Sokongan daripada arwah ayah untuk membuka syarikat sendiri menjadi dorongan kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Zarimi Bin Zakaria atau dikenali sebagai Mi Alloy, untuk menubuhkan Kilauan Hijrah Aluminium & Renovation. Berbekalkan modal simpanan sendiri serta pinjaman daripada arwah, beliau menggunakan pengalaman dalam bidang pembuatan tingkap dan pintu aluminium untuk mencipta kebebasan membuat keputusan sendiri dan tidak lagi bekerja di bawah orang.
Semuanya bermula dengan penghijrahan Mi Alloy yang pulang ke kampung halaman untuk menjaga adik yang mengalami sakit buah pinggang. Ayah pula makin uzur menjadikan tanggungjawab beliau semakin besar. Beliau terpaksa meninggalkan kerja yang berpangkat tinggi sebagai jurutera di Kuala Lumpur International Airports (KLIA) demi keluarga tercinta.
Kilauan Hijrah dinamakan sempena kenyataan arwah ayah beliau yang ketika itu yakin syarikat ini akan berkilau kerana berkat beliau hijrah demi menjaganya. Hari demi hari, kenyataan tersebut menjadi benar apabila hasil jualan Kilauan Hijrah semakin meningkat. Pada tahun 2023 sahaja, bisnes ini telah memperoleh sebanyak RM 2.25 Juta. Dahulunya bermula dengan 3 orang staf, kini ia telah meningkat menjadi 11 orang staf.
1.Push and Aggressive Marketing
“Orang lain pun buat bisnes sama tapi yang buatkan kita beza dari pesaing adalah brand identity dan juga customer experience”
Strategi pemasaran push marketing adalah di mana bisnes aktif mempromosikan perkhidmatan kepada pelanggan dengan harapan mencipta permintaan segera. Dalam bisnes pemasangan aluminium, push marketing memainkan peranan dalam mendapatkan projek pemasangan.
Sebagai contoh, Kilauan Hijrah menghasilkan pelbagai jenis promosi aktif untuk mempengaruhi prospek melihat siaran iklan yang dibuat. Ini termasuk pemasangan banner, pengedaran brochure, dan penyiaran di media sosial yang meningkatkan pertanyaan prospek terhadap tawaran khas yang ditayangkan. Promosi aktif ini telah menarik perhatian pelanggan yang menggalakkan mereka membuat keputusan pembelian dengan segera.
Pentingnya push marketing adalah untuk memastikan perkhidmatan pemasangan aluminium diketahui prospek. Dengan memanfaatkan pelbagai platform, Kilauan Hijrah telah meningkatkan nilai jenama yang meningkatkan peluang mendapatkan projek pemasangan aluminium di rumah-rumah sekitar negeri Pahang dan Terengganu.
Hasil daripada strategi ini, peningkatan jualan berlaku setiap hari dan Kilauan Hijrah & Renovation berjaya capai magic numbers mereka.
2.Kuasai kawasan menjadi ‘Brand’ No. 1
“Kilauan Hijrah kini merupakan brand No. 1 di sekitar kawasan jajahan kami. Nak orang lebih kenal nama kita, kita mesti bagi orang terdekat nampak dulu”
Pada mulanya, bisnes pasti akan menguasai kawasan yang paling hampir kepada mereka. Seperti Kilauan Hijrah yang bermula dengan menguasai kawasan Kuantan, Pekan, Rompin, Kemaman, dan Kijal, Mi Alloy mengambil kesempatan dalam membuat pemasaran dan promosi kepada pelanggan yang paling berpotensi untuk menggunakan servis mereka dengan memberi jaminan kualiti yang terbaik serta jaminan pemasangan ‘on time’ yang mana tidak mengganggu proses kontraktor.
Walaubagaimanapun, Kilauan Hijrah tidak dapat mencapai matlamat ini sekiranya mereka tidak membuat apa-apa tindakan. Oleh itu, mereka mula mengenalpasti ciri-ciri unik dan mengambil kira permintaan biasa yang diperlukan oleh kontraktor dan penduduk di kawasan itu.
Dalam aspek kewangan, ia juga membantu dalam mengurangkan pembaziran sumber untuk memaksimumkan pemasaran sehingga memberi impak positif kepada Kilauan Hijrah. Sebagai contoh, mereka telah memasang banner di hampir seluruh kawasan Kuantan untuk meluaskan penglihatan prospek terhadap jenama mereka.
3. Servis ‘After-sales’
“Ingat tingkap, ingat Mi Alloy Kilauan Hijrah”
“Dengan pengalaman 10 tahun dalam bidang pembuatan tingkap serta pintu aluminium, kami faham apa kehendak serta keperluan customer. Saya Cuba memberikan VALUE kepada customer iaitu JAMINAN Rasa tenang, JAMINAN Rasa yakin serta JAMINAN Rasa selamat.”
Pelanggan, selain tertarik dengan tawaran servis, juga mementingkan risiko pembelian yang paling rendah. Mereka merasa lebih selamat untuk membuat keputusan pembelian kerana ada jaminan perlindungan jika produk atau perkhidmatan tidak memenuhi harapan. Ini terutamanya dalam pembelian yang melibatkan keputusan jangka panjang.
Di Kilauan Hijrah, Mi Alloy pertamanya memberi keyakinan kepada pelanggan akan kualiti perkhidmatan dan produk yang ditawarkan untuk menarik lebih banyak pelanggan yang mungkin bimbang atau ragu-ragu. Bisnes ini menawarkan jaminan 3 bulan terhadap sebarang kerosakan atau masalah yang berkaitan dengan pemasangan aluminium.
Sekiranya pelanggan mengalami sebarang isu dalam tempoh tersebut, bisnes akan bertanggungjawab untuk menggantikan produk tanpa caj tambahan. Ini memberi pelanggan keyakinan bahawa mereka berurusan dengan bisnes yang menghargai kepuasan pelanggan.
Selain itu, strategi jaminan ini juga menjadi faktor yang diketengahkan dalam kempen pemasaran, membuatkan prospek lebih tertarik dengan jenama ini berbanding jenama pesaing.
Biografi Mohd Zarimi (Mi Alloy)
Mohd Zarimi atau Mi Alloy merupakan anak tunggal lelaki dalam keluarga. Beliau bukanlah datang dari keluarga yang senang. Arwah ayah beliau hanya melakukan kerja-kerja di kampung manakala arwah ibu membuat kuih demi menampung keperluan keluarga.
Di sebelah pagi pula, ayah beliau bekerja sebagai pembuat longkang di kedai ‘Hardware’ berhampiran kampung. Sewaktu kecil, beliau gemar mengikut arwah ayah dan ibu ke kebun. Hasil tanaman serai dari pajakan tanah kebun oleh mereka akan dijual di pasar.
Mi Alloy mempunyai ibu bapa yang selalu memberi beliau kata-lata semangat untuk berusaha sampai berjaya. Arwah ibu beliau selalu berpesan bahawa ilmu yang akan membawa beliau kepada kejayaan yang diinginkan.
Hasil daripada nasihat yang diambil, beliau bersyukur kerana mempunyai ibu bapa yang sentiasa menyokong dari belakang walaupun dengan keadaan yang tidak seberapa sewaktu beliau kecil.