HASSAN HARDWARE (Mohd Husaini Hassan)

Bakal pemilik rumah di Kelantan yang memerlukan bahan-bahan binaan berkualiti sudah pasti akan memilih HASSAN HARDWARE yang sudah beroperasi selama 40 tahun untuk mendapatkan bahan tersebut. Hassan Hardware merupakan One Stop Centre yang membantu pelanggan dari proses perancangan pembinaan, penyediaan bahan bina dan aksesori serta kelengkapan rumah.


Jika kita melihat perniagaan hardware sejak dari dulu lagi, kebanyakan kedai hardware hanya dibuka secara kecil-kecilan sahaja dan diwarisi dari turun-temurun. Lain pula bagi Husaini Hassan, Pengarah Urusan Hassan Hardware yang berimpian untuk membangunkan lagi perniagaannya dengan lebih besar.

HUSAINI HASSAN: SUATU MASA DAHULU


Mohd Husaini Bin Hassan atau lebih mesra dengan panggilan Husaini dilahirkan di Ketereh, Kota Bharu, Kelantan di mana beliau dibesarkan dalam keluarga yang sederhana sahaja. Ayah beliau merupakan seorang tentera yang berkhidmat untuk negara dan ibu beliau pula seorang guru sekolah.


“Saya lahir dalam keluarga yang sederhana. Ayah saya merupakan seorang tentera dan ibu saya bekerja sebagai seorang guru. Sewaktu umur saya 4 tahun, ayah saya membuat keputusan untuk berhenti berkhidmat sebagai seorang tentera dan mula berniaga bahan binaan secara kecil-kecilan bermula dari rumah bermodalkan wang saguhati perkhidmatan anggota tentera sebanyak RM13,000.”


“Kalau ikutkan modal RM13,000 itu tak cukup untuk nak buka kedai hardware. Jadi ibu saya kan seorang guru, jadi bulan-bulan dia support bisnes ayah saya. Setiap kali gaji dia akan masukkan duit sikit dalam bisnes. Bertahun-tahun buat macam itu.”


Setelah tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Husaini menyambung pelajaran di Dublin Business School dalam bidang perakaunan. Kemudian beliau teruskan pembelajaran dalam Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) pada tahun 2002.


“Dalam tempoh saya membesar, saya melihat susah-payah yang terpaksa dihadapi oleh ayah dan mak untuk membina perniagaan yang serba kekurangan dari segi modal serta pengalaman.”


AYAH NAK JUAL HARDWARE


20 tahun Hassan Hardware beroperasi, ayah Husaini sudah penat menguruskan perniagaan hardware seorang diri. Hasil pula tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan membuatkan ayah Husaini menyatakan hasrat beliau untuk menjual sahaja perniagaannya itu.


“Masa itu, ayah saya kata dia nak jual bisnes ni. Sebabkan ini bisnes family jadi mak saya rasa sayang nak jual sebab sudah 20 tahun kita buat . Mak terus call saya, masa tu saya masih belajar lagi. Mak kata kita perlu buat sesuatu.”


“Mungkin ayah masa itu dia sudah penat handle bisnes 20 tahun seorang. Team tak ramai jadi semua benda ayah urus sendiri. Sebab itu, ayah nak jual bisnes.”


“Masa mak saya call tu, mula-mula saya tak rasa apa-apa. Tapi lepas itu mak saya call lagi. Dia beritahu saya, Eh sudah ada orang datang tengok hardware lah nak beli.”


Dengar sahaja berita itu, Husaini mula merasa sayang dan rugi jika mereka tidak mempertahankan perniagaan yang sudah 20 tahun beroperasi hasil titik peluh ayah dan ibu untuk menyara keluarga. Sebagai anak sulung, beliau mengambil tanggungjawab untuk memastikan perkara itu tidak berlaku.


“Saya rasa sayang kalau jual hardware, kami ni bukan orang senang. Lepas je dengar nak jual tu, saya fikir tak apalah walaupun saya belum habis lagi belajar lagi saya balik ke Kelantan tolong ayah.”


“Tapi dalam balik tu, saya still ambil exam. Sebab kebetulan saya ambil ACCA jadi masa sangat flexible. Saya boleh pergi belajar beberapa hari dan saya balik dan ambil exam. Jadi tak perlu pergi kelas lah dan saya buat rutin tu bertahun-tahun juga lah. Belajar akaun yang agak susah dan sambil-sambil kerja yang tak ada kaitan.”


“Masa tu saya tolong ayah buat benda basic sahaja macam buat sales, jaga barang, order barang, hantar barang, kiranya yang basic. Sebab bisnes waktu itu kan, kita just a normal hardware dekat kampung pula tu kan?”


AMBIL ALIH HASSAN HARDWARE


Asalnya Husaini tidak minat dalam perniagaan walaupun dibesarkan oleh ayah yang berniaga. Minat Husaini adalah dalam bidang perakaunan dan menjadi akauntan yang berjaya. Namun, setelah setiap hari beliau bekerja dan membantu ayah menguruskan hardware. Husaini mula berminat dan mengambil tahu dengan lebih dalam tentang perniagaan hardware milik ayahnya.


“Mula-mula memang saya tak minat bisnes, tapi bila saya dah buat dan dah faham serba sedikit tentang bisnes terus timbul minat. Asalnya nak menolong ayah sahaja tapi bila timbul minat tu saya jadi nak explore sendiri semuanya.”


Setelah mengambil alih perniagaan hardware milik ayah beliau, Husaini mengaplikasikan ilmu-ilmu perniagaan yang beliau belajar sendiri pada hardware beliau. Perniagaan beliau mempunyai peningkatan akan tetapi peningkatan tersebut tidak mencapai tahap maksimum dek kerana ilmu yang beliau miliki sudah semakin habis digunakan.


“Awal-awal tu memang saya explore semuanya sendiri dengan apa yang saya tahu sahaja. Saya buat macam-macam adjustment dalam bisnes untuk improve performance bisnes. Sampailah satu tahap yang saya dah jadi tepu dan dah tak boleh nak buat apa. Asyik-asyik ulang benda yang sama.”


“Cabaran paling besar perlu saya hadapi setelah mengambil alih pengurusan syarikat adalah untuk memastikan kestabilan jualan dan pengurusan operasi berlaku dengan cekap. Hasil jualan yang diperoleh tidak konsisten dan sentiasa turun naik. Perniagaan kami ibarat pasar malam, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.”

TIGA RINGGIT LIMA PULUH SEN


Penglibatan Husaini dalam dunia perniagaan menjadi lebih serius apabila beliau nekad untuk menangguhkan pelajarannya supaya dapat membantu perniagaan keluarga yang sedang mengalami isu. Pernah pada suatu ketika, angka jualan dalam 1 hari hanya berjumlah RM3.50 sahaja.


“Tahap kemelesetan perniagaan pada waktu itu sangat teruk sehingga syarikat pernah memperolehi jualan harian hanyalah RM3.50 sehari walaupun sudah 20 tahun berniaga. Bermula dengan niat ingin membantu bisnes keluarga, saya berusaha menambah baik pengurusan operasi dan kewangan syarikat.”


Cabaran terbesar yang beliau hadapi adalah dalam menguruskan perniagaan seorang diri kerana pekerja beliau pada waktu itu tidak cukup matang untuk menguruskan perniagaan tanpa pengawasan Husaini setiap masa.


“Sepanjang 15 tahun menguruskan bisnes sebelum saya mengenali RichWorks, cabaran paling besar yang saya hadapi adalah terpaksa menguruskan bisnes seorang diri tanpa ada team. Saya mempunyai staf yang hanya boleh bekerja sebagai pembantu yang memerlukan arahan daripada saya setiap masa dan tidak mampu untuk buat keputusan sendiri. Saya terpaksa mengurus setiap perkara dari tempahan produk, jualan, menguruskan operasi sehinggalah pengurusan stok. Waktu itu, kehidupan saya sangat kelam kabut, tertekan dan tiada masa untuk bersama keluarga.”


Impian beliau adalah untuk membantu lebih ramai masyarakat di luar sana supaya dapat membina rumah impian yang berkualiti, selamat dan selesa untuk didiami di samping keluarga tercinta. Namun, beliau tidak mampu berbuat demikian kerana beliau juga masih bergelut untuk membantu diri sendiri dan keluarga.


“Menguruskan bisnes tanpa ilmu dan tanpa pengalaman adalah sangat sukar. Setiap hari saya terpaksa berdepan dengan masalah kewangan kerana jualan tidak menentu. Saya sangat penat dan tertekan dengan masalah operasi serta kerenah pelanggan yang susah membayar hutang.”


“Antara keperitan yang saya tidak boleh lupa bila diperlakukan seperti peminta sedekah apabila terpaksa mengutip hutang untuk memastikan saya boleh membayar gaji pekerja dan pembekal. Penghutang memberi pelbagai alasan dan berjanji untuk membayar tetapi tidak mengotakan janji tersebut.”


“Saya melihat jika perkara ini berterusan, tiada siapa yang sanggup meneruskan perniagaan ini apabila saya tiada nanti. Saya juga melihat banyak perniagaan di sekeliling saya terpaksa tutup kerana tiada pengganti.”


“Sebagai anak sulung lelaki, saya merasa bertanggungjawab untuk memastikan legasi perniagaan ini diteruskan bagi memenuhi harapan mak dan ayah untuk menjadikan Hassan Hardware sebagai sumber pahala amal jariah apabila mereka tiada nanti. Bagi memastikan legasi perniagaan ini diteruskan, saya perlukan ilmu dan bimbingan daripada mentor yang terbukti dapat menghasilkan kejayaan.”


ROAD SHOW RICHWORKS KOTA BHARU


Semakin hari perniagaan semakin merosot dan melemaskan Husaini. Beliau mula meragui kebolehan dalam menguruskan legasi perniagaan keluarga apabila beliau perlu menghadapi kesukaran dalam menguruskan pelanggan yang berhutang dengan syarikat beliau.


“Sebelum mengenali RichWorks, masalah utama yang saya hadapi adalah kesukaran untuk mengurus hutang pelanggan. Saya membuat jualan secara kredit tanpa ada sistem kutipan hutang yang cekap, membuatkan perniagaan ini terdedah kepada risiko pelanggan yang tidak membayar hutang. Sepanjang 35 tahun tempoh perniagaan, saya kerugian jutaan ringgit kerana tidak dapat memastikan setiap hutang pelanggan dikutip.”


Pada tahun 2014, beliau diperkenalkan dengan RichWorks oleh sahabat isteri beliau yang pernah menyertai program yang dianjurkan oleh RichWorks. Bak kata orang dulu-dulu, kalau sudah ada jodoh memang tidak kemana. Pada masa yang sama RichWorks mengadakan Roadshow di Kota Bharu, Kelantan. Tanpa membuang masa, Husaini membuat keputusan untuk menghadiri program tersebut bersama-sama dengan isteri beliau.


“Apa yang menarik minat saya untuk terus belajar bersama RichWorks adalah values dan ilmu yang ada pada Datuk Wira Dr Azizan Osman yang sangat saya perlukan. Pertama kali berjumpa Dr. Azizan dan mengenali beliau, saya sudah yakin bahawa inilah guru yang saya perlukan dan patut saya follow.”


EVOLUSI HASSAN HARDWARE


Sedar tentang lompong-lompong yang perlu beliau perbetulkan dalam perniagaan, Hassan mula meletakkan fokus 100% dalam perniagaan hardware beliau. Dari tahun 2014 hingga tahun 2018, Hassan banyak menghadiri program-program RichWorks yang berlangsung selama beberapa hari sahaja. Banyak perkara yang beliau pelajari dan semua ilmu itu beliau gunakan untuk memperbetulkan kembali perniagaan beliau.


Pada tahun 2019, Husaini membuat keputusan untuk menyertai RichWorks dalam Program Pementoran Titanium untuk mendapatkan bimbingan secara dekat bersama Datuk Wira Dr Azizan Osman. Pada ketika itu, perniagaan beliau sudah mencapai angka jualan sebanyak RM6,000,000 setahun. Beliau tidak mahu menyekat potensi perniagaan beliau dan ingin terus belajar.


Menurut Husaini setelah dibimbing oleh RichWorks dan Datuk Wira Dr Azizan Osman, banyak perkara yang beliau perbetulkan dalam perniagaan antaranya adalah dengan strukturkan perniagaan dan membuat pengasingan bahagian kerja mengikut tugasan. Beliau juga melantik dan melatih ketua untuk setiap department.

Bukan itu sahaja, Husaini meletakkan fokus utama perniagaan dalam aktiviti pemasaran di mana sebelum ini beliau tidak pernah lakukan di dalam syarikat. Sistem pengurusan jualan melalui sistem POS juga diperkemaskan.Paling utama, punca kepada kerugian syarikat selama 35 tahun iaitu jualan secara kredit dihentikan serta-merta.


Apa yang membuatkan perniagaan Hassan Hardware berbeza dengan hardware yang lain adalah kerana mereka mementingkan pengalaman pelanggan sewaktu berurusan dengan team mereka. Mereka juga menitikberatkan kualiti setiap produk dan servis yang ditawarkan kepada pelanggan bagi memastikan setiap pelanggan dapat membina rumah impian mereka dengan selamat dan selesa. Hassan Hardware juga mengamalkan prinsip Telus, Jujur, Prihatin dalam setiap proses urusniaga mereka.

Pada tahun 2003, jumlah pekerja Hassan Hardware hanya 6 orang. Kini syarikat beliau mempunyai 6 department, 10 key leaders, dan 50 pekerja. Pengambilan pekerja yang Hassan Hardware lakukan melalui 4 fasa iaitu tapisan melalui resume, temuduga melalui panggilan telefon, ujian soalan psikologi seperti DISC, lukisan dan beberapa soalan yang lain. Temuduga secara bersemuka bersama HR.


HASSAN HARDWARE’S BREAKTHROUGH


Semua perubahan dilakukan dan membawa Hassan Hardware ke tahap yang lebih baik dan tinggi. Angka jualan juga semakin meningkat dari RM6,000,000 menjadi RM8,000,000 pada tahun 2020, walaupun pada ketika dunia dilanda pandemik dan menjejaskan kebanyakan perniagaan.


Perubahan dari segi perniagaan sudah pastinya boleh diukur tetapi apa yang lebih menarik, kemahiran kepimpinan Husaini juga bertambah baik. Dengan tunjuk ajar dan bimbingan oleh RichWorks terutamanya Datuk Wira Dr Azizan Osman, beliau cuba sedaya upaya untuk memberikan contoh yang terbaik pada pekerja-pekerja dan keluarga beliau sendiri. Dari segi pembelajaran pula, Husaini sentiasa fokus dan cuba yang terbaik untuk menyerap segala ilmu yang dicurahkan.


“Saya memastikan diri saya sentiasa bersedia dan komited untuk semua kelas dan aktiviti yang telah disediakan oleh RichWorks. Saya sangat faham kepentingan meletakkan keutamaan kepada sesi pembelajaran dan tugas mengurus bisnes akan saya delegate kepada team untuk melatih mereka sebagai persediaan untuk mereka memegang tanggungjawab yang lebih besar.”


“Sebagai seorang pemilik bisnes, hampir setiap masa akan ada isu yang saya perlu hadapi dan keputusan yang perlu dibuat. Saya pastikan diri saya sangat jelas dengan tujuan dan matlamat yang nak saya capai. Jika ada cabaran yang mengganggu emosi, saya akan sentiasa bertenang dan kembali kepada tujuan serta matlamat asal yang saya tetapkan.”


Dari segi pemasaran dan penjenamaan, Husaini memastikan orang ramai mengenali Hassan Hardware dengan nilai yang mereka terapkan dan memastikan mereka membuat keputusan untuk memilih Hassan Hardware sebagai hardware kegemaran mereka. Husaini juga memastikan mesej mengenai nilai dan produk-produk beliau sampai kepada customer dengan tepat melalui strategi omni-channel seperti online, offline dan referral.


Manakala dari segi jualan pula, beliau memastikan setiap dari team jualan Hassan Hardware sangat mahir dengan nilai syarikat dan pengetahuan produk supaya mereka mampu memberikan khidmat serta servis terbaik kepada pelanggan. Oleh itu, pelanggan juga dapat pengalaman terbaik semasa berurusan dengan Hassan Hardware.


HUSAINI DAN HASSAN HARDWARE


Bakal akauntan bertukar kepada usahawan ini berjaya membawa legasi keluarga 2 generasi ke tahap yang luar biasa. Rekod jualan Hassan Hardware mencatat sebanyak RM14,500,000 pada tahun 2023 dan Husaini berjaya menjadi salah seorang dari Gladiator RichWorks.


Hassan Hardware telah berjaya membantu lebih dari 320,000 pelanggan dalam tempoh 5 tahun hasil dari bimbingan Datuk Wira Dr Azizan Osman dan RichWorks.

Artikel terbaru

Leave a Reply