan ianya membaiki sistem imunisasi badan, mengatasi kemurungan dan stres, mengurangkan risiko penyakit jantung dan strok serta meningkatkan daya penumpuan dan produktiviti.
Selain itu, individu juga digalakkan bersantai (membaca buku, mendengar muzik) 30 minit atau sejam sebelum tidur. Tidur sebentar (nap) di waktu tengahari selama 15 minit juga membantu recharge energy.
2. Melakukan senaman untuk menjadi cergas setiap hari
Tahukah anda, senaman boleh memberi mood yang baik dan meningkatkan kesihatan mental seseorang kerana anda berasa seronok dengan aktiviti tersebut.
Pelbagai aktiviti senaman yang boleh dilakukan seperti berkebun, mengemas rumah, melakukan regangan (stretching), berbasikal, atau mengikuti senaman aerobik dan zumba (workout) secara talian di aplikasi Youtube juga antara salah satu aktiviti yang menyeronokkan.
Anda boleh memilih mana-mana aktiviti yang mudah dilakukan dan luangkan masa 10 hingga 15 minit sehari supaya kekal cergas sepanjang hari. Jom kita Zumba sekali?
3. Cari hobi atau hiburan yang boleh dilakukan untuk mengisi masa terluang
Dengan masa yang diluangkan di rumah, ambil peluang ini untuk memperbaiki dan meningkatkan kualiti kemahiran anda. Menghadiri webinar dan kelas secara talian yang percuma atau berbayar untuk memperolehi maklumat baharu dan mengenal pasti minat anda.
Selain mengisi perkara yang berfaedah, hiburan juga diperlukan sebagai terapi untuk diri, penghubung antara hubungan keluarga dan rakan-rakan dengan menonton filem atau teledrama bersama.