Bermula sebagai ‘junior’ dan ‘senior’ di bangku sekolah, pasangan ini merancang kehidupan mereka bersama sehingga ke alam perkahwinan. Sebagai anak sulung, Dr. Syazwani Arshad dan Reza Roslan sejak kecil telah mengambil peranan dalam memikul tanggungjawab sebagai pemimpin kepada adik-beradik.
Pembukaan Klinik Syazwani di Bintulu, Sarawak yang diuruskan bersama ini ditubuhkan pada 2014 dengan tujuan untuk menyediakan perkhidmatan perubatan berkualiti dan persekitaran klinik yang selesa untuk pesakit terutamanya kepada kaum wanita.
Klinik ini menjadi klinik ketiga Islam dan klinik kedua khas kepada perempuan yang dibuka, menjadikan kehadirannya menonjol ketika itu. Pada tahun 2023, klinik ini telah meriah jualan sebanyak RM 2.07 Juta.
1. Nama ‘Klinik Syazwani’
“Nama ‘Klinik Syazwani’ sebagai nama perempuan saja dah mainkan peranan untuk tarik pesakit wanita datang ke klinik kita”
Dengan fokus yang khusus pada keperluan kesihatan perempuan, klinik ini menjadi destinasi utama bagi golongan wanita yang mencari perkhidmatan berkualiti dan mesra jantina. Dr. Syazwani dan suami, Reza dengan tujuan memperkenalkan bisnes mereka, menggunakan nama ‘Syazwani’ sebagai tarikan kepada kaum ini.
Klinik Syazwani selain menitikberatkan keselesaan pelanggan, menghadirkan staf perubatan yang terlatih untuk membantu mencipta persekitaran yang menenangkan. Nama ‘Syazwani’ sahaja menyampaikan mesej bahawa klinik ini dibuka oleh seorang doktor wanita, memudahkan pesakit yang ingin nasihat melibatkan kesihatan wanita.
Kehadiran Klinik Syazwani bukan hanya sebagai pusat perubatan, tetapi juga sebagai sumber sokongan buat kaum wanita. Dengan mengutamakan keperluan unik mereka, klinik ini membantu mencipta masyarakat yang lebih sihat dan sejahtera.
2. Pandemik sebagai peluang
“Kita ambil peluang untuk sediakan pakej yang kena dengan pesakit waktu itu.”
Di kala orang lain menjadikan pandembik covid-19 sebagai kejatuhan, Dr. Syazwani dan suami melihatnya sebagai peluang. Klinik Syazwani sendiri ketika itu mengalami kos ‘overhead’ yang tinggi, menyebabkan beliau mencari jalan untuk mengatasi isu tersebut.
Peluang dalam menyediakan pakej vaksinasi dan ujian Covid mendapat sambutan dari penduduk Bintulu yang mempunyai permintaan ramai ketika itu. Pada tahun 2020, beliau mempunyai 12 staf yang difikirkan terpaksa berhenti sekiranya tidak dapat membayar gaji mereka. Namun, dengan kerjasama staf yang bertungkus lumus menguruskan klinik ketika itu, Klinik Syazwani berjaya menutupi kos bayar gaji pekerja sehingga mereka dapat terus bekerja.
Keutamaan Klinik Syazwani ketika itu adalah memberikan kepuasan pelanggan dengan menyediakan pakej perkhidmatan yang bersifat fleksibel mengikut kehendak individu. Dengan menyediakan pakej mengikut permintaan pelanggan, klinik ini memberi pilihan kepada individu untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang tanpa perlu membayar untuk perkara yang tidak relevan. Ini membantu pelanggan merasai nilai sebenar.
3. Mengembangkan ruang
“Pada tahun yang sama, bisnes makin lancar jadi saya kembangkan ruang dan tambah lagi seorang doktor.”
Pesakit yang makin ramai menyebakan Klinik Syazwani mengembangkan ruang agar menjadi lebih selesa buat pelanggan. Pengembangan ini meningkatkan pengalaman perubatan lebih positif.
Sebagai contoh, pada tahun 2022, Klinik Syazwani membuka 2 premis di mana klinik beliau kini mempunyai 2 bilik doktor dan 2 bilik rawatan. Hasil daripada ini, ia menjadi mudah untuk Klinik Syazwani menguruskan pesakit yang ramai membuatkan temu janji juga melalui proses yang lancar.
Pada tahun yang sama, Dr. Syazwani mengambil doktor ke-3 di klinik. Meskipun hanya ada 2 bilik doktor, ia bermakna beliau sendiri tidak perlu selalu ke klinik. Beliau menggunakan kebebasan yang ada untuk fokus kepada pembangunan bisnes selain merawat pesakit di klinik.
Sejak awal pembukaan klinik, hasil jualan yang hanya mendapat RM 50 setiap pesakit kini berubah sehingga mencecah RM 120 setiap seorang dengan sekurang-kurangnya 90 orang ke atas yang datang.
Biografi Dr. Syazwani Arshad dan Reza Roslan
Pasangan yang mengenali hati budi masing-masing sejak sekolah menengah ini berasal dari Bintulu, Sarawak. Dr. Syazwani merupakan ‘junior’ kepada suami beliau ketika itu. Tamat persekolahan, masing-masing menyambung pelajaran dengan jurusan yang berbeza.
Minat Dr. Syazawani dalam jurusan perubatan membuatkan beliau menyambung pelajaran dalam Bachelor of Medicine & Bachelor of Surgery (MBBS) di Universiti Malaya manakala Reza pula dalam bidang Information Technology (IT) di Multimedia University (MMU) dan menghabiskan pelajaran di Universiti Lim Kok Wing.
Pada tahun terakhir Dr. Syazwani sebagai pelajar perubatan, beliau dan suami menjalinkan ikatan perkahwinan pada tahun 2007 sebelum menamatkan pelajaran.
Pengalaman masing-masing dalam bidang diceburi memberikan kemahiran luas kepada pasangan ini sebelum membuka klinik pada tahun 2014. Dr. Syazwani sebagai doktor di beberapa buah hospital seperti di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang dan Klinik Kesihatan Seremban selama 7 tahun. Reza pula sebagai seorang ‘programmer’ yang kemudian memutuskan untuk menjadi seorang ‘freelancer’.
Penawaran yang diberi kepada Dr. Syazwani untuk membuka klinik bersama rakan mencetuskan idea untuk membuka klinik sendiri kerana beliau sendiri sudah mempunyai kepakaran yang diperlukan. Hasil pertolongan bapa mertua yang juga seorang ‘General Practitioner’ dan mempunyai klinik sendiri, ‘Klinik Syazwani’ ditubuhkan bersama suami.
Klinik ini kini diuruskan oleh Dr. Syazwani khusus dalam bahagian operasi. Reza pula lebih kepada bahagian pengurusan.