Penggunaan gajet sememangnya menjadi suatu keperluan pada hari ini termasuklah bangsa usahawan. Kebanyakan daripada kita pastinya merasakan kehidupan jadi serba tak kena jika tidak menghadap telefon pintar, tablet mahupun komputer riba sepanjang hari.
Namun begitu, jika penggunaannya tidak dikawal ia akan menjadi umpama satu barah dalam kehidupan kita.
Ahli fizik terkenal yang juga Pemenang Hadiah Nobel, Albert Einstein, mengutarakan teori relativiti pernah menjangka dan mengungkapkan ‘Saya takut suatu hari nanti teknologi akan mengatasi interaksi manusia. Dunia akan mempunyai generasi yang bodoh.’
Sama ada ia adalah sebuah ilusi ataupun kebenaran, hakikatnya kita dapat nilaikan sendiri melalui situasi yang berlaku di sekeliling kita pada saat ini.
Ramai yang seolah-olah sudah terkena dengan fenomena ‘melekat dengan gajet’ ini. Namun, tahukah anda kajian menunjukkan bahawa penggunaan gajet elektronik berlebihan juga didapati membawa kesan sama seperti dadah?
Menurut perkongsian Prof Madya Dr. Khairunneezam Mohd Noor di Berita Harian, penyalahgunaan dadah dalam jangka panjang mengubah otak pengguna dan mereka memerlukan lebih banyak dadah untuk menghasilkan keseronokan atau khayalan.
Kajian juga menunjukkan kesan negatif penggunaan peranti elektronik berlebihan menjadikan seseorang itu manusia kurang tidur, prestasi akademik lemah, pengasingan sosial dan masalah hubungan dengan keluarga serta rakan.
Ia juga boleh membawa kepada gangguan mental dalam keadaan lain seperti kemurungan dan kegelisahan.
Bagi mengelakkannya, ada beberapa cara yang boleh dipraktikkan agar anda dapat menikmati kehidupan yang lebih baik seperti tidak membawa telefon bimbit atau tablet ke tempat tidur.
Lampu biru yang dipancarkan oleh skrin telefon boleh mengganggu tidur anda jika digunakan dalam masa dua jam sebelum waktu tidur. Matikan telefon anda dan biarkannya di bilik lain semalaman untuk dicas.
Anda juga boleh matikan telefon pada waktu tertentu seperti ketika memandu, dalam mesyuarat, di gim, makan malam atau sewaktu bermain dengan anak-anak anda. Jangan bawa telefon anda ke tandas atau bilik mandi.
Selain itu, anda bolehlah gantikan penggunaan telefon pintar dengan aktiviti yang lebih sihat seperti bersenam, membaca buku atau berbual dengan rakan secara langsung bagi melawan rasa kebosanan yang dialami.
Ia mungkin sukar untuk dilaksanakan pada awalnya namun percayalah anda akan berasa lebih baik dengan diri dan kehidupan anda selepas itu.
Live your life to the fullest!