Muara Setia Kawan (Wan Muhammad Uwais)

Muara Setia Kawan atau MSK Fiberglass, sebuah perniagaan di Sitiawan, Perak yang memberikan perkhidmatan penyewaan bot kepada pemancing sekitar laut di pantai barat dan Selat Melaka secara khushunya, diuruskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Wan Muhammad Uwais. Kemahiran beliau dalam membina bot impian pada kualiti yang cemerlang juga menawarkan perkhidmatan pembinaan dan pembaikan bot berasaskan fiber mengikut citarasa yang diimpikan. 

Penubuhan Muara Setia Kawan pada 22 Jun 2007 dengan ‘One Stop Fishing Center’ sebagai slogan, beraspirasi untuk menjadikan perniagaan ini sebagai pusat perhentian untuk segala jenis aktiviti yang berkaitan dunia perairan. Selain pemancing dan nelayan, aktiviti penyewaan dalam perniagaan ini juga banyak digunakan oleh badan kerajaan seperti Jabatan Alam Sekitar yang membuat penyelidikan, penyelam-penyelam dari berbagai daerah, pegawai-pegawai penyelidikan dari Universiti tempatan untuk membuat kajian. 

Muara Setia Kawan yang hampir tutup perniagaan kini membuahkan hasil yang meningkat secara konsisten sejak tahun 2020, daripada RM 300 ribu setahun kepada RM 2.1 Juta setakat Ogos 2023.

  1. Strategi dan Taktik yang pelbagai

“Saya tahu buat bot tapi saya tidak tahu cari customer, jenuh dok cari org tapi org tak datang-datang”

“Tahun 2020 saya kuatkan personal branding saya dan perlahan-lahan  saya naikkan brand syarikat. Sekarang ni Alhamdulillah, org makin mengenali syarikat saya tanpa perlu saya kedepan sangat. 

Untuk menarik pelanggan, pasti pelbagai strategi dan taktik perlu dilakukan untuk pemasaran yang efektif seperti memahami sasaran, menawarkan produk berkualiti dan mempunyai penjenamaan yang kuat. Tanpa strategi-strategi ini, mana mungkin orang ramai dapat mengenali apa yang ditawarkan sungguhpun kita mempunyai produk paling berkualiti yang dihasilkan. 

Seperti Uwais yang mengenal pasti sasaran perniagaan beliau seperti pemancing, nelayan, dan penyelidik yang melibatkan perairan, beliau menawarkan solusi kepada mereka untuk menyewa atau membina bot yang mempunyai keunikan iaitu stabil dan tegap agar mereka mudah untuk menjalankan kegiatan yang akan dilakukan.

Diiringi dengan penjenamaan yang kuat di media sosial seperti Facebook, Instagram, dan Tiktok serta mempunyai laman web tersendiri, prospek atau pelanggan senang untuk mencari info tentang penyewaan bot yang mempunyai kewujudan di alam maya. 

  1. Jadual sebagai panduan

“Saya set timing dalam mind saya dan sekarang saya lebih suka menulis tentang jadual saya untuk hari esok walaupun macam conteng saja”

Mempunyai jadual, walaupun ramai mengambil mudah, sangat berguna dalam pelbagai aspek operasi dan pengurusan perniagaan. Ia membantu dalam menetapkan waktu untuk setiap tugas dan projek yang dijalankan dan memberi peringatan dalam apa yang hendak ditumpukan dahulu supaya tidak membazir masa.

Uwais dahulu tidak menitikberatkan hal ini sebelum beliau mengenalpasti tujuan perniagaan yang diuruskan. Masalah tersebut kini berubah kerana beliau menjadikan penulisan di jadual itu sebagai aktiviti harian yang cukup membantu untuk beliau tahu apa yang mahu dicapai untuk hari esok dan hari-hari seterusnya. 

Meskipun sesuatu aktiviti nampak kecil, janganlah kita mengambil sambil lewa kerana ia akan mempengaruhi masa hadapan. Dalam aspek perniagaan, perkara sekecil-kecil inilah yang membantu seorang usahawan itu berjaya kerana mereka memikirkan pembinaan perniagaan yang menghasilkan pencapaian luar biasa dengan disiplin yang kuat.

  1. Tiada perniagaan tanpa team 

“Saya belajar bina team dan masih terus belajar sampai sekarang. Sekarang saya lebih nak belajar dan fokus untuk tingkatkan saya punya skill leadership supaya saya bole bina team yang align.”

Tidak dinafikan lagi, team adalah tulang belakang kepada sebuah perniagaan dengan ketua yang mempunyai kepemimpinan yang luar biasa. Pemimpin itu sendiri mestilah mempunyai visi dan arah untuk team agar mereka dapat mengikuti dengan hala tuju yang jelas. Uwais yang mempraktikkan proses pembelajaran berterusan menunjukkan beliau mementingkan peningkatan bukan sahaja pada team tetapi juga pada diri sendiri.

Hal ini juga menjadi faktor mengapa Mutiara Setia Kawan dapat berkembang dari segi angka team di mana perniagaan ini sekarang mempunyai 8 staf tetap dan hampir 20 orang yang bekerja secara kontrak. Mengapa sesebuah perniagaan itu semakin dapat menarik ramai orang untuk menjadi team mereka adalah kerana mereka sendiri nampak akan kejayaan yang boleh dibina dari aspek perniagaan dan juga peribadi untuk meningkat kemahiran diri. 

Tiadalah perniagaan itu berjaya tanpa team dan tiadalah team tanpa leadership yang boleh dicontohi oleh seorang pemimpin berwibawa. 

Biografi Wan Muhammad Uwais

Wan Muhammad Uwais, yang belajar takat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja, pernah berimpian untuk menjadi seorang askar. 

Ditakdirkan, beliau bekerja bersama keluarga dalam perniagaan penyewaan bot tetapi hanya sebagai staf di bahagian operasi. Beliau tidak pernah bercita-cita untuk berniaga dan hampir menutup bengkel bot yang ada kerana tidak mampu menampung diri dan isteri. 

Keluarga beliau pada asalnya mempunyai pelbagai jenis perniagaan seperti penyewaan bot,  butik pengantin, kedai jahit baju, kedai makan dan pelbagai lagi namun tak pernah mencapai RM 1 Juta pertama. Uwais yang bekerja dalam perniagaan keluarga sebagai staf biasa di bahagian operasi tidak mempunyai keyakinan untuk menjadi sebahagian daripada team pengurusan. Ketika itu, pergaduhan antara adik beradik juga berlaku kerana tiada matlamat yang jelas dalam perniagaan dan tiada yang layak untuk memimpin perniagaan untuk keluar daripada krisis yang ada. 

Uwais yang sebelum ini ditanggung perbelanjaan oleh ayah dan adik beliau, kini menjadi pemimpin dalam keluarga beliau yang dapat mengubah hidup yang tidak pernah disangka akan berubah sebanyak 360 darjah.

Artikel terbaru

Leave a Reply