Keperluan manusia dalam pengambilan makanan secara harian penyebab Mohd Fauzi Bin Abul Wafa menceburkan diri dalam bisnes industri makanan. Seawal 24 tahun, beliau memulakan perjalanan dalam dunia pembuatan tempe di Kuala Lumpur dan menggunakan pengalaman selama setahun untuk membuka bisnes sendiri.
Usaha beliau dalam menyediakan tempe berkualiti tinggi mengikut tradisi masakan masyarakat Jawa melahirkan Poji’s Sdn Bhd atau Poji’s Tempe yang mendapat perhatian warga Johor. Kepakaran beliau juga adalah untuk menghasilkan produk tempe yang halal serta tahan lama. Di Johor sahaja sudah ada 3 cawangan yang dibuka.
Mohd Fauzi yang mulanya menjadi stokis kepada bisnes tempe yang dimiliki saudara sendiri, mengambil alihnya dengan berbekalkan ilmu yang sedikit. Hampir mencecah 10 tahun, Poji’s Tempe yang ditubuhkan sejak tahun 2016 telah berkembang sehingga mempunyai 40 orang team.
Bisnes ini kemudian melebarkan sayap dalam membuka 2 kilang proses pembuatan dan 7 cawangan sebagai tempat pemeraman tempe termasuk di Negeri Sembilan dan Kedah.
1.Lokasi penghantaran yang dekat
“Lagi dekat lokasi, lagi dekat kita dengan pelanggan. Kita mudahkan proses pembelian pelanggan. ”
Meskipun mempunyai cawangan utama di Johor, Mohd Fauzi tidak menghadkan bisnes beliau hanya di sebuah negeri. Walaupun pada mulanya beliau fokus kepada satu tempat, ia juga adalah sebagai persediaan bisnes sebelum memasuki pasaran baru yang perlu diselidiki dahulu.
Sebagai pembekal yang mempunyai permintaan tinggi di negeri-negeri lain, Mohd Fauzi mula membuka cawangan pemerapan tempe di hampir seluruh Malaysia. Tujuan beliau adalah untuk mengatasi isu yang menghalang pelanggan untuk mendapat tempe yang tahan lama.
Dengan adanya tempat pemerapan tempe yang lebih dekat dengan pelanggan, bisnes ini dapat mengedarkan tempe berkualiti sambil menarik pelanggan baru. Ini sahaja memberi peluang untuk pelanggan melakukan pemborongan sekaligus menambah pendapatan jualan bagi Poji’s Tempe.
Pengurangan kos penghantaran juga dapat diatasi yang mengukuhkan hubungan bersama pelanggan lokal meskipun HQ terletak di Johor.
2.Keperluan menentukan pengambilan staf
“Sebagai usahawan, saya kena berimpian lebih besar bila bisnes pun makin berkembang. Saya kena ambil staf baru untuk uruskan production.”
Makin berkembang sebuah bisnes, makin banyak tangan yang diperlukan untuk menguruskannya. Mohd Fauzi pada mulanya selesa dengan mengatur segala perjalanan bisnes sehinggalah mencapai maksimum pengeluaran produk tempe yang ada. Beliau kemudian mengambil langkah mengambil pekerja untuk membantu di bahagian production.
Isu pengurangan stok yang ada dapat diatasi dengan adanya pekerja yang cekap dalam pengawalan inventori. Kualiti produk juga terjaga apabila tarikh pembuatannya dicatat agar pengeluaran yang dibuat hanyalah dari yang terbaik.
Semakin maju ke hadapan, Mohd Fauzi membuka peluang kerja bagi mereka yang ingin menjadi runner kepada Poji’s Tempe. Dahulu, beliau seorang sahaja yang melakukan kerja ini. Setelah production bertambah dengan permintaan yang tinggi, beliau mewujudkan team ‘runner’ yang mahir dalam penghantaran produk kepada pelanggan mengikut lokasi masing-masing. Ini sahaja telah meningkatkan pesanan daripada jumlah jualan yang sedia ada.
3.Stok pengeluaran tinggi
“Dah ada demand, kita kena pastikan ada bekalan dia. Saya terus buka kilang bila ada peluang untuk luaskan lagi pasaran”
Stok pengeluaran perlulah sejajar dengan permintaan seperti di pasaran tanpa menjejaskan kualiti produk. Mohd Fauzi, yang bermula dengan membuat tempe secara manual, sedar bahawa beliau perlu mengeluarkan produk secara pantas dan jimat kos.
Oleh itu, hasil jualan bisnes beliau tidak disia-siakan dengan melabur dalam pembukaan 2 kilang tempe. Setiap kilang ini menghasilkan 8 ribu pek tempe setiap hari yang mencecah hampir 500 ribu pek.
Memandangkan permintaan produk Poji’s Tempe semakin banyak, bisnes ini memberi kestabilan dalam membekalkan produk agar dapat memenuhi kepuasan pelanggan. Strategi ini juga menjadi pencegahan dalam kehilangan jualan akibat kehabisan stok.
Biografi Mohd Fauzi
Seorang usahawan yang tidak kenal erti putus asa, Mohd Fauzi berimpian untuk meringankan beban keluarga. Ayah yang merupakan seorang pemandu van hanya bergajikan RM500 sebulan manakala ibu pula seorang surirumah yang perlu menjaga 5 orang beranak termasuk Mohd Fauzi.
Habis sahaja sekolah menengah, Mohd Fauzi menyambung pelajaran di Politeknik Mersing, Johor dalam Diploma in Information Technology (Networking).
Sebelum menjadi usahawan, beliau pernah bekerja sebagai juruteknik di salah sebuah syarikat IT terkemuka di Subang Jaya di mana beliau hanya bertahan selama 6 bulan. Meskipun diberi gaji yang tinggi, beliau mempunyai cita-cita tinggi yang tidak dapat ditunaikan di syarikat tersebut.
Beliau mula menceburi dalam bidang perniagaan iaitu dengan mengikuti saudara dekat untuk berniaga tempe di pasar borong Selangor. Genap setahun, beliau pulang ke kampung untuk memulakan perniagaan menjual sengkuang di bawah bisnes ‘Old Time Sengkuang’.
Malang tidak berbau, sistem goods and services tax (GST) diperkenalkan pada tahun 2015 menyebabkan harga kos bahan mentah terpaksa dinaikkan. Bisnes beliau terjejas hingga jualan semakin merudum jatuh. Beliau terpaksa menanggung hutang hampir RM 30 ribu.
Keputusan untuk berhenti membuat bisnes memaksa beliau untuk bekerja di bawah orang semula kerana ingin menampung isteri yang sarat mengandung anak pertama.
Titik perubahan berlaku pada tahun 2016 sewaktu saudara beliau menawarkan beliau untuk menguruskan bisnes tempe yang diberi permulaan bantuan dana. Dengan pengetahuan Mohd Fauzi dalam pembuatan tempe, bermulalah perjalanan beliau sebagai Pengarah Urusan kepada Poji’s Tempe.