Siapa yang tak kenal Steve Jobs, nama yang selalu disebut-sebut dan didendangkan dalam dunia perniagaan! Seorang individu yang bertanggungjawab memacu kejayaan Apple hingga kini.
Kalau di negara kita, Tan Sri P Ramlee dikatakan tiada galang ganti, begitu juga dengan Steve Jobs yang tiada siapa pun dapat menggantikan beliau hingga kini. Anda takkan pernah tengok individu yang begitu bersemangat dan berdedikasi dalam memajukan syarikatnya iaitu Apple.
Dalam kehebatan yang beliau tunjukkan kepada kita, beliau sendiri telah menyedarkan kita bahawa beliau hanyalah insan biasa. Seorang lelaki yang bangun setiap pagi, seperti saya dan anda! Mempunyai sebuah keluarga yang mana sebelum keluar pergi kerja, beliau akan cium dan ucapkan selamat tinggal dahulu kepada keluarganya seperti biasa. Perkara yang kita lakukan seharian jugak bukan? Dan apabila tiba di pejabat, beliau tanamkan semua minat dan passionnya dalam melakukan kerja seperti rutin biasa.
Steve Jobs juga mengajar kita bagaimana orang biasa menjadi seorang yang hebat. Beliau banyak mengajar kita tentang erti kehidupan. Oleh itu, jom kita lihat
10 Prinsip Hidup Steve Jobs Buat Orang Melayu
- Inovasi yang paling mujarab adalah menjadi lebih kreatif
Steve selalu menyatakan bahawa Apple dan semua komputer lain di pasaran memiliki jurang perbezaan yang besar. Apple adalah syarikat yang sentiasa cuba untuk ‘mengahwini’ seni dan sains. Steve telah memasukkan unsur kesenian yang menyebabkan Apple digilai hingga hari ini. Apa yang anda boleh faham di sini?
Ianya bermaksud syarikat Apple sentiasa berfikir ke hadapan dengan memasukkan unsur kesenian dalam produk mereka. Oleh itu, iPhone menjadi telefon pintar yang cantik untuk dimiliki dengan pelbagai ciri menarik. Dan hasil kerja ini adalah dari pasukan yang berlatar belakangkan antropologi, seni, sejarah, dan juga puisi.
Ini antara penyebab utama produk Apple sentiasa menonjol di pasaran dan sentiasa berada di hadapan. iPad juga berbeza dengan komputer tablet lain yang wujud sejak dari dulu lagi kerana mereka memasukkan unsur kesenian dalam produk mereka. Dapat sesuatu?
Dalam sesebuah syarikat, kita perlu ada variasi dan kepelbagaian latar belakang untuk menghasilkan produk yang lebih wow. Jangan takut untuk melantik pekerja yang lebih berinovasi dari anda. Mana tahu, mereka mungkin antara orang kuat dalam syarikat yang boleh memajukan syarikat anda suatu masa nanti.
- Untuk berjaya di masa hadapan, anda tak boleh tertumpu kepada kumpulan fokus
Ada satu teori yang mengajar kita tentang sekiranya anda adalah penjual yang melalui masalah tentang produk atau servis, anda hanya perlu dengar saja apa yang pelanggan anda katakan.
Steve Jobs adalah seorang ahli perniagaan yang tidak setuju dengan kenyataan ini 100% peratus kerana dari segi inovasi teknologi, pelanggan mungkin kurang tahu tentang ciri-ciri produk terkini. Tahukah anda, pelanggan hari ini tak semua tahu apa yang mereka mahu, terutamanya sesuatu perkara yang mereka tidak pernah lihat, dengar atau sentuh. Setuju?
Apabila Apple mula keluarkan produk tablet, ramai yang skeptikal dan tak boleh terima! Apa? Tablet? Apa tu? Apabila mereka dengar je nama (iPad), terus ia menjadi ruangan panas untuk orang membawang! Mulalah di ruangan media sosial, Twitter penuh dengan lawak jenaka dan ‘berkicau’ memperlekehkan produk ini.
Tetapi apabila mereka mula memegang dan menggunakan iPad, ia mula menjadi antara produk yang ‘wajib ada’ dalam kehidupan seharian mereka. Malah ia mula berkembang dan menjadi antara produk yang paling ‘laju’ dan laris jualannya dalam sejarah Apple. Haa… nampak?
Steve dan juga pasukannya percaya mereka boleh lakukannya tanpa perlu dengar cakap orang pun! Orang suka mencari salah dan menidakkan perkara yang mungkin boleh terjadi. Anda jangan fikir anda seorang je pandai, kerana orang seperti Steve Jobs dah berfikir 10 tahun ke depan dan ini lah cara berfikir beliau yang patut kita contohi. Beliau mencipta produk untuk masa hadapan seperti lukisan Picasso yang dikatakan pelik pada zamannya, tapi kini ia menjadi lukisan yang termahal di dunia.
- Jangan takut akan kegagalan
Apa yang usahawan takutkan adalah kegagalan. Ada yang sekali rebah telah berputus asa. Tidak mahu bangkit semula. Malah biarkan diri mereka terus hanyut dalam kegagalan tersebut.
Steve Jobs pernah dibuang kerja oleh CEO yang melantiknya suatu ketika dulu. Ia memang satu perkara yang sangat memalukan setelah 30 tahun berkecimpung dalam bidang perniagaan. Namun begitu, beliau tak pernah putus asa untuk bangun semula dan kejar apa yang beliau inginkan dalam hidupnya. Inilah kemanisan apabila anda ikut naluri hati.
Bukan itu saja, lagi bertambah tragik, lapan tahun lalu, beliau didiagnosis menghidapi kanser pankreas dan diberitahu hanya tinggal beberapa minggu saja untuk hidup.
Ucapan Steve Jobs pada 2005 di Stanford:
“Tiada siapa yang mahu mati. Malah orang yang nak pergi ke syurga pun tak mahu mati untuk sampai ke sana. Namun kematian adalah destinasi yang semua orang perlu hadapinya. Tiada siapa boleh melarikan diri kerana kematian adalah ciptaan terbaik untuk kehidupan. Ia adalah perkara yang terbaik dalam hidup kerana dengan kematian, orang takut dan mula berubah. Ia ‘membersihkan’ perkara yang lama untuk memberi laluan kepada yang baru.
Masa anda adalah terhad, jadi jangan buang masa hidup dengan ambil peduli pasal orang. Jangan terperangkap dengan hasil pemikiran orang lain. Jangan biarkan pendapat orang lain menenggelamkan suara hati anda. Dan yang paling penting, anda perlu berani ikut kata hati.”
- Jadikan peristiwa lalu sebagai titik perjalanan untuk bergerak ke hadapan
Ini adalah salah satu ucapan ‘mahal’ Steve Jobs semasa di Stanford 2005. Anda faham dengan maksud ini?
Ia bermaksud, jangan toleh ke belakang tentang apa yang berlaku. Anda boleh jadikan perkara yang lalu sebagai satu pengajaran, tapi jangan pernah ‘terkunci’ dengan peristiwa lalu.
Kita cuba untuk merancang kehidupan kita di masa hadapan, namun kita tidak dapat ramalkan apa yang bakal berlaku di kemudian hari. Apa yang kita nampak dan harungi di masa lalu mungkin adalah kesedihan, kepahitan dan kekalahan. Antaranya anda mungkin ditinggalkan kawan, hilang pekerjaan, atau anda telah ‘membazir’ 5 tahun dari kehidupan anda dengan membuat bisnes yang tak pernah menjadi.
Anda boleh berubah untuk menyemai benih kejayaan yang anda sendiri tak dapat bayangkan dari sekarang. Anda tidak boleh terlalu ‘melekat’ dan percaya tentang bagaimana anda mahu melalui kehidupan ini tapi percayalah bahawa semua titik-titik itu akan disambungkan pada masa akan datang.
Anda perlu percaya dengan takdir, kehidupan atau karma dan apa sahaja yang berlaku dalam hidup anda. Jangan mudah menyerah kalah.
- Dengar suara hati yang memberitahu sama ada anda berada di landasan yang betul atau tidak
Kebanyakan kita tak suka dengar suara hati kita. Betul ke apa yang kita buat? Kalau jadi sesuatu, siapa yang harus aku persalahkan? Suara-suara kecil pun mula lah memberontak dalam kepala. Kita selalu tanam dalam kepala otak kita, bila dah besar, kita akan bekerja dalam bidang kewangan atau jadi seorang doktor. Wah! Ketika tu lah kita dah rasa gah dengan cita-cita yang kita dah tanam waktu kecil. Pekerjaan ni juga lah yang selalu didendangkan kedua ibu bapa kita atas alasan, boleh buat duit banyak.
Apabila kita secara sedar atau tak sedar membuat keputusan itu, suara-suara kecil pun mula lah memberontak. Stress, pening, dan menyampah terpaksa melakukan kerja yang kita sendiri tak suka. Betul? Apa pun ‘suara-suara’ anda memberitahu anda, anda perlu bijak untuk mendengarnya. Walaupun suara itu memberitahu anda untuk berhenti kerja, berpindah ke China, atau meninggalkan teman-teman anda, pilihlah keputusan yang betul!
Steve adalah antara manusia yang ikut kata hatinya. Beliau tak pernah mendengar cakap orang lain. Dan beliau adalah orang yang tak boleh duduk diam. Beliau selalu nak kejar sesuatu. Beliau tak ada plan untuk semua orang, tapi beliau hayati dan dalami kerja sendiri. Betapa seriusnya beliau dalam bekerja. Anda pun harus mencontohi Steve. Perlu serius dan betul-betul menjalankan perniagaan. Baru lah anda kaya dan berjaya selepas ni.
- Beri tekanan pada diri anda untuk jadi lebih hebat untuk diri anda dan juga orang lain
Steve Jobs adalah seorang leader dan bos yang tegas. Beliau akan marah dan selalu tegur pekerjanya. Beliau seorang yang suka mengawal atau dari erti kata lain seorang yang sangat perfectionist. Susah untuk bekerja di bawahnya, namun atas sikap dan perangainya yang ‘lain dari lain’, beliau dapat menarik pekerja yang lebih bijak dan berbakat. Beliau mahukan yang terbaik untuk dirinya dan juga untuk semua pekerjanya. Sekiranya mereka tak bekerjasama, beliau tak akan teragak-agak untuk pecat mereka.
Cuba anda faham kenyataan ini. Kebiasaannya, orang akan hire pekerja gred B dan C kerana mereka tak mahu pekerja A yang lebih hebat dari mereka. Tapi pemikiran ini yang akan membunuh syarikat anda. Mengapa takut nak hire pekerja A++? Adakah anda takut mereka kelihatan lebih pintar daripada anda? Rileks! Hadapinya dengan redha. Slow and steady bak kata orang putih. Jika anda tak punyai pekerja terbaik dalam syarikat anda, bagaimana anda nak uruskan syarikat untuk lebih baik selepas ini?
Faham ke faham?
- Jangan pedulikan kata-kata orang, fikirkan kejayaan anda dahulu
Steve Jobs selalu menggunakan ayat ini dalam interview selepas beliau dipecat oleh Apple. “Sekiranya anda perlu mencuri idea-idea hebat orang lain untuk membuat anda lebih baik, lakukannya.”
Percaya dengan diri sendiri yang anda boleh lakukannya sepuluh kali ganda lebih baik. Kenapa takut nak bertindak? Go for it! Anda boleh jadi lebih dari diri anda sekarang.
Anda nak mulakan bisnes? Jangan takut-takut. Lakukannya. Terus lakukan tindakan! Jangan takut bila dengar kata-kata negatif orang lain terhadap anda. Hidup anda, anda tentukan sendiri, bukan orang lain yang tentukan!
- Cari orang yang paling berkebolehan di sekeliling anda
Selalu orang akan salah anggap, orang kuat di sebalik Apple hanya Steve Jobs. Namun pada hakikatnya, terdapat ramai lagi ‘orang kuat’ di sebalik kejayaan Apple. Mereka adalah orang hebat seperti Phil Schiller, Jony Ive, Peter Oppenheimer, Tim Cook, dan Ron Johnson namun tidak diwar-warkan.
Hakikat sebenar harga saham Apple menjadi tinggi walaupun Steve Jobs meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, kredit kepada kekuatan pasukannya juga. Sebelum ini, Steve telah melantik pengurusan yang kurang berkaliber dan ini menjadikan syarikatnya tidak terurus dengan baik namun hampir muflis, namun, apabila beliau mempunyai team yang hebat, syarikat tersebut terus gagah dan perkasa sehingga kini!
Pernah suatu ketika, John Sculley memecat Steve kerana beliau hampir membunuh syarikat Apple. Steve sedar akan kesilapannya dan beliau belajar dari kesilapan itu. Beliau juga menyedari bahawa dia tidak boleh buat apa-apa tanpa ‘orang kuat’ yang ada bersamanya.
Begitu juga dalam berbisnes. Anda memerlukan team yang hebat untuk terajui syarikat anda. Gagal melantik team yang hebat maka ‘punah’ terus syarikat anda!
- Stay Hungry, Stay Foolish
Ini adalah antara ucapan Steve Jobs yang terbaik:
“Apabila saya masih muda, ada satu penerbitan luar biasa yang dikenali sebagai The Whole Earth Catalog, salah satu kitab dari generasi saya. Ia dicipta oleh seorang rakan bernama Stewart Brand yang berada di Menlo Park, dan olahan buku tersebut sangat berpuitis. Yang di akhirnya meletakkan perkataan Stay Hungry, Stay Foolish.”
Apa yang dimaksudkan dengan perkataan tersebut adalah anda perlu sentiasa dahagakan ilmu dan kekayaan. Dan bukan itu sahaja, anda juga perlu ada sikap rendah diri di mana anda perlu sentiasa belajar untuk menjadi lebih cerdik. Jangan sentiasa berlagak pandai. Ilmu tak rugi untuk digali. Dan kita tak rugi pun untuk mencari ilmu.
- Apa-apa pun boleh dilakukan melalui kerja keras, keazaman dan visi yang jelas
Walaupun beliau adalah CEO terbesar dan bapa kepada komputer moden, namun beliau tetap seperti insan biasa. Steve Jobs hanya seorang lelaki, seorang suami, bapa dan juga rakan seperti anda dan juga saya.
Anda boleh menjadi istimewa dan hebat seperti beliau jika anda sanggup belajar apa yang beliau belajar dan amalkan. Terapkan dalam hidup anda, mudah-mudahan anda boleh berjaya sepertinya. Beliau berani mengambil tindakan untuk kembali ke Apple pada tahun 1990-an walaupun ketika itu Apple hampir muflis, tapi lihat kini, bagaimana ia menjadi syarikat terbesar di dunia.
Segala-galanya ada kemungkinan dalam hidup jika anda terus mengikuti perkara yang dikongsikan seperti di atas. Jangan mudah putus asa. Pengalaman pahit yang dilalui sebelum ini jadikan sebagai titik permulaan untuk mulakan hidup yang baru! Semoga anda terus kaya dan berjaya.