Seorang majikan yang bagus pastinya akan memikirkan yang terbaik buat pekerja dan menjaga mereka dengan sebaik mungkin.
Sebagai majikan, sudah tentu anda mahukan pekerja terus setia bersama syarikat kerana agak sukar untuk mendapatkan pekerja yang baik pada masa kini.
Pastikan mereka senang hati, ikuti cara-cara ini jika anda tidak mahu kehilangan pekerja yang berkaliber di syarikat anda.
Cara 1: Menghargai setiap sumbangan pekerja
Kebiasaannya, syarikat melihat gaji pekerja sebagai ‘kos yang perlu dikurangkan’ dan bukannya sebagai pelaburan masa hadapan.
Inilah kesilapan besar majikan kerana ramai pekerja akan meninggalkan syarikat sebab mereka tahu dan yakin bahawa mereka boleh dapatkan gaji yang lebih tinggi di tempat lain.
Jika gaji pekerja tidak dibayar atau tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan sehingga menjadi isu, anda bakal mendapat pekerja yang akan memberontak dan membuat kerja ala kadar sahaja sehingga mereka tidak dapat memberi yang terbaik untuk syarikat.
Mereka akan mempersoalkan mengapa mereka perlu berusaha keras sedangkan gaji yang diterima tidak berbaloi dengan usaha yang diberikan.
Sekiranya mereka menerima gaji yang lumayan, mereka akan lebih bersemangat untuk menyumbang kepada syarikat. Ia boleh diibaratkan seperti pepatah inggeris “You give what you get” (Anda memberi apa yang anda dapat).
Cara 2: Sentiasa mendengar pendapat tidak kira pangkat
Belajarlah untuk mendengar setiap pendapat yang dilontarkan oleh individu dalam sesebuah organisasi syarikat walaupun dia mungkin hanya seorang intern.
Struktur hierarki merupakan sesuatu yang normal dalam sesebuah syarikat namun jangan jadikannya sebagai penghadang untuk menerima pendapat daripada staf lain kerana adakalanya orang yang bekerja di sesuatu sektor itu lebih tahu tentang kemahuan pelanggan lebih daripada bahagian pengurusan.
Contoh yang pernah terjadi ialah seorang anak kapal Delta Airlines menyedari penumpang mereka tidak akan menjamah sayuran di dalam makanan yang dihidangkan dan dia telah mencadangkan kepada pihak atasan untuk tidak perlu meletakkannya.
Walaupun perkara ini kelihatan kecil tetapi ia sebenarnya telah membawa impak yang besar kerana telah memberi penjimatan kepada syarikat tersebut sebanyak $1.4 juta USD setahun.
Cara 3: Memberi kebebasan kepada pekerja untuk membuat keputusan
Satu penulisan Leaderonomics di akhbar TheStar pernah menjelaskan bahawa tidak ada manusia yang suka apabila sentiasa diperhatikan gerak-geri mereka dan manusia juga tidak akan suka diperlakukan seperti robot yang menunggu untuk diberi arahan sama setiap hari.
Pekerja yang berkebolehan akan berasa teruja sekiranya mempunyai hak autonomi untuk melakukan perkara yang mereka yakin boleh mendatangkan kebaikan dan keuntungan kepada syarikat.
Oleh itu, jika ketua memberi kepercayaan tersebut kepada pekerja untuk menggunakan kreativiti dan idea mereka, sudah pasti pekerja lebih bermotivasi untuk berjaya kerana dapat menghasilkan kerja daripada titik peluh mereka sendiri.
Cara 4: Syarikat sebagai tempat untuk bekerja dan bermain
Syarikat yang terlalu rigid kadangkala membuatkan pekerja menjadi rimas dan stres. Mereka juga pastinya berasa bosan dengan rutin yang sama selalu.
Era dahulunya lebih kepada work-life-balance manakala di masa kini ia lebih kepada work-life-integration.
Jika dilihat perkara ini, pekerja yang setia kepada syarikat itu suka dengan perkara baharu yang mereka pelajari setiap hari.
Oleh itu, syarikat di masa kini sentiasa mencari jalan supaya pekerja mereka tidak berasa bosan dengan meneroka perkara baharu contohnya dengan mengadakan kelas yoga di tempat kerja.
Persekitaran tempat kerja yang menarik juga seperti di Air Asia atau Google turut mendorong pekerja untuk mahu terus bekerja di situ sekiranya tidak diberhentikan!
Cara 5: Beri mereka alasan untuk setia kepada anda
Ini adalah perkara paling penting dalam sesebuah syarikat.
“Beri mereka alasan untuk setia kepada anda, dan mereka akan dengan ikhlas setia bekerja dengan anda”.
Sebagai majikan, jawapan anda untuk persoalan ini mungkin tidak sama dengan syarikat lain. Oleh itu, fikirkanlah apa yang ada boleh tawarkan kepada mereka dengan sebaiknya agar mereka terus bekerja dengan seronok di syarikat anda.