Bak kata pepatah Melayu, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’ kerana anak-anak diibaratkan kain putih yang dicorakkan oleh ibu bapa mereka.
Jadi terpulanglah kepada ibu bapa untuk mencorakkan kehidupan anak-anak mereka menuju kepada kebaikan ataupun sebaliknya.
Ibu bapa merupakan orang yang memainkan peranan penting dalam pembentukan peribadi anak-anak.
Didikan awal yang sempurna boleh menjamin kejayaan anak-anak di masa hadapan agar tidak terjebak atau terjerumus kepada perkara atau perbuatan negatif.
Ibu Bapa Cermin Terbaik
Dalam mendidik anak-anak, ibu bapa juga perlu menjadi contoh teladan dengan menunjukkan sikap dan budi pekerti yang baik di hadapan anak-anak kerana cenderung mengikuti tingkah laku yang paling hampir dengan mereka.
Kekurangan bimbingan agama dan ketiadaan contoh teladan daripada ibu bapa boleh mempengaruhi akhlak anak-anak.
Walau bagaimanapun, setelah ada usaha bimbingan daripada ibu bapa tetapi anak-anak masih berkelakuan tidak baik, maka ia merupakan ujian terhadap ibu bapa atau Allah SWT ingin memberi kebaikan dan ganjaran pahala kepada mereka.
Nas-nas yang ada ialah tentang kewajipan ibu bapa memberi pendidikan yang baik kepada anak-anak dari sudut pemantapan iman diikuti ibadah dan hubungan yang baik sesama manusia.
Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang dan suruhlah berbuat kebaikan serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah daripada perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.” (Surah Luqman, ayat 17)
Dalam ayat ini, Allah SWT menceritakan perihal Luqman seorang hamba Allah yang soleh yang menasihatkan anaknya agar menjauhi perbuatan syirik, mengerjakan amal-amal soleh serta berakhlak dengan akhlak yang mulia. (Rujuk: Fath al-Bayan fi Maqasid al-Quran, 10/287)
Allah SWT memberi peringatan dengan jelas kepada orang beriman agar memelihara diri mereka dan keluarga dengan membimbing ke arah kebaikan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka.” (Surah al-Tahrim, ayat 6)
Ibu bapa adalah cermin kepada anak-anak. Berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda bermaksudnya: “Tidaklah dilahirkan seorang anak itu melainkan dia lahir dalam keadaan fitrah. Maka kedua ibubapanya yang menjadikannya beragama yahudi atau menjadikannya beragama nasrani atau menjadikannya beragama majusi.” (Hadis Riwayat Muslim, No 4805)
Patuh Ajaran Agama
Dalam mendidik anak-anak ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik dengan mematuhi segala ajaran agama dan ini sudah tentu akan mempengaruhi anak-anak dalam proses pendidikan tersebut.
Imam Ibnu Hajar al-Haitami ada menyebutkan jika ibu bapa bertakwa kepada Allah SWT, nescaya Allah SWT akan mengurniakan kebaikan dan mempermudah kan segala urusan zuriat mereka dengan memberi keberkatan serta petunjuk dalam kehidupan zuriatnya.
Namun sebaliknya, jika ibu bapa mereka tidak melaksanakan perintah Allah dan melanggar larangan Allah, nescaya anak-anak mereka akan berkelakuan sebagaimana kelakuan ibu bapa mereka. (Rujuk: al-Zawajir ‘an aI-iqtiraf al-Kaba’ir, 1/23)
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah jika ibu bapa telah melaksanakan tanggungjawabnya dalam pendidikan agama anak-anak, tetapi anak-anak masih tidak berakhlak dengan akhlak yang baik maka itu adalah satu ujian bagi ibu bapa.
Mereka perlu bersabar atas ujian itu dan ia menjadi sebab kepada ganjaran pahala di sisi Allah kepada ibu bapa.
Sebagai kesimpulan, tidak ada nas yang jelas yang menyatakan dosa ibu bapa menjadi penyebab kepada akhlak tidak baik anak-anak.
Walau bagaimanapun, nas ada menyebutkan tentang tanggungjawab ibu bapa untuk mengajar dan mendidik anak-anak agar patuh kepada ajaran agama.