Bisnes yang telah wujud selama lebih 22 tahun, Restoran Citarasa Azizah di bawah syarikat SAS Empire International Sdn. Bhd. telah diambil oleh Shaheran Abdul Shukor yang kini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif restoran ini.
Dikenali dengan menyediakan masakan dan selera kampung, mereka menumpukan khas kepada masakan sarapan dan makanan tengah hari. Selain Nasi Lemak berlauk yang menjadi tarikan ramai, menu wajib yang perlu dicuba adalah Lontong yang sering menjadi buah mulut orang.
Banyak menu saja tidak cukup. Di Citarasa Azizah, keenakkan masakan menjadi keutamaan kerana kepuasan pelanggan menjadi kepuasan mereka juga.
Pada tahun 2023, SAS Empire International Sdn Bhd yang menghidangkan makanan-makanan bermacam jenis ini telah mencatat hasil jualan sebanyak RM 1.26 Juta.
1. Mesin khas untuk menu
Teknologi antara alat yang dipandang tinggi oleh Shaheran kerana kebaikannya seperti dapat mengurangkan masa, meningkatkan produktiviti serta meningkatkan pengeluaran produk.
Dapur Apollo, sebuah alatan mesin yang digunakan untuk memanggang, diperoleh Shaheran agar ayam yang dibakar menjadi lembut dan masak. Satu mesin sahaja dapat memanggang sebanyak 30 ekor ayam khusus untuk menu Nasi Ayam yang membantu dari segi kos. Menu ini juga dapat disiapkan dengan cepat, membuatkan pelanggan lebih gemar memesan menu ini.
Pertumbuhan Citarasa Azizah banyak bergantung kepada mesin yang memberi konsistensi kepada pengeluaran ayam untuk menu Nasi Ayam, membuktikan bahawa inovasi dalam penyediaan makanan juga penting.
Tidak semestinya inovasi sebuah bisnes memerlukan perubahan teknologi tinggi. Sekiranya seorang usahawan dalam bidang industri yang diceburi faham secara terperinci tentang produk yang dijual, mereka pasti lebih terbuka minda untuk menciptakan produktiviti yang luar biasa pada bisnes.
Untuk Restoran Citarasa Azizah, Shaheran telah melabur duit kepada Dapur Apollo tanpa perlu membazir tenaga dan duit mengupah lebih ramai pekerja untuk menghasilkan lebih banyak ayam.
2. Masakan untuk semua
Shaheran, yang ingin berkongsi kesedapan makanan bersama orang ramai, menyediakan nasi campur yang mempunyai pelbagai pilihan dengan 50 jenis masakan. Dari masakan premium hingga masakan bajet, pelanggan daripada hampir semua jenis latar belakang dapat merasa nikmat makanan di Restoran Citarasa Azizah.
Beliau menyediakan masakan bajet khas untuk pekerja kilang yang inginkan menu berbajetkan RM 10 dan ke bawah. Pada masa yang sama, beliau masih menghidangkan menu yang lain mengikut kemampuan pelanggan.
Kepuasan adanya kepelbagaian menu kepada pelanggan dari pelbagai lapisan masyarakat, meningkatkan daya tarikan untuk datang ke restoran ini. Ini mencipta persekitaran yang inklusif dan menggalakkan pelanggan dari semua golongan dengan kewangan berbeza untuk menikmati pengalaman makanan yang berkualiti.
Pilihan menu berbeza juga membenarkan restoran bermain harga untuk menampung pelanggan dengan pelbagai bajet. Dengan menyediakan hidangan yang berkualiti tanpa mengira latar belakang kewangan, restoran dapat mencipta reputasi sebagai destinasi makanan yang ramah dan bersifat universal.
3.Katering
Meskipun orang ramai suka akan makanan dari Citarasa Azizah yang tempat duduknya hampir selalu penuh, ia tidak menghentikan semangat Shaheran untuk terus mencapai langit untuk restoran beliau.
Selain membuka restoran pada waktu operasi di pagi dan siang hari, Shaheran juga membuat penambahan perkhidmatan iaitu menyediakan khidmat katering kepada sesiapa yang ingin makanan disediakan untuk majlis mereka.
Peningkatan pendapatan dari perkhidmatan katering memberi peluang yang tidak disangka oleh Shaheran. Hasil daripada perkhidmatan tambahan ini, ramai orang semakin mengenali Citarasa Azizah. Beliau yang selama ini merasakan pelanggan yang datang sahaja sudah cukup, mula sedar bahawa ada lagi prospek yang boleh ditarik. Meskipun mengikut musim, permintaan perkhidmatan katering ini mencecah RM 5-6 ribu dan ada kalanya lebih daripada itu untuk satu majlis sahaja.
Majlis-majlis yang disediakan makanan oleh Citarasa Azizah telah menarik pelanggan baru kerana mereka sekaligus dapat merasa pelbagai jenis lauk yang disediakan.
Biografi Shaheran Abdul Shukor
Bakat yang dikenalpasti oleh ibu kepada Shaheran Abdul Shukor sewaktu beliau masih kecil adalah antara pencetus ibu beliau membuka perniagaan restoran. Ibu beliau dahulu bekerja sebagai seorang kontraktor Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pada masa yang sama, merupakan seorang ‘businesswoman’.
Hasrat ibu beliau untuk meninggalkan sebuah legasi yang boleh diteruskan oleh anak sendiri ternyata tercapai dengan pengurusan restoran yang mantap setelah diambil alih oleh Shaheran.
Usahawan yang berasal dari Cheras ini merupakan anak kedua daripada tiga beradik namun adik beradik lain tidak minat untuk menjalankan perniagaan keluarga yang sedia ada.
Tamat sahaja zaman persekolahan, beliau dimasukkan ke Flamingo International College untuk meneruskan pembelajaran dalam Diploma in Culinary Arts. Menuruti hasrat ibu, beliau terus bekerja di restoran Citarasa Azizah sebagai pekerja biasa untuk belajar dengan lebih mendalam tentang selok belok dapur agar beliau dapat mengambil alih bisnes ibu.
17 tahun berlalu, ibu beliau mengambil keputusan untuk bersara kerana yakin Shaheran sudah bersedia untuk menguruskan bisnes yang dibina. Shaheran walaupun mengetahui asas menguruskan dapur, masih buntu untuk menjalankan operasi sepenuhnya. Dari situ beliau mencari seseorang yang dapat membimbing beliau menjalankan bisnes dengan cara yang betul.
Bermula daripada program Intensif Magnet Kekayaan dan Kejayaan (IMKK), beliau mula nampak jalan untuk menaikkan bisnes. Tidak cukup lagi, beliau menghadiri kelas Millionaire Marketing Mastery (MMM) dan sedar akan apa yang beliau harus lakukan. Tahun 2020 adalah penanda di mana Citarasa Azizah mencapai RM 1 Juta pertama dan hingga kini, beliau terus mengasah diri untuk menjadi usahawan yang lebih baik.