Sarah De Collection oleh syarikat SarahRosdi Global Ventures Enterprise adalah sebuah bisnes yang mendatangkan kain sutera China. Dari kain pasang hingga tudung, bisnes ini menawarkan kualiti yang tidak ternilai.
Bisnes ini tercetus daripada kegigihan pasangan suami isteri, Siti Sarah dan Rosdi Mohamed yang ingin memberi kehidupan selesa buat anak perempuan mereka.
Ilmu yang ada melalui pembacaan buku-buku bisnes, memberi idea kepada suami Sarah untuk menjalankan bisnes bersama pada tahun 2010. Pada masa yang sama, mereka masih mempunyai kerja tetap untuk menampung pembelanjaan keluarga.
Sarah kemudian membuat keputusan meletak jawatan untuk menjalankan bisnes sepenuh masa di kedai sewa di Seri Kembangan , Selangor. Nasib tidak menyebelahi, bisnes selama 5 tahun tidak mendatangkan untung dan memaksa beliau dan suami untuk tutup kedai dan berniaga semula dari rumah.
Giat berusaha dalam menarik diri untuk keluar dari situasi , Sarah De Collection kini mempunyai kedai sendiri. Pada tahun 2023, bisnes ini mencatatkan hasil jualan sebanyak RM 1.26 Juta.
1.Perundingan bijak bersama supplier
Sebagai seorang usahawan kain sutera, Sarah mementingkan kualiti yang diberi kepada pelanggan. Kain sutera yang dikenali dengan pembuatan asal dari China, menjadikan negara ini sebagai supplier utama kepada Sarah De Collections.
Walaubagaimanapun, Sarah tidak memilih sembarangan supplier kerana masih melihat pelbagai aspek lain seperti kos, kriteria kualiti dan proses penghantaran yang berkesan. Untuk mencapai pemilihan yang terbaik, beliau akan membuat perbandingan antara supplier-supplier yang ada.
Sebagai contoh, beliau menjadikan perbincangan tentang jadual penghantaran yang tepat untuk memastikan stok kain sutera sentiasa ada di kedai. Beliau juga berunding dalam mendapatkan harga kain yang lebih baik sekiranya membuat pembelian dalam kuantiti yang besar.
“Kalau kita hasilkan produk berkualiti, pelanggan yang datang pun mesti yang berkualiti.”
Sarah yakin bahawa keputusan pemilihan supplier yang bijak memberikan kesan positif terhadap imej Sarah De Collection. Beliau berpegang pada falsafah bahawa kepuasan pelanggan bermula dengan kualiti produk. Pemilihan supplier yang tepat juga merupakan faktor kejayaan bisnes beliau apabila menjalinkan hubungan baik demi jangka masa panjang.
2.Kekerapan bermesyuarat
Sepanjang berbisnes, hasil jualan Sarah De Collection semakin meningkat. Sarah dan suami berjaya mengambil beberapa staf untuk membantu dalam menguruskan bisnes. Namun, mereka tidak sangka masalah lain akan muncul. Persoalan melanda pasangan ini.
“Mengapa sales takat tu je? Kenapa staf tidak mahir seperti kami?”
Sarah yang menimba ilmu tentang menjadi pemimpin kepada staf melalui program mentorship SPIRE, mula sedar kesilapan yang dilakukan. Beliau kurang mengadakan sesi perbincangan bersama staf untuk memastikan mereka betul-betul faham tentang tugasan masing-masing.
Staf juga tidak berinspirasi untuk melakukan tugasan dengan bersungguh-sungguh kerana tiada pemimpin yang memberi semangat untuk bekerja. Produktiviti di Sarah De Collection ketika itu adalah rendah.
“Sebagai usahawan, tanggungjawab kami adalah untuk membimbing staf supaya mereka sendiri mempunyai peningkatan dalam diri.”
Sarah yang sedar akan isu ini mula memandang serius terhadap kepimpinan beliau. Beliau mula mengadakan mesyuarat setiap minggu untuk memastikan staf faham akan tugasan masing-masing sambil memberi semangat untuk mencapai matlamat pada hari itu.
Kini, Sarah De Collection telah bertambah staf dan bisnes mereka juga lebih stabil berbanding tahun-tahun yang lalu. Bisnes ini menunjukkan bahawa kekurangan kemahiran kepimpinan boleh menyebabkan masalah dalaman yang merugikan pertumbuhan dan kejayaan perniagaan. Seperti langkah yang diambil Sarah, beliau dapat memperbaiki isu ini dengan berkesan.
3.Atasi sikap pemalu
Tidak biasa bercakap di hadapan kamera, Sarah lebih selesa membiarkan staf membuat Live di Facebook tanpa beliau. Walaubagaimanpun beliau sedar, untuk menaikkan lagi viewers menonton Live di Facebook Sarah De Collection, beliau perlu keluar dari zon selesa.
Viewers selalunya ingin melihat usahawan disebalik bisnes yang dijalankan. Mereka lebih tertarik dengan sebuah jenama apabila mengenali usahawan tersebut dengan lebih mendalam. Oleh itu, Sarah membuat keputusan untuk memunculkan diri di Facebook Live.
“Saya terfikir, sampai bila saya nak sembunyi di belakang tadbir? Macam mana bisnes nak tumbuh lagi tinggi kalau saya sendiri tidak mahu berubah? ”
Sarah De Collection yang mengadakan 5 kali Live dalam sehari merangkumi staf-staf beliau yang menunjukkan pelbagai jenis konten termasuk penunjukkan stok-stok dengan corak kain yang baru.
Daripada 5 slot Live yang ada, Sarah mengambil 1 slot di mana beliau memunculkan diri setiap hari dan membuatkan orang ramai lebih kenal siapa beliau.
Biografi Siti Sarah
Bekas pentadbir sistem di sebuah kilang percetakan, Siti Sarah, menemui cinta bersama Rosdi Mohamed, seorang jurutera di syarikat penerbangan tempatan, AirAsia. Pasangan ini berdepan dengan cabaran apabila anak mereka sudah tidak lagi boleh tinggal di pusat penjagaan kerana sudah memasuki alam persekolahan menengah.
Dengan tiada pilihan lain, Sarah terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti dari pekerjaan beliau. Beliau dan suami memutuskan untuk menjaga anak mereka sendiri sambil menguruskan perniagaan kecil yang dibina dari rumah. Meskipun keputusan tersebut membawa cabaran yang besar, mereka mengambilnya dengan penuh kesungguhan dan tekad.
Sarah dan Rosdi bersama-sama mengejar impian mereka untuk memberikan yang terbaik kepada anak-anak sambil menguruskan tanggungjawab perniagaan.
Walaupun perjalanan beliau bersama suami penuh dengan cabaran, kesabaran yang ada membuat mereka terus berusaha untuk mencapai kestabilan dan kebahagiaan dalam kehidupan keluarga mereka.