Kos semakin hari semakin meningkat, perniagaan kena kurangkan perbelanjaan syarikat untuk tampung kos yang sedia ada.
Adakah perlu kurangkan tenaga kerja dengan buang pekerja? Sekat elaun pekerja? Atau ambil pekerja dengan gaji yang jauh lebih murah dari yang sepatutnya?
Kalau boleh, semua benda nak disekat sehinggakan ada syarikat yang culas membayar wang simpanan pekerja kerana nak tutup kos yang ada.
Dalam keadaan ekonomi yang tak menentu sekarang, pengguna semakin berhati-hati dalam memilih untuk membeli. Ditambah pula dengan lambakan jenama dalam pasaran, mereka semakin banyak pilihan.
Jenama anda mungkin menjadi pilihan dan mungkin juga tidak. Jualan ada, keuntungan juga ada, tapi tidaklah seperti yang diharapkan.
Untuk pastikan bisnes kekal relevan dan tak terbeban dengan hutang yang bakal menjadi masalah di masa depan, usahawan, jangan boros!
Tak kira anda jalankan perniagaan baru atau yang dah lama, ini masa yang sesuai untuk fikir langkah penjimatan yang boleh dilaksanakan sekarang atau pada bila-bila masa dan membolehkan anda jadi pemilik perniagaan yang proaktif serta bukan reaktif dalam menangani perjalanan syarikat anda melalui ekonomi yang mungkin tak menentu.
6 tips jimat kos yang bijak untuk usahawan
1. Fikir semula strategi pemasaran dan pengiklanan
Kos pemasaran dan pengiklanan boleh menjadi besar, terutamanya untuk perniagaan yang jalankan kempen berbayar seperti pengiklanan di media sosial, influencer atau guna agensi besar.
Gantikan kempen iklan yang memerlukan modal besar dengan penambahbaikan SEO pada laman web anda. Jangan lupa teknik ‘zero kos marketing’ dengan tingkatkan pemasaran media sosial organik dan fokus pada content yang menarik di platform tersebut.
Dengan cara ini, anda boleh jimat banyak dan masih dapat capai pelanggan yang tepat.
2. Rekrut pekerja dengan bijak
Ini mungkin sukar bagi banyak pemilik perniagaan, terutamanya mereka yang menguruskan pengambilan pekerja sendiri.
Walaupun mengupah pekerja berpengalaman adalah penting, namun mereka biasanya lebih mahal daripada mereka yang kurang pengalaman.
Bila memilih pekerja, fokus pada kecerdasan dan kebolehsuaian mereka dalam bekerja. Atau mungkin anda boleh ambil ‘intern’ bagi jawatan yang sesuai dan serap mereka untuk bekerja secara tetap kemudian.
Walau bagaimanapun, mengambil pekerja yang berpengalaman juga penting untuk mengisi jawatan yang memerlukan pengalaman luas dari pekerja tersebut.
3. ‘Outsource’ tugasan
Pekerja adalah aset penting dalam perniagaan anda. Tapi dengan kos gaji yang meningkat, insurans, dan ruang pejabat, pekerja juga merupakan salah satu perbelanjaan terbesar organisasi anda.
Tak semua tugas anda perlu menggajikan pekerja, banyak perkhidmatan luar yang menawarkan khidmat kerja tanpa anda menggajikan pekerja tetap setiap bulan.
Apabila kewangan syarikat mula meningkat dan stabil, anda dah boleh fikirkan untuk menggajikan pekerja tetap semula.
4. Buat rundingan dengan pembekal
Bila ekonomi tidak menentu, hampir semua orang rasa kesannya, termasuk dengan pembekal anda.
Kesediaan mereka untuk penuhi keperluan anda yang berubah adalah penting, kerana ia menunjukkan komitmen mereka terhadap kejayaan perniagaan anda dalam masa baik dan buruk.
Cuba bekerjasama dengan mereka untuk dapatkan harga yang lebih baik. Mungkin anda perlu tawarkan sesuatu. Namun, kenapa tidak jika kedua-dua pihak mendapat manfaat bersama dan tiada yang rugi?
5. Fikir semula faedah tambahan yang diberikan
Pernah dengar ada syarikat yang sediakan bilik ‘gaming’, makanan yang sentiasa ada di pantry, barangan kelengkapan kerja yang mahal atau melancong ke luar negara setiap tahun?
Ianya selalu berlaku di syarikat-syarikat yang besar. Pasti ramai jiuga usahawan yang mengimpikan untuk sediakan faedah yang sama untuk keselesaan pekerja. Betul ke betul?
Walau bagaimanapun, tak semua syarikat mampu. Namun anda boleh sediakannya dengan kos yang rendah. Pekerja pasti menghargai usaha yang anda ingin tonjolkan.
Gantikan faedah mahal dengan alternatif kos rendah yang memberikan kepuasan tinggi seperti makanan tengahari percuma, permainan yang tidak melibatkan kos berterusan seperti meja ping pong atau pool dan sebagainya.
Pertimbangkan juga untuk menawarkan ‘work from home’ atau cuti untuk peristiwa tertentu seperti hari jadi dan sebagainya kepada pekerja.
Anda bukan saja boleh menjimatkan kos, malah boleh membantu mencegah burnout di tempat kerja dan memastikan persekitaran kerja yang sihat, produktif, dan positif untuk semua orang.
Jangan takut ubah strategi
Mengurus kos adalah langkah kritikal untuk memastikan kelangsungan dan kejayaan bisnes anda. Dengan menerapkan tips yang telah dikongsikan, anda dapat mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu.
Usahawan kena bijak untuk masa depan perniagaan anda. Jangan takut untuk menilai semula strategi perniagaan anda dan mencari cara baru untuk beroperasi dengan lebih efisien.