Hari ini pelbagai jenis makanan dengan mudahnya dilabelkan sebagai makanan sunnah sedangkan tiada dalil yang sahih terhadap dakwaan tersebut.
Ada juga dalam kalangan umat Islam yang pandai-pandai mereka cerita bahawa Nabi SAW tidak makan itu dan ini tanpa sebarang dalil.
Lebih menyedihkan apabila ramai orang terpengaruh dengan dakyah sebegitu sehingga ada yang sanggup menghabiskan wang ringgit, serta mengharamkan sesuatu yang dihalalkan Islam hanya semata-mata mahu mencontohi pemakanan Nabi SAW.
1. Percampuran Antara Makanan Darat Dan Makanan Laut
Untuk pengetahuan semua, tidak terdapat satu hadis sahih pun yang menunjukkan Nabi s.a.w. melarang atau tidak menggalakkan umat Islam mencampuradukkan antara kedua dua sumber makanan tersebut.
Kedua dua makanan tersebut adalah halal dimakan dalam apa jua cara sekalipun selagi ia menepati syarat-syarat halal makanan seperti syarat penyembelihan bagi haiwan darat dan tidak memudaratkan bagi haiwan air (laut).
Sehubungan itu, jika terdapat golongan yang mendakwa larangan itu sebagai salah satu daripada pemakanan sunnah, maka itu adalah satu fitnah.
2. Larangan Memakan Buah-Buahan Bercampur Dengan Susu (Koktel)
Ini juga antara mitos yang tidak berasas sama ada daripada al-Quran mahupun al-Sunnah.
Tiada sebarang dalil pun yang mengesahkan, umat Islam tidak digalakkan untuk memakan buah-buahan yang telah bercampur aduk antara satu dengan yang lain.
Asasnya, Islam daripada awal lagi telah menghalalkan semua jenis tumbuh-tumbuhan termasuklah buah-buahan tanpa sebarang syarat selagi ia tidak memudaratkan.
la dibenarkan makan dalam apa jua situasi sekalipun.
3. Campuran Kismis
Semua jenis buah-buahan dan tumbuh-tumbuhan merupakan makanan yang halal dimakan.
Ada di antaranya adalah makanan kesukaan baginda Nabi seperti buah tembikai, kurma, labu dan sebagainya.
Namun begitu, tidak pula semua makanan tersebut menjadi satu makanan sunnah yang mesti dimakan hingga mendatangkan pahala berganda berbanding tumbuh tumbuhan yang lain.
Agak membimbangkan pada hari ini lambakan pelbagai produk makanan sunnah membanjiri pasaran tempatan.
Ini termasuk produk campuran buah-buahan atau tumbuh-tumbuhan tertentu dan kemudian dengan mudah dilabelkan sebagai makanan sunnah yang perlu dimiliki.
Kesemua dakwaan berkenaan agak samar dan kurang jelas daripada sudut dalil dan penghujahannya.
Sehubungan itu, nasihat saya kepada para pengguna agar lebih berhati-hati dan tidak mudah tertipu dengan dakwaan yang tidak berasas.
Tidak dinafikan, ada kalanya dakwaan tersebut mempunyai asas yang kukuh daripada Quran atau Sunnah dan berkemungkinan juga ia sunyi daripada dalil-dalil sahih.
Oleh itu, banyakkan sumber bacaan dan bertanyalah kepada pakarnya supaya kita tidak terpedaya dengan dakwaan yang menguntungkan sebelah pihak.