Sebut sahaja Ramadan, selain amalan-amalan mulia yang menjadi kewajiban umat Islam, pasti bazar Ramadan sudah bermain-main di dalam kepala.
Ada sesetengah orang dah siap buat senarai nak pergi ke bazar Ramadan mana dan nak beli apa setiap hari.
Bazar Ramadan pada asasnya merupakan pesta makanan selama sebulan yang bukan sahaja khusus untuk umat Islam mencari hidangan berbuka puasa, namun bazar Ramadan adalah untuk semua orang menikmati kepelbagaian hidangan yang dijual.
Pelbagai makanan yang lazat ada dijual di sana membuatkan bazar Ramadan tidak pernah surut dibanjiri oleh rakyat Malaysia.
Berikut adalah makanan yang pasti laku keras di bazar Ramadan.
Aneka lauk-pauk
Bagi mereka yang bekerja, bazar Ramadan merupakan satu kelebihan kerana dapat memilih lauk-pauk untuk disajikan sewaktu berbuka puasa.
Terutama kepada wanita yang sudah berkeluarga. Nak masak tak sempat, bazar Ramadan adalah pilihan yang tepat untuk mendapatkan banyak pilihan juadah berbuka puasa.
Tepung Pelita
Kuih tepung pelita merupakan sejenis kuih tradisional yang dimasak menggunakan acuan bekas daun pisang.
Pergi lah mana-mana bazar Ramadan, khemah kuih tepung pelita pasti menjadi pilihan.
Terutama sekali jika terbukti rasanya sedap berbanding tepung pelita di tempat lain. Teksturnya yang lembut dan cair di dalam mulut, pasti tak sabar nak makan ketika berbuka puasa.
Popia
Popia merupakan salah satu makanan yang menjadi pilihan sebagai juadah berbuka puasa dan mudah untuk didapati.
Ada pelbagai jenis popia seperti Popia Basah, Popia Goreng, Popia Sira, Popia Mini dan Popia Cheese. Sayur-sayuran yang segar di dalamnya menambahkan selera untuk makan lebih dari satu.
Murtabak
Yang mana satu pilihan kalbu, Murtabak Ayam atau Murtabak Daging? Nak makan dengan kuah bawang cuka atau kuah kari pekat?
Ada juga murtabak yang berintikan sayur-sayuran serta cheese, tetapi tidak menjadi juadah yang dicari di bazar Ramadan.
Roti John
Sama seperti murtabak, Roti John juga mempunyai pilihan ayam dan daging.
Walaupun resipinya agak mudah, namun orang ramai lebih memilih untuk membeli di bazar Ramadan. Lebih mudah dan menjimatkan masa.
Ayam Percik
Ada ke yang tak kenal ayam percik? Juadah dari Pantai Timur Semenanjung Malaysia ini diperap terlebih dahulu di dalam kuah santan bersama bahan-bahan seperti kunyit, halia, bawang, serai dan lada kemudian dibakar atas dapur arang.
Di mana ada asap berkepul, di situ pasti ada Ayam Percik! Baunya sahaja dah membuka selera.
Kebab
Kebab berasal daripada negara Timur Tengah dan kini mempunyai banyak variasi di seluruh dunia!
Ayam atau daging, kalau dapat kebab yang sedap sekelip mata boleh habis. Ringkas, enak dan mengenyangkan.
Kebab juga adalah makanan pilihan ramai sebagai pengganti nasi untuk mengekalkan pengambilan diet seimbang dengan makanan sihat.
Nasi Tomato
Selain daripada Nasi ayam, nasi tomato juga tak kurang hebatnya. Hidangan ini turut menjadi pilihan ramai semasa di bulan Ramadan.
Tak perlu nak fikirkan lagi kombinasi nasi dan lauk yang berbaloi untuk dimakan ketika berbuka puasa, Nasi Tomato sudah lengkap pasti sedap dan mengenyangkan setelah seharian berpuasa.
Air Mangga
Sebut sahaja air mangga, pasti anda semua terliur membayangkan air yang berwarna kuning itu.
Bukan hanya sekadar lazat diminum, air mangga sangat bermanfaat untuk kesihatan mata, otak, kecantikan kulit dan membantu untuk diet yang seimbang.
Pasti ramai yang beratur panjang untuk membeli air mangga di bazar Ramadan.
Air Katira
Bila tiba bulan Ramadan, antara minuman yang terlintas di fikiran adalah air katira.
Air ini memang susah nak dijumpai selain daripada bulan Ramadan, membuatkan ia salah satu juadah yang dicari-cari untuk berbuka puasa.
Sebenarnya banyak juadah yang menjadi pilihan di bulan Ramadan, dan ini adalah antara yang paling popular dan mudah untuk didapati di bazar Ramadan.
Apa juadah berbuka puasa kegemaran anda?