Pernah tak anda rasa susah sangat nak capai keyakinan diri? Rasa macam apa yang kita buat tak pernah cukup. Lagi-lagi bila berada dalam kalangan usahawan yang lain, tiba-tiba diri rasa kecil sangat, macam tak layak pun nak duduk bersama mereka yang dah jauh lebih berjaya.
Mula lah suara dalam hati berbisik, “Aku ni cukup bagus ke? Boleh ke berjaya macam mereka? Layak ke aku nak duduk semeja dengan mereka?”
Hakikatnya, soalan-soalan macam ni selalu datang bila kita mula bandingkan diri dengan orang lain. Kita rasa rendah diri, padahal orang lain pun tak semestinya menilai kita macam mana kita menilai diri sendiri.
Kadang-kadang, situasi ni rasa seperti mendaki gunung yang tinggi tanpa peta. Tak tahu arah, tak pasti langkah mana yang betul.
Tapi sebenarnya, keyakinan diri tak semestinya datang bila kita ada segalanya. Ia lebih kepada macam mana kita melihat dan menghargai diri sendiri, walaupun kita belum capai apa-apa yang besar.
Tak perlu tunggu semuanya sempurna baru nak ada keyakinan kerana ia boleh dibina. Sama macam bina otot, perlahan-lahan tapi konsisten. Kalau anda rasa susah nak mula, jangan risau. Ada cara untuk bantu anda bina keyakinan diri.
Cara bina keyakinan diri
1. Berhenti berkata buruk tentang diri sendiri
Pernah tak anda fikir betapa bahayanya bila kita bercakap buruk tentang diri sendiri? Kadang-kadang, benda tu keluar secara tak sedar. Contohnya, “Aku ni bodoh betul,” atau “Macam mana lah aku boleh gagal lagi.”
Tapi sebenarnya, kata-kata macam ni boleh jadi jauh lebih teruk kesannya daripada apa yang orang lain katakan tentang kita. Kenapa?
Sebab minda kita ni ibarat magnet, atau lebih senang nak faham, dia macam pusat kawalan utama diri kita. Apa saja yang kita masukkan dalam minda, tubuh dan emosi kita akan ikut sama.
Kalau yang kita fikir dan cakap tu negatif, diri kita pun secara automatik akan bertindak mengikut aura negatif tu. Kita mula rasa rendah diri, hilang semangat, dan akhirnya percaya yang kita memang tak mampu nak capai apa-apa.
Bahaya kan? Sebab tu penting untuk jaga apa yang kita cakap, terutama pada diri sendiri. Sebab percayalah, kalau kita boleh bawa diri ke arah negatif hanya dengan kata-kata buruk, bayangkan pula betapa hebatnya kesan kalau kita mula bercakap tentang perkara yang positif.
Anda akan jadi seperti apa yang anda fikirkan. Jadi, pilihlah untuk fikir yang baik-baik saja, sebab itu yang akan membentuk siapa anda sebenarnya.
2. Bersikap baik kepada diri sendiri
Bila kita mula bercakap benda yang baik tentang diri sendiri, perlahan-lahan keyakinan diri tu akan muncul. Mungkin pada mulanya rasa macam tak logik, tapi lama-kelamaan kata-kata tu mula membentuk cara kita melihat diri sendiri. Kita mula percaya bahawa kita memang mampu.
Luangkan masa untuk berikan yang terbaik untuk diri sendiri. Makan makanan yang baik, bersenam, dengar muzik kegemaran atau luaskan pandangan dengan pergi bercuti ke tempat-tempat yang menarik.
Anda akan segarkan minda dan boleh berfikir untuk buat keputusan dengan baik. Ini akan membuatkan semangat dan keyakinan anda semakin tinggi.
3. Berdoa
Luangkan masa sejenak untuk memahami kemampuan diri anda dengan lebih mendalam. Kenali apa kelebihan yang ada, perbaiki kekurangan dan hargai setiap usaha yang telah anda lakukan.
Jangan lupa, berdoa dan mohonlah kepada Allah SWT supaya diberikan keyakinan diri serta kekuatan untuk terus melangkah. Percayalah, setiap langkah kecil itu mampu membawa anda lebih dekat kepada kejayaan.
Bila rasa tak yakin, jangan layankan sangat perasaan tu dan tak buat apa-apa. Sentiasa ingat untuk berdoa. Tapi jangan berdoa tanpa usaha pula. Nak berjaya tak ada magic!
4. Berhenti memuaskan hati orang
Untuk bina keyakinan diri, berhenti terlalu risau nak memuaskan hati orang lain. Kita bukan robot yang perlu ikut arahan semua orang. Kalau ada yang tak pandai hargai usaha kita, sekuat mana pun kita cuba, ia tetap tak akan beri hasil positif.
Fokus pada diri sendiri dan orang yang benar-benar menghargai kita. Kebahagiaan sebenar datang dari dalam diri, bukan dari usaha untuk buat orang lain gembira. Namun, anda tetap kena buat baik kepada orang lain, cuma perlu berpada-pada.
Berusaha jadi yang terbaik
Keyakinan diri ni sebenarnya adalah aset paling berharga yang kita ada untuk capai apa sahaja yang kita impikan dalam hidup.
Ia bukan bermaksud kita kena jadi sempurna, sebab tiada siapa pun yang sempurna. Yang penting, setiap hari kita berusaha untuk jadi versi terbaik diri kita. Jadi, jangan tunggu sampai segala-galanya sempurna baru nak percaya pada diri sendiri.
Mulakan dengan langkah kecil, perlahan-lahan anda akan nampak perubahan besar yang positif dalam hidup.
Percayalah, anda layak untuk berjaya dan segala-galanya bermula dengan keyakinan pada diri sendiri.