Setiap orang yang hidup di atas muka bumi ini pasti mengimpikan kejayaan tidak kira dalam apa jua yang dilakukan.
Kejayaan bukan hanya tentang kewangan dan harta semata-mata, tapi kejayaan juga adalah pencapaian terbaik yang telah dicapai dalam setiap perkara.
Ada 5 elemen kejayaan yang anda perlu ada sebelum anda dikatakan berjaya dalam hidup.
Kejayaan Dalaman
Kejayaan dalaman adalah melakukan apa yang anda mahu lakukan tanpa perlu berfikir terlalu lama dan tidak perlu memikirkan apa yang orang lain akan kata tentang anda.
Kejayaan ini selalu dikaitkan dengan kebahagiaan, mempunyai pemikiran yang positif, harga diri dan tahap kesabaran yang tinggi serta hubungan kerohanian yang sangat kuat dalam diri.
Tidak mustahil kejayaan dalaman mampu membawa kepada kewangan yang berjaya, tapi ia perlu dimulakan dengan kebahagiaan terlebih dahulu.
Kebahagiaan bermaksud, anda suka apa yang anda lakukan hari ini.
Kejayaan Fizikal
Kesihatan anda adalah kejayaan anda yang sangat penting. Apa gunanya anda berjaya dalam banyak perkara dalam dunia ini tapi fizikal anda gagal.
Kejayaan fizikal dapat dicapai dengan melakukan senaman yang bersesuaian dan diet yang seimbang.
Ini pasti akan dapat membantu anda mengekalkan berat badan yang ideal serta pengurangan risiko penyakit-penyakit yang berbahaya seperti diabetes, penyakit jantung dan juga pelbagai jenis kanser.
Kejayaan Kekeluargaan
Menjadikan keluarga sebagai satu keutamaan adalah sangat penting. Keluarga yang berjaya dapat memupuk perasaan kekeluargaan yang positif dan mengatasi masalah tekanan dengan cara yang menghasilkan lebih fleksibiliti dan perpaduan dalam keluarga.
Apabila anda dan keluarga bahagia, anda akan menunjukkan prestasi yang lebih baik di tempat kerja. Jika anda mempunyai masalah dalam keluarga, anda masih boleh berjaya di tempat kerja.
Akan tetapi, prestasi anda tak akan sama dengan mereka yang mempunyai keluarga yang bahagia. Dan kebahagiaan bersama keluarga boleh dipupuk. Kenapa nak bersedih kalau boleh bergembira?
Kejayaan Kerjaya
Kejayaan dalam kerjaya adalah bila mana anda gembira dan berpuas hati dengan pilihan kerjaya yang anda pilih sehingga mencapai tahap kestabilan kewangan hasil daripada pekerjaan anda.
Banyak sebab ramai orang nak berjaya dalam kerjaya seperti menginginkan kebebasan kewangan, mengejar status sosial, malah ada yang mahu meningkatkan kualiti hidup.
Kejayaan Dalam Pembaharuan
Cabaran kadang kala adalah perlu dalam kehidupan seharian kita kerana kita sentiasa memerlukan pembaharuan dan tak boleh selesa dalam satu perkara sahaja.
Manusia diciptakan sebagai makhluk Tuhan yang kreatif, jadi perlu untuk kita sentiasa mencipta pembaharuan agar dapat melakukan sesuatu yang baru dan segar.
Pasti ramai yang dah faham, kejayaan yang sebenar bukan hanya terletak pada tahap kewangan semata-mata.
Ramai orang kaya, banyak duit, tapi masih tidak berpuas hati dengan hidup mereka sekarang. Ini menandakan mereka masih belum berjaya sebagai seorang manusia.
Jika anda berjaya kuasai semua kejayaan ini, anda bukan sahaja akan mendapat kepuasan untuk diri sendiri malah untuk orang sekeliling anda juga.
Kejayaan yang mana satu anda nak dan sudah capai?