‘Aku dah penat nak berniaga, asal berniaga jer mesti tak untung! Baik aku duduk rumah jer…’ kata seorang usahawan ini.
Rungutan seperti inilah yang selalu berlaku kepada usahawan-usahawan yang dah rasa tak boleh ‘pergi’ dengan perniagaan yang dia sedang usahakan.
Akhirnya, dia akur dengan keputusan untuk angkat ‘bendera putih’ dan kembali ke takuk lama sedangkan ramai usahawan-usahawan di Malaysia banyak yang berjaya dan mencipta nama.
Jika difikirkan, mereka boleh berjaya, dapat hasil jualan juta-juta tapi kenapa tidak anda? Apa yang tak kena?
Jangan hanya mula-mula nak berniaga jer semangat berkobar-kobar, namun bila dah mula hadap cabaran, dah mula rasa tak yakin dan terus menyerah kalah. Bagaimana anda nak berjaya kalau dah mindset pun tak kena.
Berniaga tidak mudah namun jika anda bersungguh-sungguh untuk membina sebuah perniagaan, mungkin anda salah seorang usahawan yang menjadi perbualan di bibir-bibir masyarakat Malaysia.
Jika anda perhatikan sekarang, ramai anak muda yang mula berjinak nak mulakan perniagaan. Ramai yang disogokkan dengan berniaga ni boleh kaya raya dengan cepat, boleh pakai kereta besar, boleh beli rumah.
Ya ini betul, namun harus diingat, berniaga kalau tak ada ilmu yang betul, MenThor yang betul memang boleh ‘bungkus’ awal. Dan sebab tu, sebelum berniaga anda kena betul-betul bersedia menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran dalam berniaga ini.
Dengan ini, kami senaraikan kepada anda 5 faktor utama pemilik bisnes di Malaysia tewas awal dalam perniagaan. Mungkin dengan adanya point-point ini, anda jadikan sebagai panduan supaya risiko kegagalan itu dapat dielakkan.
5 faktor utama pemilik bisnes di Malaysia angkat bendera putih :
- Tidak cukup ilmu bisnes
Bila anda dah tahu anda tak cukup ilmu bisnes, tapi nak juga buka bisnes. Lepas tu mula meronta-ronta kelemasan sebab tak cukup nafas nak handle bisnes. Inilah penyebab bisnes anda cepat lingkup.
Jangan sombong nak berilmu. Tanya orang yang lebih pandai dan berguru dengan mereka. Bak kata Dr Azizan Osman, buka mask anda dan tanya orang yang lebih pandai. Jangan malu.
Dengan adanya ilmu bisnes yang betul. Ia akan mempengaruhi cara anda untuk membuat keputusan dan menguruskan bisnes anda. Jika anda tak ada ilmu, ia umpama memperjudikan nasib.
Dan disebabkan ini, bisnes anda tak ke mana. Sanggup melaburkan puluhan ribu ringgit untuk bisnes yang belum tentu jadi daripada menghabiskan ratusan ringgit untuk hadir ke mana-mana kelas ilmu atau pun bahan bacaan yang boleh membantu anda dalam perniagaan.
Dan jangan tak tahu, ada golongan-golongan tertentu yang mula main peranan untuk ambil kesempatan terhadap usahawan yang baru sahaja mula berjinak-jinak dalam bisnes.
Semakin kurang ilmu seseorang itu, semakin mudah mereka diperdayakan. Jadi anda harus berhati-hati. Jangan sampai keluar muka depan surat khabar dengan headline berbunyi ‘Seorang usahawan kerugian jutaan ringgit akibat diperdaya oleh…’
- Memulakan bisnes dengan duit pinjaman
Mungkin ramai peniaga di luar sana suka untuk membuat pinjaman untuk memulakan bisnes. Memang pada awalnya ia adalah satu perkara yang memudahkan anda untuk menjalankan bisnes, namun selepas melakukan pinjaman, anda mungkin dalam situasi tertekan. Kenapa sedemikian?
Anda mungkin hilang fokus. Fokus anda bukan lagi untuk mengembangkan bisnes, sebaliknya anda hanya fikirkan mahu melunaskan hutang sahaja. Betul betul?
Ha ini yang menambahkan lagi ‘cabang tekanan’ yang tak perlu anda sebagai pemilik bisnes tanggung pada peringkat awal ini. Wang pinjaman selalunya digunakan untuk mengembangkan bisnes anda yang sudah stabil, dan bukannya ketika anda masih mahu mula buka bisnes.
Jadi sebelum membuat keputusan untuk membuat pinjaman, fikir terlebih dulu. Lihat sama ada pinjaman yang dibuat itu membebankan anda di kemudian hari atau tidak.
- Berniaga produk atau perkhidmatan yang bukan kepakaran anda
Ini satu perkara yang sangat banyak usahawan lakukan. Tak pandai bab kecantikan, tapi jual produk kecantikan, macam mana anda nak terangkan tentang kecantikan berkenaan produk anda jika anda sendiri pun terkebil-kebil nak terangkan.
Wujud usahawan yang memang suka ikut orang. Orang nak berniaga kuih, dia pun nak berniaga kuih. Orang nak berniaga baju, dia pun sibuk nak berniaga baju.
Seeloknya, elakkan daripada meniru produk atau perkhidmatan orang lain. Gunakan kemahiran dan kepakaran yang ada. Sebagai contoh, jika anda pandai memasak, jadi gunakan kepakaran anda tu dengan jual produk makanan. Ini akan memudahkan anda nanti.
Jika anda jual produk atau tawarkan perkhidmatan yang anda mahir dan suka, barulah anda tak rasa tertekan dan sentiasa gembira dalam menjalankan perniagaan tersebut. Baru ‘feel’ tu ada. Betul betul?
- Gagal dalam pengurusan kewangan
Ini salah satu masalah besar yang membuatkan peniaga tak dapat bertahan lama dalam perniagaan. Ramai peniaga yang gagal dalam pengurusan wang. Malah ada yang tak dapat menguruskan kewangan.
Ada juga yang tak tahu membezakan antara wang bisnes dan wang peribadi. Perkara ini yang menyebabkan bisnes lebih mudah pancit awal.
Lagi tambah memeningkan kepala apabila anda sendiri umpama ‘mencuri’ wang syarikat sendiri. Manalah tahu jika syarikat anda mengalami masalah, jualan jatuh atau syarikat memerlukan bajet tambahan untuk pemasaran, sudah tentu wang syarikat anda tidak cukup.
Tambah senak, apabila wang yang dicuri itu pula habis dijoli atas keperluan dan kehendak peribadi.
Jangan amalkan perkara ini. Sebaiknya, rancang kewangan anda sebaik mungkin. Barulah perniagaan anda lebih berjalan lancar selepas ini.
- Sikap malas
Malas adalah satu penyakit. Jika tak tanganinya dari awal, memang akan membawa padah. Apa yang dimaksudkan di sini adalah, ramai usahawan yang nak berniaga tapi oleh kerana malas nak belajar, malas nak berusaha, malas dalam segala hal menyebabkan perniagaan mereka terhenti di tengah jalan.
Ada usahawan yang tak mahu berusaha bersungguh-sungguh dalam menjalankan perniagaan malah mereka ni mengambil sikap sambil lewa. Ada yang malas turun padang untuk melihat sendiri bagaimana perniagaan ini dijalankan.
Ada juga yang tidak berdisiplin dan serius dalam menjalankan perniagaan. Contohnya, buka kedai tak ikut masa yang betul, selalu tutup kedai, berniaga pun sekejap ada sekejap tak ada dan pelbagai lagi masalah yang boleh meruntuhkan perniagaan anda sendiri. Jadi hindari sikap malas ini untuk anda bina perniagaan yang berjaya di masa hadapan.
Sebagai kesimpulannya, kelima-lima faktor ini penyebab usahawan tewas awal dalam perniagaan. Apa pun yang dilakukan, jangan mudah menyerah kalah. Sentiasa berfikiran positif nak buat apa-apa perkara pun jangan hanya hangat-hangat taik ayam.
Lakukan dengan bersungguh-sungguh. Jika orang lain boleh berjaya, mengapa tidak anda? Apa yang penting, usaha dan ambil tindakan yang betul untuk bina bisnes berjaya. Anda boleh lakukannya!