3 Tanda Diri Telah Dikaburi Dengan Sifat Riak & Bongkak

3 Tanda Diri Telah Dikaburi Dengan Sifat Riak & Bongkak

Pada saat ini, anda mungkin saja seorang usahawan yang baru membangunkan syarikat sendiri ataupun seorang pengurus yang mengendalikan projek bernilai jutaan ringgit. Tak kiralah yang mana satu posisi anda, ia ternyata sebuah kejayaan yang sangat membanggakan.

Namun, adakah pencapaian tersebut membuatkan anda dahaga mendengar pujian ramai hingga membuatkan anda menjadi bongkak?

Ramai ahli psikologi berpendapat bahawa kebanggaan adalah emosi dalam sedar yang membangkitkan dua aspek tindak balas emosi:

Kebanggaan tulen ialah emosi utama/primer yang diperoleh daripada kegembiraan dan keseronokan yang telah mencapai matlamat peribadi, kewangan atau profesional.

Kebanggaan hubristic adalah emosi sekunder yang diperoleh daripada iri hati, kekecewaan dan cemburu. Bentuk emosi ini berpunca daripada ego dan keangkuhan yang ditanam daripada emosi primer.
Kemegahan telah terbukti sebagai sifat kuat yang digunakan untuk mempengaruhi orang. Ada yang berjaya mengawalnya namun tidak kurang juga yang terleka dengannya.

Sebagai seorang usahawan, tidak salah untuk ada sedikit rasa bangga itu namun jika keterlaluan ia boleh memakan diri. Berikut adalah tiga kelemahan mempunyai kebanggaan yang berlebihan dalam diri:

1. Membuat rakan sekerja berasa ‘jauh hati’

Walaupun ketegasan itu merupakan sifat yang diperlukan dalam diri, namun ia boleh menjadi satu perkara yang toksik jika kita terlalu ego dengan pendirian sendiri hingga mengabaikan pendapat rakan sekerja dan ahli lembaga pengarah yang lain.

Ini seterusnya boleh membunuh kemajuan syarikat mereka daripada terus berkembang dengan lebih lagi.

2. Enggan meminta maaf biarpun melakukan kesilapan

Sebagai manusia, kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Oleh itu, akuilah silap sendiri dan mohonlah kemaafan daripada pihak yang sepatutnya jika anda salah dalam situasi tertentu.

Janganlah kita dikaburi dengan kehebatan diri sendiri hingga memandang rendah pada orang lain. Perbuatan meminta maaf tidak akan menjatuhkan maruah anda sebaliknya membuatkan anda lebih dihormati oleh masyarakat kerana berani mengaku kesalahan diri dan bertindak dengan rasional.

3. Cemburu lihat kejayaan rakan sekerja

Tidak semua namun sesetengah daripada kita mempunyai sifat iri hati yang tinggi dan tidak boleh melihat orang lain mengecapi kejayaan apatah lagi lebih daripada kita.

Selain itu, mereka sanggup membiarkan orang lain gagal supaya tumpuan hanya diberikan kepada mereka. Sudah tentunya pemikiran sebegini akan membuatkan mereka hanyut hingga memakan diri sendiri suatu hari nanti.

Ubahlah sikap tersebut sebelum terlewat dan sama-samalah meraikan kejayaan orang lain kerana pastinya kejayaan kita akan menyusul suatu hari nanti. Usaha dan percayalah pada rezeki yang ditentukan Allah.

Artikel terbaru

2 Comments

Leave a Reply