Terkenal dengan Tomyam dalam Kelapa, FM Tomyam House menyediakan makanan yang lazat membuatkan pelanggan rasa seperti berada di Bangkok. Tidak perlu berjalan jauh, di Ipoh sahaja sudah memadai untuk mereka yang inginkan rasa seafood yang segar.
Ahmad Faisal B Abdul Jalal, selepas terinspirasi melihat abang dan kakak ipar beliau berniaga, menyimpan hasrat untuk menceburi bidang perniagaan. Beliau yang bekerja di restoran ayah ketika itu menggunakan pengalaman selama 4 tahun untuk menubuhkan perniagaan sendiri. Beliau juga mengambil resipi asli Tomyam Poktek Kelapa Ori daripada ayah dan ibu yang berniaga sejak tahun 1992 ke restoran beliau sebagai menu istimewa.
Permulaan dalam bidang F&B bersama isteri mengajar beliau tentang proses berniaga dan dari situlah beliau sedar untuk mencari seseorang menjadi mentor kepada beliau.
Dahulu hanya terfikir untuk berniaga secara kecil-kecilan sahaja. Kini, beliau mempunyai 3 department, 4 key leaders dan 22 orang team kesemuanya. Beliau juga telah mencapai hasil jualan sebanyak RM 1.5 Juta pada tahun 2023.
1.W dalam P.OW.ER
“Kita kaji lokasi, kita tengok apa yang orang suka. Kena faham dulu apa yang kita nak bagi, ada tak orang akan sambut.”
Faisal, yang pernah membuka restoran pada tahun 2011-2016, terpaksa menutup bisnes kerana diberikan notis oleh pihak berkuasa tempatan untuk kosongkan lot atas alasan berniaga menggunakan lesen orang lain.
Belajar dari kesilapan, beliau bangkit semula pada tahun 2020 dan membuka restoran baru di lokasi yang berbeza. Menggunakan Formula P.O.W.E.R dalam bisnes, Faisal menekankan huruf ‘W’ yang merujuk kepada wilayah di mana bisnes perlu kuasai sesuatu lokasi untuk menarik pelanggan kepada servis mereka. Kaji dulu kawasan, barulah kita dapat tahu lebih tentang potensi pelanggan.
Dengan info yang beliau ada, Faisal menyesuaikan menu di restoran dengan harga berpatutan sambil mempunyai visi untuk kempen-kempen yang bakal dilakukan untuk menarik pelanggan datang ke restoran beliau. Beliau juga mengambil keputusan membuka restoran di kawasan berdekatan perumahan.
Dengan kawasan yang luas juga, pelanggan mendapat akses mudah untuk meletakkan kereta walaupun restoran berhampiran jalan besar. Kini, restoran beliau bukan sahaja dikerumuni orang ramai, malah pelanggan juga kadang kala perlu membuat ‘booking’ sebelum datang untuk mendapat tempat duduk.
2. Penggunaan bahasa mengikut lokal
“Nak lagi standout, kita buat bisnes macam berada di luar negeri. Dalam masa sama, kita masih terapkan budaya lokal. Lagi senang untuk orang terima.”
Merangkumi pelbagai negeri, Malaysia dipenuhi dengan dialek atau loghat yang berbeza. Faktor ini menjadi kekuatan kepada FM Tomyam House dalam mendekatkan jenama dengan pelanggan.
Menggunakan media sosial sebagai strategi pemasaran, bisnes ini menggunakan kekuatan dialek ‘Kelantan’. Seperti di Facebook di mana FM Tomyam House menghasilkan ‘copywriting’ mengikut bahasa orang Kelantan untuk menggayakan bisnes ini sebagai lauk orang Kelantan yang juga mempunyai persamaan dengan orang Thailand.
Sebagai contoh, penceritaan suasana di restoran yang dipaparkan di Facebook menggunakan bahasa Kelantan seperti ‘sek’ dan ‘abey’.
Walaupun menjadikan makanan Thai sebagai makanan utama, bisnes ini memberikan suasana yang masih memberi keselesaan kepada mereka sebagai warga Perak jadi ia tidak menjadi penghalang untuk pelanggan datang untuk menjamu selera bersama keluarga. Bisnes ini, walaupun menyediakan lauk berbeza daripada makanan lokal, masih menerapkan budaya lokal.
3. Mengupah ‘Influencer’ lokal di restoran
“Kita mula dari faktor kecil. Lagi ‘relatable’ seseorang influencer itu dengan orang lokal, lagi senang untuk kita tarik perhatian.”
Pelbagai bisnes kini mengupah ‘influencer’ untuk menaikkan jenama mereka di mata orang ramai. Namun, tidak ramai yang tahu untuk membuat pilihan yang tepat. Kadang kala, influencer yang diupah juga tidak kena dengan jenama yang dipromosikan.
Berlainan dengan FM Tomyam House, Ahmad Faisal mengambil peluang dalam mengajak influencer lokal, Pak Wee yang fasih berbahasa Melayu meskipun beliau adalah berbangsa Cina. Pak Wee juga fasih dalam loghat ‘Perak’ di mana ramai warga Perak suka menonton telatah beliau di media sosial.
Pak Wee yang suka mengunjungi kedai makan dipanggil untuk membuat ‘review’ makanan di FM Tomyam House bagi mempengaruhi lagi orang Perak untuk datang ke restoran ini. Ini strategi bijak kerana sebelum sebuah bisnes ingin menguasai kawasan di luar, mereka perlu mempunyai kuasa dalam memegang sebuah lokasi sehingga bisnes menjadi stabil.
Sedikit demi sedikit, perkembangan bisnes semakin dikenali ramai. Ia menjadi aspiras buat i Ahmad Faisal untuk membuka cawangan baru pada masa hadapan sekiranya permintaan semakin ramai.
Biografi Ahmad Faisal
Ahmad Faisal sewaktu kecil, dijaga oleh nenek sehingga umur 5 tahun kerana diserahkan oleh ibu dan ayah yang ketika itu menentang penjajahan Siam ke atas Patani pada awal 90-an. Selepas kerajaan Siam menjalankan operasi membanteras pejuang-pejuang Patani, ayah dan ibu terpaksa berundur ke Malaysia atas bantuan suaka politik.
Tidak kesampaian untuk menyambung belajar selepas tamat sekolah menengah, Ahmad Faisal pernah berniaga pelbagai produk termasuk baju jersey bola, penjualan topup prepaid serta minyak wangi yang dikenali sebagai ‘One Drop Perfume’.
Penjualan yang tidak berkekal lama itu menyebabkan beliau membuat keputusan untuk bekerja di restoran ayah di Negeri Sembilan selama 4 tahun. Beliau kemudian pindah ke Perak selepas berkahwin bersama isteri pada tahun 2011. Tahun yang sama juga bermula perjalanan beliau dalam mengembangkan bisnes yang dibangunkan bersama isteri.