Pelanggan adalah raja dalam perniagaan, jadi apa cara anda lakukan untuk memenangi hati pelanggan ini? Peniaga dekat luar sana, tak kiralah online ke, ada kedai ke, kecik atau besar, anda mesti sudah terjumpa pelbagai jenis ragam pelanggan, betul tak?
Ada yang senang dibawa berbincang, cerewet dan ada yang pilih barang bagai nak rak, tetapi tak jadi beli. Itu lumrah anda sebagai peniaga.
Jika servis anda pada pelanggan tidak memuaskan, mereka akan komplen dan akan mempengaruhi pelanggan yang lain. Anda harus guna cara yang bijak untuk memenangi hati mereka tanpa merugikan perniagaan anda.
Betul ke kata orang putih, “customer is always right”? Tak semestinya, kadang-kadang peniaga perlu tahu untuk ‘educate’ atau kongsi ilmu dengan pelanggan. Tak ada lah nanti mereka nak rasa mereka sentiasa betul sahaja.
9 teknik memenangi hati pelanggan :
1. Produk yang berkualiti
Bekalkan kepada pelanggan anda produk dan servis yang berkualiti, bukan barangan lebihan orang. Dengan produk yang berkualiti, anda boleh tawarkan kepada pelanggan anda harga yang mampu dimiliki.
Bila anda berikan yang terbaik, ada harapan yang tinggi untuk pelanggan tersebut membuat pembelian ulangan di masa akan datang. Sekiranya mereka berpuas hati dengan produk anda, secara tidak langsung mereka akan sanggup untuk membayar dengan harga yang tinggi untuk produk yang lain kerana mereka dah mula percayakan anda.
2. Berikan senyuman
Senyuman adalah sedekah. Sambut ‘tetamu’ anda dengan senyuman supaya mereka berasa senang setiap kali ke kedai anda. Senyuman yang menawan dan kata-kata yang manis akan mencairkan hati pelanggan untuk membeli barangan dan perkhidmatan yang anda berikan.
Senyuman juga membuatkan pelanggan merasa selesa untuk berkomunikasi dan secara tidak langsung, mereka juga akan melihat anda sebagai seorang individu yang mudah didekati. Ia akan memudahkan urusan jual beli anda. Kekalkan senyuman di wajah anda walaupun pelanggan tidak membeli produk anda. Ada peniaga suka berkata buruk tentang pelannggan.
3. Sabar dan sanggup mendengar
Sebagai peniaga, anda mesti sentiasa sabar dan sanggup mendengar permintaan dari pelanggan. Jangan jadi peniaga yang hanya suka apabila dipuji tetapi mula merasa tercabar apabila perniagaannya dikritik atau diberi komen.
Kritikan dari pelanggan boleh membantu akan meningkatkan kualiti perkhidmatan perniagaan anda. Jadikan ia sebagai satu cabaran untuk memberikan servis yang lebih baik.
Anda juga harus bersabar apabila melayan pelanggan yang cerewet dan banyak kerenah. Jangan sesekali mengutuk mereka atau ‘buat muka’ ketika mereka masih di kedai anda.
4. Berikan diskaun
Berikan potongan harga pada hari-hari tertentu seperti hari raya, musim cuti sekolah dan awal tahun. Ia merupakan satu cara untuk menarik perhatian para pelanggan.
Untuk mengelakkan pelanggan anda lari, apa kata anda gunakan promosi dengan memberikan kad membership. Cara ini akan menguntungkan kedua belah pihak di mana anda tidak hilang pelanggan dan pelanggan akan dapat harga dengan murah.
Siapa yang tidak suka dengan barangan yang murah, tetapi berkualiti. Anda juga boleh gunakan cara, apabila mencapai point-point tertentu, pelanggan akan dapat hadiah percuma atau kupon pembelian.
5. Percuma postage
Ramai dalam kalangan peniaga yang berniaga online mengenakan charge postage atau delivery. Untuk pegang hati pelanggang, anda boleh sediakan perkhidmatan percuma seperti postage percuma dan perkhidmatan penghantaran.
Selitkan bersama penghantaran tersebut kad nama anda dengan ucapan terima kasih. Ia akan membuatkan pelanggan rasa dihargai dan akan mengulang order barangan anda. Setelah barangan sampai, minta feedback dari pelanggan supaya anda boleh meningkatkan mutu perkhidmatan anda.
6. Ucapan terima kasih
Sebagai peniaga, ringankan mulut anda dan pekerja anda dengan ucapan terima kasih setelah selesai proses pembelian. Jika pelanggan masuk sahaja dan tidak membeli barangan anda, ucapkan juga terima kasih kerana mereka telah masuk ke kedai anda.
Mereka mungkin akan kembali ke kedai anda jika anda berikan perkhidmatan yang terbaik kepada mereka. Sesetengah pelanggan akan rasa gembira jika anda ucapkan terima kasih kepada mereka.
7. Pelbagaikan jualan
Anda boleh cuba untuk pelbagaikan jualan produk anda iaitu tidak tertumpu pada satu barangan sahaja. Jika anda jual tudung secara online, anda boleh selitkan dengan menjual baju, seluar, skirt, handbag dan scarf.
Tujuannya supaya pelanggan boleh dapatkan semua keperluan mereka dari anda, tidak perlu buka page lain lagi. Bila perniagaan online anda semakin maju, anda boleh besarkan perniagaan dengan menyewa kedai.
Dalam satu masa, anda boleh sediakan dua perkhidmatan yang mana pelanggan boleh order secara online dan datang sendiri ke kedai anda.
8. Biasakan ucapan maaf
Bukan mudah melayan kerenah pelanggan, namun jika berlaku kekeliruan atau kekurangan contohnya barang lewat sampai, lambat menjawab pertanyaan, barang yang dihantar kurang berkualiti atau anda lambat melayan mereka, cepat-cepat minta maaf pada pelanggan dan selesaikan masalah yang dihadapi itu secara professional.
Jika tidak, anda akan kehilangan pelanggan. Anda mungkin akan mengaggap itu perkara biasa dan akan dapat pelanggan baru. Jika pelanggan tersebut sebarkan servis buruk yang anda sediakan di Facebook atau blog mereka, anda mungkin akan kehilangan pelanggan yang lain. Ia juga akan menjejaskan nama baik perniagaan anda.
9. Fokus pada pelanggan yang sedia ada
Dalam mencari pelanggan baru, jangan dilupakan pelanggan yang sedia ada. Anda boleh menghubungi pelanggan yang sedia ada daripada database anda untuk dapatkan maklum balas tentang produk atau perkhidmatan yang telah anda tawarkan.
Maklum balas mereka boleh dijadikan sebagai testimoni untuk rujukan pelanggan lain. Ia akan memberi keyakinan kepada pelanggan baru untuk menggunakan produk anda. Jika ada produk baru yang ingin dipasarkan, anda boleh perkenalkan pada pelanggan yang sedia ada dahulu.