HarryDanny by Harry Potter Cafe yang ditubuhkan sejak tahun 2014 diuruskan oleh Mohamad Harry Danny bin Mohamad Ismail. Beliau yang terjebak dalam industri restoran ini bermula daripada warisan ‘tok’ beliau yang pernah menceburi dalam servis catering.
Cafe ini menawarkan pelbagai jenis makanan dengan set-set kombo yang menarik seperti Nasi Tomato dan Nasi Putih yang boleh dicampur dengan lauk-lauk yang mengikut kesukaan pelanggan. Cafe ini terletak di Georgetown, Pulau Pinang dan kini mempunyai cawangan baru di Bayan Baru.
Walaupun pada mulanya, perniagaan ini dilihat sebagai cara untuk bertahan hidup sehari demi seharian, beliau kini kemudian nampak potensi yang boleh dikembangkan dan mula mengaplikasikan perkara-perkara betul.
Sejak tahun 2021, HarryDanny by Harry Potter Cafe mencatatkan hasil jualan sebanyak RM 960 ribu setahun dan meningkat ke RM 1.02 Juta pada tahun 2022. Pada tahun 2023, bisnes ini meraih hasil jualan sehingga RM 1.44 Juta.
1. Khidmat Sumber Luar
“Walaupun kedudukan cafe kurang strategik kerana masalah parking,tapi kami kuasai online. Kami join Foodpanda, Grabfood dan Shopee food. Kami juga sediakan free delivery untuk client yang ada dalam kolam. Ini antara perkara yang membuatkan kami menang di kawasan Georgetown.”
Lokasi pastinya memainkan peranan dalam memberi akses yang mudah kepada pelanggan terutamanya untuk sebuah kafe atau restoran. Ia dapat meningkatkan kemampuan usahawan itu untuk menjual makanan daripada kedai yang senang kelihatan di mata pelanggan. Hakikatnya, adakah faktor ini masih relevan pada zaman yang celik digital ini?
Penukaran lokasi bukanlah sesuatu yang boleh ditukar dengan sekelip mata. Apa yang Harry Danny buat dalam isu ini adalah dengan berkolaborasi bersama platform online dengan penghantaran makanan. Melalui cara ini, ia membuka sasaran yang lebih luas agar ramai lebih mengenali Harry Potter Cafe di Georgetown ini.
Tambahan pula, cafe ini menawarkan penghantaran percuma yang sangat mempengaruhi pemikiran pembeli sewaktu mereka ingin melakukan pembayaran secara online.
2. Menjaga pelanggan dalam kolam
“Sentiasa jaga client dalam kolam. Sediakan promo yang khusus untuk client dalam kolam.”
Kebanyakan usahawan hanya mementingkan kempen atau promosi yang ditujukan kepada pelanggan baru tetapi tidak menjaga pelanggan yang sedia ada. Tetapi, adakah anda tahu bahawa pelanggan yang sedia ada lebih senang untuk membuat pembelian yang seterusnya?
Dengan database yang sudah tersedia daripada maklum balas dan testimoni, usahawan lebih tahu tingkah laku pelanggan yang mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk membeli. Apa yang dibuat oleh Harry Danny adalah dengan membuat promosi khusus yang lebih ditujukan kepada pelanggan yang sudah menjadi pembeli tetap ataupun sekurang-kurangnya pernah mencuba makanan di cafe beliau.
Harry Danny, selain mementingkan penjagaan ‘pelanggan dalam kolam’, menggunakan strategi ini untuk memanfaatkan mereka yang mencari makanan yang memuaskan hati sambil mendapat layanan yang terbaik.
3.Tidak kedekut Marketing
“Jangan terlalu berkira untuk Marketing, naikkan budget marketing sedikit demi sedikit.”
”Marketing ibarat jantung. Tanpa jantung, bisnes juga tidak dapat bernyawa”
Fungsi utama pemasaran adalah untuk menarik pelanggan melalui penyampaian tentang nilai produk atau servis yang ditawarkan. Dalam dunia perniagaan, pemasaran atau Marketing tidak boleh dipisahkan. Tanpa pemasaran, tiadalah perniagaan yang menyerlah untuk orang ramai membuat pembelian dengan kita.
Harry Danny memastikan Harry Potter Cafe sentiasa berada di mata ramai dari masa ke semasa. Sebagai contoh, beliau telah mengadakan promosi pada Hari Malaysia dan menawarkan promosi 10% dengan setiap pembelian RM30 ke atas. Beliau juga menawarkan set-set kombo makanan yang menjimatkan pelanggan.
Sebagai usahawan, kita mahukan jualan yang banyak tetapi tidak mahu berbelanja untuk perniagaan sendiri. Secara logik, jika kita sendiri kedekut dengan perniagaan ,mengapa pula pelanggan mahu menghabiskan duit untuk kita?
Biografi Harry Danny
Harry Danny yang mempunyai Diploma in Mechanical Engineering, pernah bekerja dalam bidang yang sama namun selama 6 bulan sahaja.
Berasal dari Batu Ferringhi, Pulau Pinang, Harry Danny dibesarkan daripada keluarga yang sederhana dan berpindah ke Langkawi pada umur 2 tahun setelah bapa beliau ditawarkan bekerja di Hotel Sheraton, Langkawi.
Setelah 3 tahun, keluarga beliau pulang ke Pulau Pinang dan ayah beliau bermula dengan perniagaan perkhidmatan bas sekolah pada tahun 1995. Kemudian, bapa beliau mula membuka perniagaan lain iaitu sebuah chalet di Pantai Batu Feringghi.
Malang tidak berbau, chalet tersebut dirobohkan pada tahun 2014 kerana pemilik tanah mengambil semula tanah yang diberikan. Pada tahun yang sama juga, terbuka idea Harry Danny untuk membuka perniagaan makanan yang dinamakan HarryDanny by Harry Potter Cafe.
“Sangat mudah untuk kita mulakan bisnes tapi nak sustain bisnes itu yang susah. Cara yang saya ambil adalah saya pilih untuk bermentor. Lebih baik kita invest dalam berilmu dari kita terpaksa membayar yuran kebodohan.”
Pelaburan dalam ilmu adalah satu langkah yang berharga buat Harry Danny. Beliau kini lebih nampak jelas tentang tujuan perniagaan yang kini semakin meningkat tinggi dari hasil jualan beliau.