Taska yang awalnya diuruskan daripada sebuah apartment kini dilengkapi dengan modul pengajaran yang sesuai dengan tahap umur kanak-kanak. Moto “Where You Learn, As You Play” oleh Taska Qistina mementingkan kanak-kanak untuk belajar sambil bermain agar mereka berasa seronok menyelami dunia pembelajaran.
Taska Qistina mempunyai visi untuk mendidik lebih 1000 orang kanak-kanak di seluruh Malaysia dengan menyediakan kemudahan taman asuhan bersama tenaga pengasuh terlatih, di samping menyediakan aktiviti kondusif yang bersesuaian. Taska ini menerima pendaftaran kanak-kanak seawal umur 3 bulan.
Penubuhan taska oleh Norzamilah Yaacob dan kakaknya Roszilawati Yaacob ini bermula di sebuah apartment di mana beliau menjaga anak-anak asuhan secara bersendirian tanpa pekerja. Dalam tempoh dua bulan operasi, Norzamilah berjaya mengupah seorang staf untuk membantu beliau.
Perjalanan bisnes berkembang sehingga mampu membuka cawangan baru tetapi terpaksa menutupnya kerana pemilik rumah ingin menjualnya. Tidak mematahkan semangat beliau, Norzamilah teruskan perjuangan beliau dan setakat ini, telah pun memiliki 7 cawangan taska termasuk di Bangi. Pada tahun 2023, Taska Qistina telah mencatatkan hasil jualan sebanyak RM 1.19 Juta.
1. Tenaga pengajar bersijil
“Semua tenaga pengajar kami mempunyai pengalaman dan sijil pendidikan awal kanak-kanak”
Mengambil staf yang mempunyai sijil pendidikan awal kanak-kanak (PAKK) sebagai tenaga pengajar dalam bisnes taska memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan holistik kanak-kanak. Staf yang berkelayakan membuktikan bahawa staf mempunyai pengetahuan teori dan praktikal dalam pendidikan awal kanak-kanak. Ini membolehkan mereka menyediakan pengajaran yang berkualiti dan relevan kepada kanak-kanak yang sedang berkembang.
Selain itu, staf yang berkelayakan dapat merancang dan melaksanakan program pembelajaran yang sesuai dengan tahap perkembangan kanak-kanak. Mereka dapat memahami keperluan individu setiap kanak-kanak dan menyediakan pengalaman pembelajaran yang mencipta persekitaran yang kondusif untuk perkembangan intelektual, emosi, dan sosial.
Mereka juga mempunyai pengetahuan mendalam mengenai kaedah pembelajaran yang bersesuaian termasuk kemahiran untuk menggunakan aktiviti kreatif yang menggalakkan pembelajaran yang berkesan.
Kemahiran komunikasi yang baik dengan kanak-kanak dan ibu bapa juga menjadi kelebihan staf yang berkelayakan. Ini membina hubungan positif antara taska, staf, dan ibu bapa, membantu dalam pemantauan dan perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh.
Secara keseluruhannya, pengambilan staf yang mempunyai sijil memberikan keyakinan kepada ibu bapa mengenai kualiti pendidikan dan penjagaan yang diberikan oleh taska. Ini memberikan kualiti kepada bisnes taskadalam menyediakan asas pendidikan yang kukuh untuk kanak-kanak prasekolah dan membentuk persekitaran yang merangsang perkembangan komprehensif.
2. Sambutan perayaan
Menyambut perayaan dan berpakaian mengikut tema adalah elemen yang penting dalam konteks bisnes taska. Ini bukan sekadar aktiviti hiburan, tetapi juga membawa kepentingan mendalam kepada perkembangan kanak-kanak. Aktiviti berpakaian mengikut tema membangkitkan kreativiti dan imajinasi kanak-kanak, memberikan mereka peluang untuk berperanan dan berkembang dalam suasana yang menyeronokkan. Selain itu, melibatkan kanak-kanak dalam perayaan merangsang keinginan untuk memahami dan menghargai kebudayaan serta tradisi. Ini membentuk aspek kepelbagaian dan sikap terbuka terhadap masyarakat yang berbeza.
Pembelajaran praktikal melalui aktiviti berpakaian membawa keseronokan dalam proses pembelajaran. Kanak-kanak dapat memahami konsep-konsep seperti warna dan bentuk melalui interaksi langsung dengan kostum dan aksesori. Kehadiran ibu bapa dalam aktiviti berpakaian memberikan nilai tambahan dalam membina keterlibatan komuniti taska, membuatkan mereka lebih percaya dengan pendidikan yang diberi kepada anak-anak mereka.
Pentingnya perayaan seperti Hari Kemerdekaan, Hari Raya dan Hari Jadi bersama bukan hanya dalam konteks pembelajaran kanak-kanak, tetapi juga dalam membentuk identiti taska sebagai institusi yang berinovasi dan peduli terhadap perkembangan menyeluruh kanak-kanak. Inisiatif ini memberi pengalaman positif yang membentuk pandangan kanak-kanak terhadap pembelajaran.
3. Kemahiran “Urus Diri”
Menerapkan kemahiran urus diri membawa kepentingan yang besar, termasuk pembangunan diri kanak-kanak. Melalui aktiviti seperti menyusun pakaian, mencuci tangan, dan menyikat gigi, kanak-kanak memperoleh kemahiran yang membangunkan tanggungjawab terhadap diri mereka sendiri.
Pentingnya kemahiran urus diri tidak terbatas kepada aspek fizikal sahaja malah membina aspek-aspek sosial dan emosi. Kanak-kanak belajar bekerjasama dan berinteraksi dengan rakan sebaya dalam aktiviti-aktiviti ini.
Selain itu, pembelajaran kemahiran urus diri turut membawa manfaat kepada ibu bapa dengan mengurangkan beban tanggungjawab harian mereka. Kanak-kanak yang mahir dalam kemahiran urus diri mampu melakukan tugas-tugas ringan sendiri, memberikan kelegaan kepada ibu bapa.
Dengan kepuasan ibu bapa melalui pembelajaran efektif yang diberi oleh Taska Qistina, ia telah menjadi buah mulut sehingga institusi ini dapat berkembang lebih kerana mengukuhkan kepercayaan ibu bapa yang merupakan pelanggan mereka.
Biografi Norzamilah Yaacob
Norzamilah memulakan perjalanan dalam bidang penjagaan kanak-kanak dengan membuka sebuah taska pada 1 September 2007 di sebuah apartment aras bawah di Ukay Perdana, Ampang. Pada permulaannya, beliau dan kakak, Roszilawati menguruskan dan menjaga anak-anak asuhan bersama tanpa pekerja lain. Dalam tempoh dua bulan operasi, mereka berjaya merekrut seorang staf dan secara proaktif mendaftarkan majikan di KWSP, Perkeso, dan LHDN.
Pada tahun 2011, beliau dan kakak membuka cawangan kedua di Subang Bestari yang turut mendapat sambutan baik. Walaupun cawangan tersebut hanya mampu bertahan selama lima tahun disebabkan pemilik rumah menjual hartanah, pengalaman ini tidak menghentikan semangat mereka.
Pada Ogos 2016, Norzamilah berjaya mendapatkan dua tawaran untuk menjalankan perkhidmatan taska di jabatan kerajaan. Kejayaan ini terus berkekalan sehingga hari ini. Beliau kemudian menerima tawaran untuk menjalankan perkhidmatan taman asuhan kanak-kanak di Dewan Bahasa dan Pustaka, menjadi taska ketiga di bawah pengurusan Taska Qistina pada hujung Disember 2018. Keberhasilan ini menandakan lanrgkah penting sebagai penyedia perkhidmatan taska di tempat kerja, menunjukkan kepercayaan dari pihak kerajaan terhadap kualiti dan kebolehpercayaan Taska Qistina.