Niat ingin menyumbang kepada pembangunan di sekitar kawasan tempat tinggal menjadi pendorong kepada Mohamad Faizal Bin Abdul Wahab untuk menjadi seorang usahawan. Sejak kecil, beliau mengimpikan kebebasan yang ada pada seorang ‘businessman’ untuk bergerak dengan cara sendiri.
Pengalaman beliau yang pernah ditipu jutaan ringgit dalam urusan jual beli tanah membuatkan Mohamad Faizal sedar untuk lebih berhati-hati dalam setiap keputusan.
Tekad untuk kekal berada dalam industri hartanah, beliau dan tiga rakan kongsi lain yang pernah mengalami cabaran yang sama, menemui kesepakatan untuk membangunkan syarikat pembangunan hartanah iaitu TuanTanah Sdn. Bhd yang ditubuhkan pada tahun 2020.
Syarikat ini selain bertindak sebagai kontraktor bina rumah, merupakan pakar dalam membangunkan tanah-tanah yang berpotensi memberi pulangan nilai yang lebih baik terutamanya lot-lot banglo. Setakat ini, mereka beroperasi di Antara Gapi, Serendah dan Selangor.
Pada tahun 2023, TuanTanah Sdn. Bhd telah meraih hasil jualan sebanyak RM 3.11 Juta.
1.Mengecilkan skop yang luas
“Saya pilih niche pembangunan lot banglo kerana peluang yang besar dan lumayan serta kurang persaingan”
Meskipun bidang hartanah mempunyai skop yang luas, TuanTanah Sdn. Bhd menumpukan kepada pembangunan lot banglo kerana peluangnya yang besar dan lumayan serta persaingan yang kurang.
Permintaan yang tinggi juga memberi bisnes ini peluang untuk menawarkan projek perumahan yang memenuhi kehendak golongan pembeli yang mencari kediaman dengan ruang yang luas.
Keutamaan pemilihan niche ini termasuk peluang keuntungan yang tinggi kerana harga bangunan banglo yang biasanya lebih tinggi daripada rumah berkembar atau rumah kondominium. Apabila tepat sasaran yang ditumpukan, wang bukanlah jadi masalah untuk pelanggan yang inginkan perkhidmatan ini.
Selain itu, ia memberikan peluang kepada bisnes ini untuk memenangi projek dengan lebih mudah. Dengan menumpukan kepada satu niche, pemaju dan kontraktor dapat mengembangkan reputasi mereka dalam membina rumah banglo, menyediakan reka bentuk yang unik serta berkualiti tinggi.
2.‘Point of No Return’
“Setelah kehilangan segala-galanya, saya terpaksa melakukan bermacam-macam pekerjaan. Waktu itu saya sangat penat, namun untuk survival day to day, saya kena teruskan juga.”
‘Point of No Return’ adalah kepercayaan yang dipegang oleh Mohamad Faizal dalam menjadi seorang usahawan dalam industri hartanah. Konsep ini dalam konteks bisnes merupakan tahap di mana seseorang tidak memandang belakang lagi kepada keadaan sebelumnya selepas melangkah ke arah sesuatu yang lebih baik.
Meskipun ditipu hingga melibatkan kerugian jutaan ringgit, beliau masih teguh untuk berniaga demi mencapai impian. Kepenatan tidak menjadi penghalang untuk beliau meneruskan bisnes yang telah dimulakan.
Apabila tepat sasaran, tepat isu dan tepat tindakan untuk memperoleh sesuatu, lebih besar peluang untuk strategi yang dilakukan untuk berjaya. Mohamad Faizal di sini telah melalui pengalaman “point of no return” yang membentuk ketabahan mental dan mengajar erti kegagalan kepada beliau. Oleh itu, konsep ini memainkan peranan penting dalam membentuk sikap usahawan yang berani mengejar kejayaan dalam bidang perniagaan.
3.Pelanggan berilmu menarik pelanggan berkualiti
“Sebagai bisnes jual beli tanah, kita mesti build trust dengan cara educate customer on land matters”
Mohamad Faizal, percaya bahawa pelanggan berkualiti akan datang dengan sendiri apabila bisnes menghasilkan servis berkualiti. Hal ini tidaklah berlaku tanpa ilmu yang cukup oleh pelanggan itu sendiri.
Bagi menarik pelanggan seperti ini, bisnes TuanTanah memastikan untuk mendidik pelanggan dengan pelbagai topik berkenaan tanah. Strategi yang nampak mudah tapi inilah sebenarnya yang menjadikan sebuah bisnes itu memberi nilai tambah kepada pelanggan.
Sebagai contoh, pembinaan rumah atas tanah itu perlulah diikuti lokasi yang strategik. Meskipun adanya tanah kosong, tidak semestinya kawasan tersebut mempunyai nilai yang tinggi jadi pelanggan tidak boleh mengharapkan nilai akan meningkat cepat di masa yang akan datang. Mereka perlulah mencari lokasi yang mempunyai kemudahan awam dan persekitaran yang mempunyai potensi untuk menjadi kawasan yang membangun.
Selain itu, proses pembelian tanah itu sendiri kadang kala membuat pelanggan keliru terutamanya buat mereka yang pertama kali menjadi pembeli. Dengan mendidik pelanggan secara percakapan yang senang faham, ia membuat pelanggan lebih cenderung untuk membuat pembelian dengan TuanTanah kerana mereka sudah faham akan aspek undang-undang, pembiayaan dan penilaian hartanah.
Selepas memahami risiko dan peluang dalam pelaburan tanah, pelanggan mendapat pengetahuan mendalam tentang tanah dan akan dapat membuat keputusan yang lebih baik dan bertanggungjawab dalam pembelian dan pembangunan hartanah melalui TuanTanah Sdn. Bhd.
Biografi Mohamad Faizal
Seorang ‘Top Student’ sewaktu zaman persekolahan, Mohamad Faizal pernah melanjutkan pelajaran di Royal Military College (RMC), Kuala Lumpur. Tamat sahaja persekolahan, beliau menyambung pelajaran dalam Higher Diploma in Accounting and Business Studies di Dublin Business School, Kuala Lumpur.
Pernah bekerja sebagai seorang Assistant Financial Controller di Sigmar Recruitment Ltd, Ireland selama beberapa tahun, Mohamad Faizal pulang ke tanah air dengan hasrat untuk membuka perniagaan sendiri pada tahun 2009.
Meskipun datang daripada keluarga berpendapatan pertengahan, ibu bapa beliau yang merupakan kakitangan kerajaan tidak membantah keputusan Mohamad Faizal untuk berniaga sebaik sahaja pulang ke Malaysia malah memberi sokongan sepenuhnya.
Sokongan dan pengorbanan isteri dan anak-anak dalam perjalanan hidup beliau sebagai seorang usahawan juga sangat membantu di saat yang sangat mencabar.
Keazaman Mohamad Faizal untuk melangkah ke arah keusahawanan adalah satu inspirasi. Dengan pengalaman yang pernah beliau lalui, ia membuktikan bahawa kejayaan bukanlah suatu angan-angan semata-mata tetapi juga usaha dan tekad yang gigih.