Jalina Jahari telah ‘masak’ dengan dunia perniagaan. Sejak berumur 8 tahun, beliau sudah menjual hasil laut tangkapan ayahnya yang merupakan seorang nelayan. Semakin usia meningkat, beliau telah menjalankan pelbagai jenis perniagaan termasuk penjualan online, menjual air di Bazar, dan menjadi ejen menjual topup. Beliau juga pernah menjual Ais Batu Campur (ABC) yang mendapat hasil jualan sebanyak RM 50 sehari. Walaupun seorang suri rumah, beliau masih ingin mencari pendapatan sendiri.
Namun, kerana tidak fokus dengan satu produk, setiap perniagaan yang dijalankan menghasilkan jualan yang biasa-biasa sahaja. Beliau kemudian mencari guru untuk keluar dari kebuntuan sehinggalah nampak peluang untuk menjual produk berasaskan ubi kayu. Pertemuan Jalina Jahari bersama suami mencetuskan idea untuk beliau namakan jenama bisnes kepada ‘Yuly, iaitu nama samaran yang dipanggil oleh suami beliau .
Yuly Brands yang dikenali dengan pembuatan snek, diperbuat daripada ubi kayu yang ditubuhkan pada tahun 2017. Puan Jalina, seorang usahawan yang cukup berpengalaman dalam dunia perniagaan, akhirnya menjumpai industri yang bersesuaian dengan jiwa beliau. Produk yang digemari ramai ini telah pun dipromosikan di beberapa buah negara antaranya di Singapura, England, Dubai, dan lain-lain.
1. Peredaran ke luar negara
“Bila kita ciptakan produk berkualiti, orang mula kenal dengan jenama kita. So bila orang nampak, kita tak tahu peluang apa yang akan datang.”
Dikenali pantas oleh penduduk lokal, Yuly Brands menjadi snek kegemaran di Sabah. Semakin berkembang, bisnes ini kini telah mempunyai 5 cawangan. Yuly Brands yang kelihatan menonjol dalam industri perniagaan makanan dan seringkali ditawarkan oleh beberapa agensi Kerajaan, yang memberi peluang untuk memperkenalkan dan memasarkan produk di luar negara.
Dengan peluang yang diberikan, Puan Jalina mengikuti rombongan ke luar negara dan beliau dapat memperkenalkan jenama YULY kepada beberapa buah negara. Di situ beliau dapat mengenal pasti permintaan penduduk,termasuk size produk dan harga yang bersesuaian dengan produk di sana.
Kehadiran di peringkat global membolehkan bisnes snek makanan ini meneroka trend yang berbeza untuk berinovasi dalam penyesuaian produk dengan keperluan pelanggan dalam negara dan luar negara.
2. Strategi mendapatkan “database”
“Kita sediakan borang siap-siap untuk pelanggan supaya mereka boleh isi tentang apa mereka rasa tentang produk kita.”
Dengan peluang yang diberi oleh kerajaan, Jalina mendapat idea untuk memasarkan produk beliau di luar negara dengan lebih berkesan. Dengan hanya memperkenalkan jenama beliau di sana sahaja tidak cukup. Beliau perlu melakukan ‘follow-up’ dengan pelanggan.
Oleh itu, sebelum ke luar negara beliau membuat persediaan dengan menyediakan borang Dimana pelanggan dapat mengisikan info mereka sambil memberi penilaian terhadap snek Yuly Brands. Info-info yang terkumpul digunakan oleh Jalina dan team eksport beliau untuk melihat tahap permintaan serta kepuasan pelanggan terhadap snek yang dijual dan bagaimana beliau dapat membuat pembaharuan agar mengikuti citarasa penduduk di sana.
Info yang diperolehi juga membantu dalam membina profil pelanggan yang lebih tepat, membolehkan strategi pemasaran yang lebih efektif. Walaupun Nampak mudah, borang penilaian adalah alat komunikasi dua hala yang sangat membantu untuk pertumbuhan bisnes seperti yang dilihat berlaku kepada Yuly Brands.
3. Pendedahan pengalaman baru kepada team
“Saya bawakan team sekali ke rombongan luar negara supaya mereka pun nampak cara bisnes ni berjalan dan berapa besar peluang yang ada di syarikat ni”
Dalam team Yuly Brands,Puan Jalina memastikan mereka didedahkan dengan pengalaman baru agar mereka belajar dengan sepenuhnya. Bila dipimpin sambil membuat bersama, usahawan ini menunjukkan kredibiliti agar team dapat ikut matlamat yang ingin dicapai.
Sebagai contoh, apabila melakukan pemasaran di luar negara, team beliau telah meraih ramai pelanggan yang tertarik untuk merasa snek ubi kayu jenama Yuly. Pengalaman ini juga membolehkan team mendapat interaksi secara langsung ke dalam pasaran antarabangsa.
Ini memberi pemahaman yang lebih kepada budaya pelanggan bagi menyesuaikan strategi pemasaran dengan keperluan setempat.
Sekiranya hanya Puan Jalina yang mengikuti rombongan ke luar negara ini, mungkin beliau sahaja yang faham apa yang perlu dilakukan tanpa mempunyai team yang memahami visi beliau.
Oleh itu, pengalaman ini merangsang kreativiti team dalam pemasaran produk, memberikan perspektif yang lebih luas terhadap cabaran dan peluang pasaran global.
Biografi Jalina Jahari
Dibesarkan di Kota Marudu, Sabah oleh ibu dan ayah, Puan Jalina dari kecil sudah diajar oleh ayah supaya tidak meminta-minta dengan orang lain bahkan jika ingin sesuatu, beliau perlu berusaha sendiri mendapatkannya.
Arwah ayah beliau yang merupakan seorang nelayan jati dan menjadikan hasil laut sebagai sumber pendapatan keluarga. Puan Jalina yang masih kecil ketika itu telah dididik dan dilatih untuk menjual hasil laut seperti udang, ikan dan sebagainya selepas habis waktu sekolah. Sekiranya Ikan yang tidak habis dijual pula akan dijadikan ikan keping yang akan dijual di tamu bersama neneknya pada hujung minggu,Ketika ini beliau baru berusia 8 tahun.
Dan sewaktu usia beliau 13 tahun,beliau tinggal di asrama. Walaubagaimanapun beliau akan mengambil peluang di hujung minggu untuk pulang ke kampung semata mata untuk membantu menjual hasil laut tangkapan ayahnya kerana minat yang kuat dalam berniaga.
Selepas tamat pengajian di sebuah universiti swasta dalam jurusan perniagaan, beliau bekerja dia merata tempat seperti di kilang dan pasaraya Mydin.
Selepas berkahwin dan menjadi suri rumah, beliau masih mencari pendapatan demi membantu suaminya yang mempunyai gaji hanya cukup-cukup makan sahaja. Hasil daripada minat beliau yang kuat terhadap perniagaan, dengan keinginan untuk mengubah hidup , Puan Jalina berjaya membantu suami, keluarga dan penduduk setempat dalam meningkatkan taraf hidup mereka serta memberi banyak peluang pekerjaan kepada golongan yang memerlukan.Yuly Brands telah mencatatkan pencapaian jualan yang membanggakan.