Bermula pada 1 Januari 2006, Pendang Lake Resort memulakan operasi sepenuhnya di bawah pengurusan Usima Sdn Bhd, syarikat milik penuh bumiputera. Dahulunya, Pendang Lake Resort merupakan kawasan paya dan sawah padi di Mukim Air Putih, juga dikenali sebagai pusat latihan dan rekreasi di daerah Pendang.
Lokasi yang dikelilingi oleh hijauan kawasan sawah padi dan dikenali sebagai “Kolam Mada” oleh penduduk setempat, kemudian ditukarkan kepada nama Rumah Rehat Pendang.
Pendang Lake Resort menawarkan suasana tenang di tepi tasik, menjadi destinasi yang memikat untuk melarikan diri daripada kesibukan harian. Pendang Lake Resort ini juga diuruskan oleh Pengarah Nurul Rohayu Binti Dato’ Haji Mohd Yusof.
Pada tahun 2023, resort ini telah mencatatkan hasil jualan sebanyak RM 2.1 Juta.
1. Berdekatan kemudahan asas
“Dari awal lagi kita kena pastikan lokasi yang kita pilih akan ada pembangunan sekeliling, senang untuk pelanggan mendapat akses kemudahan”
Dengan lokasi strategik Pendang Lake Resort yang berdekatan dengan kemudahan pekan Pendang, stesen minyak, dan pasar, resort ini menyediakan keselesaan dan kemudahan kepada pelanggan mereka. Kehadiran kemudahan ini memudahkan para tetamu untuk mendapatkan apa-apa yang diperlukan tanpa perlu bergerak jauh demi mendapatkannya.
Pentingnya lokasi ini juga terletak pada daya tarikan pelancongan. Pelancong lebih cenderung untuk memilih resort yang memberikan keselesaan sepenuhnya kepada mereka, memberikan peluang kepada bisnes untuk menarik lebih banyak pelanggan.
Ia juga membina reputasi sebagai destinasi percutian yang memenuhi pelbagai keperluan. Secara keseluruhan, keputusan untuk menetapkan bisnes resort di lokasi yang berdekatan dengan kemudahan asas memastikan kelancaran operasi bisnes dan daya saing yang tinggi dalam industri perhotelan.
2. Penuh ruang
“Kekuatan resort kini selain aktiviti ialah menyediakan ruang yang boleh disewa untuk pelbagai jenis acara dan majlis”
Resort yang menyediakan ruang serbaguna memberikan pelanggan pilihan yang lebih luas untuk menjalani aktiviti mereka. Ini termasuk bilik persidangan, dewan majlis, dan ruang rekreasi yang bersesuaian untuk perhimpunan korporat, perkahwinan, atau acara-acara khas.
Seperti yang ditawarkan di Pendang Lake Resort dengan mempunyai 5 pilihan bilik, 9 jenis dewan dan 12 jenis aktiviti, ini membolehkan resort menarik pelanggan dari pelbagai segmen, seperti syarikat yang mencari tempat untuk seminar atau pasangan yang merancang majlis perkahwinan. Kemudahan-kemudahan ini juga mencerminkan kesediaan resort untuk menyesuaikan diri dengan pelbagai keperluan dan kehendak pelanggan, mencipta pengalaman yang bersifat personal dan unik.
3. ‘Be in customer’s shoes’
Beliau juga percaya bahawa setiap perkhidmatan yang diberikan harus mempunyai nilai yang tersemat di dalam hati pelanggan. Nilai tersebut bukanlah datang dari wang ringgit tetapi namun diterapkan melalui perkhidmatan yang baik seperti mendengar keluhan pelanggan, melayan maklum balas pelanggan di setiap platform perhubungan yang ada, membantu menyelesaikan masalah pelanggan di atas kapasiti yang mampu dan pelbagai cara baik dapat menerapkan nilai di dalam hati pelanggan.
Rohayu selalu memastikan keterjaminan keselesaan pada pelanggan yang menjadi keutamaan syarikat. “Be in customer’s shoes” merupakan pegangan utama beliau di dalam syarikat. Dengan menilai sendiri mutu kualiti servis dari mata pelanggan, beliau percaya syarikat akan dapat menyediakan perkhidmatan yang mencapai demand seseorang pelanggan.
Pelanggan terutamanya lebih cenderung dan berpuas hati di atas perkhidmatan yang mampu menyelesaikan masalah mereka. Corak majoriti pelanggan di syarikat beliau adalah dalam kalangan penganjur tidak mempunyai asas atau kemahiran dalam menganjurkan sesebuah acara. Menjadi sebuah syarikat yang telah banyak mengendalikan acara, Rohayu memastikan pelanggan dibantu berdasarkan pengalaman yang ada. Pelanggan yang berpuas hati akan menjadi satu repo di dalam syarikat dimana mereka akan memilih lokaliti yang sama walaupun setelah beberapa kali acara dibuat tanpa mengira bab bajet sesebuah acara.
Repo yang telah dibina syarikat bersama pelanggan antaranya adalah, Yayasan Sultanah Bahiyah, Harlie Venture, ANGKASA, Amanah Ikhtiar, Universiti Utara Malaysia, Universiti Teknologi Mara, PDRM, RELA, Jabatan Bomba serta sekolah menengah dan rendah berdekatan.
Pelanggan yang berikut merupakan antara pelanggan setia dan Rohayu memastikan hubungan baik yang ada akan sentiasa dijaga baik.
Biografi Nurul Rohayu Binti Dato’ Haji Mohd Yusof
Nurul Rohayu Binti Dato’ Haji Mohd Yusof merupakan anak kedua kepada pasangan Dato’ Haji Mohd Yusof bersama Datin Safinah Binti Z Hussain Ahmad.
Dilahirkan dalam keluarga usahawan, menjadikan dunia perniagaan sudah tidak asing di dalam kehidupan beliau. Menjadikan bapa sendiri sebagai idola dalam perniagaan, beliau memulakan langkah kerjaya dengan menamatkan Diploma Pengurusan Hotel di Universiti Tun Abdul Razak seterusnya menyelesaikan latihan industri di Sunway Hotel. Setelah itu, beliau melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hospitaliti di Universiti Tun Abdul Razak.
Selesai pengajian tinggi, beliau menjadikan syarikat USIMA Sdn Bhd sebagai syarikat pertama dalam melangkah ke alam pekerjaan sebagai Pengurus Logistik dimana keselamatan dan kesiapgunaan mesin dan jentera bagi Syarikat Usima Sdn Bhd menjadi tanggungjawab beliau.
Melalui itu, beliau mula mempraktikkan kemahiran sosial dan komunikasi dalam memberi arahan kerja dan sebagainya di samping membantu pengurusan perniagaan syarikat keluarga. Setelah bekerja untuk beberapa tahun di Syarikat Usima Sdn Bhd, beliau lebih cenderung untuk menjadi seorang usahawan dan menjadikan bapanya sendiri sebagai ikon perniagaan, Nurul Rohayu mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan di Universiti Tun Abdul Razak selama 3 tahun.
Disamping kelayakan dan kemahiran yang ada, Nurul Rohayu diberi amanah untuk mengambil alih syarikat Pendang Lake Resort dimana di atas kapasiti beliau untuk menjadi Pengarah Pendang Lake Resort atas kelayakan akademik dan pengalaman kerja. Beliau turut dimandatkan untuk menjaga aset-aset milikan Usima Sdn Bhd seperti tanah, jentera dan sebagainya kerana kesesuaian pengalaman sebagai Pengurus Logistik. Tambahan pula, beliau turut menjadi antara ahli lembaga penasihat di Usima Forest Resort, Ayer Keroh Melaka di atas kapasiti dan kelayakan beliau.