Berdakwah tak semestinya melalui syarah agama secara formal sahaja. Banyak medium dan caranya.
Kehangatan FIFA World Cup 2022, Qatar semakin dirasai. Namun, apa yang lebih menarik adalah sentuhan dan mesej-mesej pengenalan ajaran Islam yang amat indah sejak berlangsung majlis pembukaan lagi.
Dalam sejarah FIFA World Cup, Qatar merupakan negara Islam pertama yang menjadi tuan rumah bagi perlawanan berprestij ini. Perkara ini merupakan perkara yang membanggakan buat seluruh umat Islam.
Pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun menerusi hantaran di Facebooknya, turut berkongsi fakta tentang FIFA World Cup Qatar yang mempersonakan seluruh dunia dengan keindahan Islam.
1. Lebih 1,500 memeluk Islam
Sebuah keluarga dari Brazil mengucapkan syahadah selepas tiba di Qatar untuk menonton Piala Dunia.
Sehingga kini, Piala Dunia 2022 Qatar yang sedang berlangsung menyaksikan lebih daripada 1500 orang memeluk Islam dan dijangka nilai ini akan bertambah.
Semakin ramai orang yang memeluk Islam sepanjang perlawanan berlangsung.
2. Menghalang penyebaran ideologi ‘pelangi’
Banyak berita tular apabila penonton yang memakai pakaian atau mengibarkan bendera ‘pelangi’ diambil tindakan oleh pihak berkuasa kerana melanggar undang-undang negara dan peraturan acara.
Walau ramai penyokong ideologi ini tidak berpuas hati dengan tindakan pihak berkuasa tetapi sebenarnya memang wajar kerana tindakan tersebut telah melanggar polisi negara.
Kejadian yang menangkap perhatian apabila seorang warga Amerika diring keluar dari stadium oleh polis Qatar kerana memakai armband “pelangi” menunjukkan bahawa Qatar sangat tegas dalam mencegah kemungkaran ideologi songsang (LGBT) daripada terus dinormalisasi di negara mereka.
3. Memakaikan igal kepada lelaki
Igal adalah getah berwarna hitam yang dipakai di atas kepala masyarakat orang arab sebagai budaya pemakaian mereka di sana.
Lebih menarik apabila mereka sediakan kain untuk dipakai dengan igal itu bercorak bendera negara-negara dunia.
Contohnya pelancong dari Argentina akan dipakaikan kain bercorak bendera negara tersebut bersama igal.
Usaha ini berjaya menarik ramai orang bukan Islam untuk mencuba pakaian tersebut dan bergambar, sedikit sebanyak mereka didedahkan dengan pemakaian seperti masyarakat muslim di tanah Arab.
4. Memakaikan tudung
Wanita bukan Islam ditawarkan untuk mencuba memakai tudung. Banyak video yang tular.
Seronok melihat suasana mereka gembira saat melihat diri mereka dalam keadaan ‘menutup’.
Bahkan ada yang berkata bila bertudung membuatkan mereka rasa selamat, tenang dan mempunyai kuasa untuk memilih.
5. Bacaan Al-Quran dan reaksi
Menariknya Piala Dunia kali ini, anak-anak muda Muslim tidak melepaskan peluang untuk membuat “social experiment” dengan mendekati penonton dan pelancong yang hadir dalam kalangan bukan Islam untuk memperdengarkan mereka bacaan al-Quran secara audio dan bertanyakan pendapat apa yang mereka rasakan ketika mendengar alunan ayat al-Quran tersebut.
Kebanyakan mereka menyatakan rasa yang “menenangkan”, “aman”, “sangat indah”, “santai’, dan banyak lagi perasaan positif yang mereka rasakan ketika mendengarnya.
6. Surau lut sinar
Sebuah surau lut sinar dibina supaya boleh dilihat aktiviti ibadah dari luar.
Sesiapa yang melalui kawasan surau itu dapat melihat orang Islam beribadah sehingga ramai yang menyaksikan dan mengambil gambar dari luar.
Inilah dakwah yang secara tidak langsung dapat membuka mata non-muslim tentang keindahan Islam.
7. Solat berjemaah di kawasan terbuka
Di saat gelombang Piala Dunia meningkat naik dan ramai pelancong dari luar negara bertandang ke negara tersebut, Qatar tidak melepaskan peluang untuk menganjurkan solat Jumaat secara terbuka di kawasan lapang berdekatan stadium yang menjadi tempat perlawanan Piala Dunia.
SubhanAllah, buat pertama kalinya dalam sejarah Piala Dunia.
8. Tidak mengiktiraf pelancong Israel masuk ke Qatar
Qatar adalah di antara negara Islam yang paling kecil di dunia namun sangat besar dan berpengaruh.
Mereka tidak mengiktiraf negara Israel, bahkan menyekat mana-mana pass masuk pelancong dari Israel.
Mereka yang ingin menonton Piala Dunia terpaksa membeli tiket pass Palestin.
Pemerintah dan banyak badan-badan organisasi di Qatar sangat menyokong tindakan ini dan mereka bersama perjuangan Palestin yang mempertahankan Islam hingga ke hari ini.
9. Dialog antara Morgan Freeman dan Ghanim Al-Muftah
Antara cara yang banyak menarik perhatian ribuan penonton yang hadir adalah kemunculan pelakon terkenal Hollywood, Morgan Freeman dan seorang pemuda berusia 20 tahun, Ghanim Al-Muftah yang merupakan ikon pemuda Qatar serta duta FIFA World Cup 2022.
Mereka berdialog tentang bagaimana kepelbagaian manusia boleh hidup dengan harmoni di bawah satu bumbung?
Kemudian Ghanim Al-Muftah membacakan surah Al-Hujurat ayat 13 di hadapan semua penonton
10. Hadis di dinding stadium
Pihak penganjur memanfaatkan Stadium Al Bayt yang besar untuk mempamerkan hadis-hadis Rasulullah SAW kepada para pengunjung di dinding-dinding stadium.
SubhanAllah, mudah-mudahan usaha tersebut menjadi asbab hidayah dimasukkan ke dalam hati para pengunjung.
11. Bar code dalam setiap bilik hotel
Satu usaha yang sangat baik pihak penganjur untuk perkenalkan para pengunjung dengan Islam iaitu meletakkan bar code yang mengandungi perkara-perkara asas tentang agama Islam.
Di sini para tetamu sedikit sebanyak mendapat pendedahan tentang keindahan Islam yang harmoni.
12. Laungan azan di stadium
Sepanjang pertandingan FIFA dijalankan di Stadium Al Bayt, muazzin diminta untuk melaungkan azan sebanyak 5 kali sehari sebagai tanda masuk waktu solat sewaktu perlawanan berlangsung.
Mereka menjemput muazzin yang mempunyai suara merdu. Suara yang merdu boleh memikat hati pendengar sehingga melekat di dalam fikiran mereka.
13. Pendakwah menyampaikan Islam
Pihak penganjur menjemput 2,000 orang pendakwah yang bersedia untuk menyampaikan kefahaman tentang kebaikan Islam kepada para pengunjung.
Mereka disediakan 10 buah kereta dan 10 khemah bagi memudahkan urusan berdakwah serta proses syahadah.
14. Ruang solat dan wudhuk
Pihak penganjur juga menyediakan tempat solat yang luas dan tempat wudhuk yang banyak bagi memudahkan umat Islam menunaikan tanggungjawab mereka 5 kali sehari.
Ini antara contoh untuk menganjurkan sesuatu acara hiburan dalam masa yang sama tetap menjaga kewajipan sebagai muslim.
Kelengkapan dan kemudahan untuk beribadah disediakan bagi membantu para hadirin menunaikan yang fardhu.
15. Jualan arak dilarang
Presiden FIFA, Gianni Infantino mengumumkan jualan arak adalah dilarang di dalam stadium kerana ia merupakan arahan pihak penganjur di Qatar.
Sebenarnya ramai penyokong bukan Islam tidak bersetuju dengan perintah tersebut, tetapi Infantino menegaskan bahawa “penonton boleh hidup tanpa alkohol sepanjang 3 jam menonton perlawanan.”
16. Menjemput Dr. Zakir Naik
Qatar telah menjemput seorang penceramah terkenal bagi memberi ceramah mengenai Islam dalam kejuaraan tersebut. Dr. Zakir membawakan topik mengenai “Perkahwinan Nabi” yang mana topik yang sama pernah dibahaskan oleh Nupur Syarma.
Penyampaian Nupur telah mendapat kecaman hebat di Qatar sehingga mereka memaklumkan pada kedutaan India mengenai memo protes akan kenyataan Nupur.
Itu merupakan salah satu sebab mereka menjemput Dr. Zakir Naik bagi berceramah topik yang sama.
17. Museum of Islamic Art (MIA)
Museum of Islamic Art (MIA) yang telah dibina pada awal 1990-an oleh Amir Qatar yang ke-5.
Beliau telah mengumpulkan barangan seni moden dan kontemporari dari kawasan yang memiliki hubungan sejarah dan budaya.
Muzium ini kembali beroperasi semula setelah 18 bulan ditutup kerana renovasi dan mempamerkan senibina artifak Islam selama 14 abad dari seluruh dunia.
18. Qatar guest centre
Qatar Guest Centre atau Bilik Tetamu Khas yang telah disediakan untuk 200 pasukan, 10 kenderaan bagi membimbing dan memberi keselesaan untuk orang ramai yang ingin mengetahui tentang Islam.
19. Barangan sunnah
Penonton menerima barangan sunnah secara percuma, antara barang sunnah yang diedarkan adalah minyak attar dan kayu gaharu.
Dengan ini para penonton dapat mengetahui sunnah-sunnah yang dianjurkan oleh Islam.
Bagaimana Qatar boleh melakukan perkara ini dengan jayanya. Ingat tak, Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr. Azizan Osman selalu sebut 80% kejayaan adalah daripada persediaan.
Bukan itu sahaja, Qatar memanfaatkan penganjuran FIFA World Cup ini dengan sebaik-baiknya. Apabila peluang di depan mata, gunakanlah sebaik-baiknya.
Peluang dan ruang yang ada digunakan semaksimum mungkin untuk memberi manfaat.
Kini kita berada pada penghujung tahun 2022, sebagai bangsa usahawan jom lihat sejauh mana persiapan yang kita dah lakukan untuk menempuh 2023.
2 Comments
Alhamdulilah Syukur
Elmu yg diberi Amin yrb
Tq DWAO & Team Richworks International
👍
Alhamdulillah. Semoga bermanfaat untuk semua!