Pernah berhutang sehingga hampir jatuh muflis, Khairulnizam kenal erti kesusahan mencari duit untuk menampung keluarga mendapatkan kehidupan lebih baik. Rumah yang diduduki terpaksa dilepaskan kerana tidak dapat membayar sewa selama 3 bulan. Kereta terpaksa dijual. Paling sedih, anak yang sudah biasa minum susu mahal, terpaksa minum susu kotak sahaja.
Bermula sebagai ‘driver’ dalam industri perkhidmatan penghantaran kenderaan, beliau menggunakan pengetahuan 13 tahun untuk menjalankan bisnes yang ditubuhkan pada tahun 2018. Dikenali sebagai Khainazwa Resources, nama bisnes ini digabungkan daripada nama beliau “Khairulnizam” dan isteri “Nor Azwa”.
Khainazwa kini adalah bisnes perkhidmatan lori pengangkutan yang membantu dalam penghantaran kenderaan yang berurusan dengan pengeluar kereta seperti Carsome, Perodua, dan My Tukar.
Pada tahun 2023, Khainazwa Resources mencatatkan dua kali ganda hasil jualan dari tahun sebelumnya iaitu RM 2.02 Juta.
1.Penambahan lori
“Jualan mula-mula meningkat kemudian dia mendatar takat tu je. Masa ni saya dah faham kena tambah lagi lori.”
Khairulnizam yang mempunyai sebuah lori pada awal bisnes, nampak peningkatan yang berlaku dalam hasil jualan yang diraih. Bagaimanapun, beliau sedar peningkatan tersebut mula mendatar apabila jualan bulanan hanya mencatatkan dalam lingkungan RM20 -RM 30 ribu sahaja.
Memandangkan bisnes ini mengutamakan penghantaran kenderaan, jumlah lori mempengaruhi jualan. Khairulnizam memutuskan untuk membuat pertambahan lori setiap tahun sehingga memiliki 6 buah lori treler dan 3 buah lori rigid.
Peningkatan jumlah lori ini telah membuktikan kejayaan kepada Khainazwa Resources apabila hasil jualan meningkat kepada sehingga mencecah RM 300 ribu pada tahun 2021.
Tidak cukup lagi, Khairulnizam tambah 3 buah lagi pada tahun 2022 sehingga beliau memecah rekod pertama dalam mencapai RM 1 juta pertama. Pada tahun itu, beliau mendapat RM 1.83 Juta.
2. Sumber luar sebagai solusi
“Bila bisnes tengah lancar, ada kemungkinan kita terlepas pandang isu yang bakal datang. Lori pernah rosak jadi saya terus call untuk sewa lori.”
Khairulnizam, pernah menghadapi isu lori rosak yang menghalang penghantaran kereta ke galeri jualan. Ini boleh menjejaskan perhubungan beliau dengan syarikat pengeluar kereta. Walaubagaimanapun, beliau bertindak pantas dalam mengatasi masalah tersebut.
Apa yang dilakukan adalah dengan menyewa lori luar untuk pastikan perkhidmatan di Khairunazwa berjalan lancar. Sementara lori tidak boleh dipakai, beliau menggunakan apa sahaja cara yang mampu memuaskan pelanggan yang menggunakan perkhidmatan beliau.
Berfikiran panjang, Khairulnizam cuba untuk tidak menimbulkan apa-apa isu yang memberi pandangan tidak elok kepada bisnes beliau agar pelanggan tetap setia. Kepercayaan yang dibina sekian lama tidak boleh dipandang remeh meskipun makin ramai pelanggan yang mengambil perkhidmatan di Khainazwa Resources.
3.Ketelusan bersama pelanggan
“Contoh kita ada problem. Kita kena bagitahu mereka cepat. Janji juga mesti tepat.”
Apa-apa yang berlaku sewaktu lori pengangkutan berada dalam perjalanan, Khainazwa Resources akan telus memberitahu kepada pelanggan terutamanya masalah yang timbul.
Apabila bisnes mampu menyampaikan info secara terus terang, pelanggan boleh bergantung kepada sebuah bisnes untuk memberi perkhidmatan terbaik kerana menunjukkan sikap mengutamakan pelanggan.
Walaupun dalam keadaan yang mencabar, Khainazwa Resources masih meneruskan perkhidmatan mereka. Seperti ketika mempunyai masalah kerosakan lori, bisnes ini menjelaskan kepada pelanggan terhadap kelewatan yang bakal berlaku dalam penghantaran kereta. Sekurang-kurangnya, pelanggan dapat notis awal agar mereka sendiri dapat mengawal situasi masalah sebagai syarikat pengeluar kereta.
Ketelusan Khainazwa Resources menjadi kekuatan mereka dalam membina kepercayaan pelanggan. Khairulnizam yang menerapkan sikap ini faham bahawa kejujuran bukan hanya suatu tanggungjawab moral tetapi juga strategi yang berkesan untuk mencapai imej yang baik.
Biografi Khairulnizam Bin Mohamed
Bapa kepada 4 orang anak, Khairulnizam yang berasal dari Kedah dan membesar di Perak berniaga demi kesenangan keluarga. Ayah beliau merupakan seorang pemandu teksi, manakala ibu beliau merupakan seorang suri rumah. Beliau merupakan anak ketiga daripada 11 adik beradik. Walaubagaimanapun, beliau dibesarkan oleh atuk dan nenek sejak umur 10 tahun.
Khairulnizam pernah mempunyai pengalaman singkat dalam perniagaan semasa membantu abang beliau menjual buah sewaktu masih tinggal di Perak. Beliau ketika itu masih berada dalam alam persekolahan.
Selepas tamat persekolahan takat Sijil Rendah Pelajaran (SRP), beliau berhijrah ke Pulau Pinang selama 5 tahun untuk bekerja dengan kilang pembuatan barang hospital. Kemudian, beliau lompat pula menjadi seorang ‘driver’ bas mini yang khusus dalam membawa penduduk tempatan ke destinasi yang ditetapkan.
13 tahun menjadi ‘driver’ dalam industri perkhidmatan penghantaran kenderaan, Khairulnizam diminta oleh syarikat lama untuk mencari pembeli lori. Akhirnya , beliau sendiri menyewa beli dengan syarikat tersebut selama 2 tahun setelah membuat keputusan untuk menubuhkan bisnes sendiri. Beliau yang dahulunya seorang ‘driver’ kini mempunyai 8 ‘driver’ yang memandu lori milik beliau.