Bisnes umpama roda yang perlu terus bergerak walau banyak risiko yang perlu ditempuhi. Di saat bisnes terhenti, pesaing akan terus memecut dengan laju dan meninggalkan anda jauh di belakang.
Ramai individu berani mengambil risiko untuk memulakan perjalanan sebagai usahawan, namun adakah mereka akan berjaya tiba ke destinasi yang nak dituju? Usahawan perlu berani melangkah keluar dari zon yang selesa untuk capai visi dan impian yang menjadi pendorong utama di sebalik kejayaan bisnes.
Dalam usaha mencapai kejayaan itu, usahawan perlu berikan komitmen yang tinggi. Komitmen adalah dengan memberikan sepenuh tenaga dan perhatian atau memberi sokongan penuh terhadap sesuatu.
Apabila memulakan bisnes, sepatutnya usahawan sudah bersedia untuk komited supaya apa yang diimpikan berjaya. Sebagai usahawan jika tak kuat, bagaimana nak hadapi cabaran yang pelbagai untuk pastikan bisnes terus berkembang?
Ada beberapa perkara yang anda perlu beri komitmen yang tinggi dalam bisnes.
Komitmen seorang usahawan
1. Komitmen terhadap matlamat
Usahawan perlu jelas tentang kenapa anda nak berjaya? Apa yang anda nak capai? Siapa yang anda nak bantu? Apa yang anda nak ubah? Apabila matlamat sudah jelas, anda perlu beri setinggi-tinggi komitmen pula untuk merealisasikannya.
Penting juga sebagai seorang leader untuk memastikan seluruh team atau organisasi memiliki komitmen yang kuat terhadap matlamat bersama dan lebih mudah untuk capai hasil yang diharapkan.
2. Komitmen terhadap rancangan perniagaan
Tanda-tanda usahawan yang serius adalah, dia berjaya membuat rancangan perniagaan yang lengkap. Jika tak lengkap sekalipun, dia berusaha untuk melengkapinya. Membuat rancangan perniagaan sangat memerlukan effort yang tinggi, namun hasilnya kelak berbaloi dengan bayaran effort yang anda berikan.
Komitmen terhadap rancangan perniagaan adalah kunci untuk mencapai kejayaan dalam perniagaan. Tanpa komitmen yang kukuh, rancangan perniagaan sukar untuk dilaksanakan dengan berkesan.
3. Komitmen dalam tindakan
Impian dan matlamat tanpa tindakan adalah angan-angan yang kosong. Orang yang berjaya akan pastikan ada tindakan yang dilakukan secara berterusan dengan komitmen yang tinggi untuk mencapai matlamat.
Tindakan juga perlu pantas. Kenapa ada usahawan yang putus asa di tengah jalan? Kerana dia lambat membuat tindakan dan mudah kecewa bila ada orang lain yang mendahului langkahnya.
Orang yang komited dengan tindakannya, kita boleh lihat kelainan dalam cara hidupnya. Dari bagun pagi sehingga nak masuk tidur semula sentiasa bertenaga dan yang paling penting mereka tahu apa yang mereka nak lakukan. Buang masa dan lakukan perkara yang tak berfaedah akan menjauhkan anda dari matlamat.
4. Komitmen terhadap pelabur dan orang yang membantu
Dalam perjalanan untuk berjaya, pasti melibatkan ramai orang yang banyak membantu dan menyokong anda sehingga ada yang sanggup melabur untuk anda. Mereka ini biasanya orang yang dekat dengan anda atau orang yang percaya akan kebolehan anda dan perniagaan anda. Mereka yakin anda boleh dan akan berjaya.
Untuk memberi sokongan tersebut, ada perkara yang mereka perlu korbankan. Jadi, anda perlu beri komitmen yang tinggi agar anda tidak mengecewakan mereka dengan kegagalan tetapi bayar semula pengorbanan mereka dengan kejayaan.
5. Komitmen terhadap pasaran
Dalam menjalankan perniagaan, anda pasti berurusan dengan pelanggan, pengedar, ejen, stokis, dropship dan lain-lain. Dalam berurusan pasti ada janji yang anda taburkan seperti faedah atau keuntungan yang bakal mereka perolehi setelah bekerjasama.
Mereka berurusan dengan anda kerana mereka yakin dan percaya kepada anda, sebab itu anda perlu komited untuk membuktikan kata-kata anda bukan kosong. Dari situ akan timbul keyakinan pasaran terhadap anda dan produk dan dengan mudahnya perniagaan akan berkembang.
6. Komitmen terhadap keuntungan
Ada ke usahawan yang berniaga tapi tak nak keuntungan? Terlalu banyak manfaat dengan keuntungan perniagaan. Anda boleh bebas kewangan, bebas masa dan bebas membuat pilihan. Keuntungan perlu sentiasa ada peningkatan kerana tanpanya sukar nak kembangkan perniagaan.
7. Komitmen untuk membantu dan memberi manfaat
“Sebaik-baik manusia adalah mereka yang memberi manfaat kepada orang lain.” Pegang dengan kata-kata ini dan jadikan ia mantra utama kenapa anda yang nak berjaya.
Dengan perniagaan, anda dapat memberikan peluang pekerjaan kepada orang lain. Anda juga boleh bersedekah tanpa batasan kepada mereka yang memerlukan. Jangan ingat nak kaya untuk diri sendiri sahaja kerana dalam rezeki kita terselit rezeki orang lain juga.
8. Komitmen untuk agama
Berniaga adalah fardhu kifayah dan kejayaan anda dalam perniagaan akan menjadikan agama Islam dilihat sebagai agama yang berjaya. Selain itu, zakat wakaf, infak dan sedekah yang anda berikan dapat membantu meninggikan taraf ekonomi dan membantu bangunkan agama Islam.
Tanamkan semangat dan komitmen yang tinggi
Dengan membiasakan beri komitmen yang tinggi pada sesuatu perkara, usahawan mampu untuk membangunkan perniagaan yang kukuh dan berjaya. Perjalanannya mungkin tak mudah, usaha untuk memenuhi komitmen ini akan membawa anda kepada kejayaan yang luar biasa.