Ekonomi digital Malaysia semakin menjadi tumpuan, didorong oleh akses kepada telefon pintar dan kesalinghubungan internet.
Sebelum itu, kita kena ketahui apakah itu ekonomi digital?
Ekonomi digital didefinisikan sebagai aktiviti ekonomi dan sosial yang melibatkan pengeluaran dan penggunaan teknologi digital oleh individu, perniagaan dan kerajaan.
Ekonomi digital dengan kata lain merujuk kepada aktiviti dan urus niaga yang didorong oleh sektor awam dan swasta serta warga negara untuk menghasilkan, mengadopsi dan menginovasi teknologi dan perkhidmatan digital berkaitan dengan fungsi sosio-ekonomi untuk peningkatan kekayaan, produktiviti dan kualiti hidup.
Apa kata penyelidik tentang ekonomi digital?
Menurut Maybank IB Research, ekonomi digital yang menjadi tumpuan turut disokong oleh ketersediaan pasaran terhadap perkhidmatan aplikasi pengangkutan dan penghantaran makanan, peralihan drastik ke arah e-dagang dan syarikat yang mengintegrasikan teknologi dalam perniagaan utama mereka.
Peningkatan jumlah syarikat e-dompet seperti Touch ‘n Go (TNG), Boost dan Grab menyebabkan ruang yang sangat kompetitif, dengan harga yang sangat sensitif untuk memaksimumkan Pengguna Aktif Bulanan (MAU) yang mungkin menjurus kepada ‘hanya yang terbaik akan berjaya’.
Persaingan yang dinamik kelihatan lebih baik dalam kalangan pemerolehan pedagang (penyedia terminal pembayaran dan pemproses transaksi) dan antaranya ialah GHL Systems (GHL), Revenue Group Bhd (RGB) dan bank.
Malah Bank Negara Malaysia (BNM) menyatakan bahawa nilai dan jumlah pembayaran digital meningkat, masing-masing kepada RM23 bilion dan RM302 juta pada April 2021.
Jika anda tidak mendigitalkan bisnes, jangan terkejut apabila tiada perubahan dan lambat untuk berkembang.
Hal ini kerana ekonomi dunia pada hari ini dipacu oleh digital.
Sehubungan itu, menjadi keperluan penting kepada Malaysia terutama usahawan untuk memacu beberapa teras utama seperti penerimaan digital, teknologi keusahawanan dan inovasi.
Dalam pada itu, Asia Tenggara memiliki pasaran internet keempat terbesar di dunia dengan 360 juta pengguna dan pasaran e-dagang yang sedang berkembang dengan 14 syarikat unikorn.
Beberapa negara telah membangunkan strategi ekonomi digital untuk meningkatkan daya saing. Pencapaian daya saing negara-negara ini ditunjukkan melalui kedudukan dalam Global Competitiveness Index (GCI), 2019.
Pandemik telah mempercepat pertumbuhan ekonomi digital dan seterusnya membantu mengukuhkan daya tahan ekonomi.
Di kebanyakan negara, ketika tempoh kawalan pergerakan, aktiviti ekonomi dipacu oleh e-dagang, bekerja dari rumah dan perkhidmatan penghantaran makanan yang dipesan secara online. Aplikasi pengesanan kontak juga membantu mengekang penularan virus di samping membolehkan perniagaan meneruskan operasi.
Peluang ekonomi digital kepada bisnes?
• Teknologi digital mewujudkan model perniagaan baru yang mengganggu amalan tradisional
• Produk dan perkhidmatan fizikal bertukar kepada digital seperti buku dan DVD di stor telah digantikan dengan e-buku dan penstriman video dalam talian
• Pengkomputeran awan membolehkan perniagaan memperoleh perkhidmatan tanpa perlu memiliki dan menyenggara aset berkaitan
• Pasaran yang lebih luas untuk aktiviti komersial
+ Perniagaan dalam talian menyediakan saluran bagi memperluas jangkauan pasaran domestik dan antarabangsa
+ Peluang yang lebih besar untuk produk tempatan dipasarkan dan dijual secara e-dagang
Kesimpulan yang di sini adalah perlunya usahawan dan peniaga segera beralih kepada ekonomi digital.
Jangan terlambat untuk bertindak bagi memastikan bisnes terus berkembang ketika pandemik ini.
Di samping itu, manfaatkan pelbagai inisiatif yang dirangka kerajaan melalui Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.