Agama Islam menghalalkan jual beli dan menggalakkan perniagaan supaya umat Islam dapat memakmurkan dunia serta mampu menjana kekuatan ekonomi mereka.
Di samping itu, ia menjauhkan diri daripada makan harta secara haram atau memiliki barang secara batil.
Nabi SAW sendiri sewaktu muda pernah berniaga hingga baginda memperoleh keuntungan yang banyak. Begitu juga sahabat RA ramai yang menceburi bidang perniagaan antaranya Abu Bakr RA, Uthman RA, Abdur Rahman bin Auf RA dan Talhah bin ‘Ubaidillah RA.
Terdapat beberapa hadis yang memberi galakan untuk kita berniaga. Antara yang popular diriwayatkan dengan sanad mursal bahawa Nabi SAW bersabda: “Sembilan persepuluh punca rezeki adalah di dalam perniagaan.” (Riwayat Abu ‘Ubaid dalam Gharib al-Hadith, Ibnu Abi ad-Dunya dalam Islah al-Mal dan lain-lain)
Berniaga bukan semata-mata di premis perniagaan. Bahkan, banyak bidang pekerjaan seperti penternakan, pertanian, pertukangan dan sebagainya pasti berakhir dengan urusan jual beli juga bagi memperoleh keuntungan hasil daripada usaha yang digembleng.
Namun, perkara yang paling penting ialah sifat benar dan jujur dalam menjalankan urusan berkenaan.
Apa yang diniagakan perlu bersifat jelas dan telus terhadap pembeli atau pengguna. Tidak boleh menyembunyikan sesuatu keaiban atau kecacatan pada barang yang dijual.
Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah berjalan melalui selonggok barang makanan, lalu baginda memasukkan tangannya ke dalam makanan itu sehingga jari-jemarinya terkena yang basah.
Lalu baginda bertanya: “Apa ini, wahai pemilik makanan?” Penjual itu menjawab: “Ia terkena air hujan, wahai Rasulullah.” Baginda pun bersabda: “Mengapa tidak engkau letakkannya di atas barang makanan ini sehingga orang dapat melihatnya? Barangsiapa yang menipu kami maka dia bukanlah daripada kalangan kami (kaum Muslimin).” Riwayat Muslim
Jelasnya, Nabi SAW memerintahkan supaya tidak ada sesuatu yang tersembunyi dalam menjalankan perniagaan. Begitu juga dalam hal nilai dan harga barang yang dijual.
Janganlah harga yang tertera lain dan harga sebenar pula lain. Ini suatu penipuan yang amat dilarang oleh syarak sehingga Nabi SAW tidak memperakui orang yang berbuat demikian sebagai mengikut jalan Muslimin.
Peniaga sewajarnya telus dalam meletak dan menentukan harga barang supaya pembeli atau pengguna dapat membuat keputusan sama ada mahu membelinya atau tidak.
Tiada ketelusan menyebabkan pembeli atau pengguna akan berasa tertipu apabila didapati apa yang dibeli tidak berbaloi dengan harga dibayar.
Tidak dinafikan, terdapat pelbagai cabaran dan rintangan dalam bidang perniagaan seperti tiada sambutan, kerosakan barang, kehilangan modal dan sebagainya, namun janganlah menjadikannya alasan untuk menipu.
Nabi SAW pernah mengingatkan hal ini kepada peniaga. Rifa’ah RA menceritakan bahawa dia pernah keluar bersama Rasulullah SAW menuju ke tempat solat, lalu baginda melihat orang sedang melakukan jual beli, lantas baginda pun bersabda: “Wahai peniaga sekalian.” Maka mereka pun menyambut seruan Rasulullah SAW seraya mengalihkan leher dan pandangan mereka ke arah baginda. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya peniaga akan dibangkitkan pada hari kiamat kelak sebagai orang yang fasik kecuali orang yang bertakwa kepada Allah, berbuat baik serta bersifat jujur.” Riwayat at-Tirmizi, katanya: hadis hasan sahih
Tiada gunanya menipu dalam berjual beli. Keuntungan dunia yang diperoleh itu hakikatnya tiada mendapat keberkatan daripada Allah SWT. Hakim bin Hizam RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Dua orang yang melakukan jual beli berhak mempunyai pilihan (sama ada meneruskan atau membatalkan jual beli) selagi mereka belum berpisah. Jika kedua-duanya berjual beli secara jujur dan jelas maka jual beli mereka itu akan diberkati. Jika kedua-duanya berjual beli secara menyembunyikan sesuatu dan berdusta maka keberkatan pada jual beli itu akan terhapus.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Apabila hilangnya keberkatan, keuntungan dikecapi akan dirasakan masih tidak memuaskan dan harta yang banyak juga dirasakan belum mencukupi. Lebih membimbangkan jika amal ibadah yang wajib mula diabaikan dengan alasan sibuk dan tiada masa.
Peniaga yang baik dan benar pasti akan lebih mengutamakan keredaan Allah SWT berbanding keuntungan dunia yang sedikit. Jadilah peniaga yang jujur kerana banyak kelebihan yang dijanjikan Nabi SAW seperti sabdanya: “Seorang peniaga yang bersifat benar, jujur lagi dipercayai akan bersama sekalian nabi, siddiqin dan syuhada (pada hari kiamat kelak).” Riwayat at-Tirmizi, katanya: hadis hasan
Selain itu, jangan lupa bersedekah. Percayalah, dengan bersedekah rezeki pasti akan bertambah dan melimpah-ruah. Dengan sedekah juga, hati akan menjadi lebih tenang dan hidup akan menjadi lebih indah.
Janganlah kedekut untuk bersedekah kerana pada sedekah itu ada banyak kelebihan yang tersembunyi.
Sedekah yang dilakukan dengan penuh ikhlas walaupun sedikit pasti akan mendapat ganjaran yang hebat di sisi Allah S.W.T.
Carilah keberkatan dalam berniaga kerana tanpa keberkatan harta banyak pun tiada gunanya. Jadilah peniaga yang bukan sahaja kaya di dunia malah kekayaan itu diwarisi sehingga ke akhirat sana.