Flower Frenzie, sebuah perniagaan yang mengkhususkan dalam perkhidmatan penggubahan dan reka bentuk bunga, terutamanya untuk majlis perkahwinan, majlis rasmi korporat dan juga majlis persendirian. Flower Frenzie juga terkenal dengan penciptaan penggubahan bunga yang memukau, meninggalkan memori indah dan berkekalan pada kalangan tetamu.
Penggubahan bunga yang dihasilkan oleh Flower Frenzie bukan hanya sekadar seni, tetapi juga dapat membantu pelanggan merealisasikan impian mereka untuk meraikan momen yang berharga lebih-lebih lagi pada hari perkahwinan mereka. Zelda Raha Sulaiman, Pengarah Urusan Flower Frenzie, telah memacu syarikat ini kepada tahap yang cemerlang dan di bawah kepemimpinan beliau, Flower Frenzie telah berkembang dengan peningkatan jualan yang ketara.
Selain menyediakan perkhidmatan penggubahan bunga, Flower Frenzie juga turut mempunyai kelas menggubah bunga khusus kepada mereka yang yang berminat untuk belajar seni gubahan ini. Inisiatif ini juga memperlihatkan komitmen Flower Frenzie dalam berkongsi pengetahuan dan kepakaran mereka dengan masyarakat. Keseluruhannya, Flower Frenzie bukan hanya menghasilkan penggubahan bunga yang luar biasa, tetapi juga menjadi pusat pembelajaran untuk pencinta seni gubahan bunga ini.
Kini, hasil jualan Flower Frenzie telah mencatatkan sebanyak hampir RM 2 Juta pada tahun 2023.
Flower Frenzie kini mempunyai ibu pejabat di tengah bandar Kuala Lumpur dan mempunyai bebrapa team mereka di beberapa hotel bertaraf lima bintang di sekitar bandar Kuala Lumpur. Sejak bermula, Flower Frenzie hanya mempunyai 2 pekerja. Kini Flower Frenzie telah berkembang dan mempunyai 18 orang pekerja.
1. Sentiasa bersama team
“Kita memang kena ada team. Sehebat mana pun kita, kalau kita nak buat sorang-sorang memang tak boleh. Kita kena ada team to help run the business and grow together.”
Sebagai usahawan, huddle bersama pasukan (team) adalah penting kerana ia membina kesatuan dan semangat kerja yang berkesan. Sesi huddle memberi peluang kepada ahli pasukan untuk berkongsi idea dan memahami peranan masing-masing dalam mencapai objektif perniagaan.
Huddle juga membolehkan pemimpin perniagaan menyampaikan arahan, dan menyusun strategi dengan lebih berkesan. Komunikasi langsung membantu mengatasi sebarang kekeliruan, memastikan semua anggota pasukan mempunyai visi yang jelas mengenai langkah seterusnya.
Sewaktu Zelda dan team beliau mengalami kesukaran semasa pandemik covid-19 pada tahun 2020, perkara betul yang beliau buat adalah dengan mengadakan zoom meeting untuk sentiasa memastikan team berada dalam keadaan yang baik. Hasilnya, ia telah menguatkan lagi hubungan antara beliau dan team dan juga sesama mereka.
2. WhatsApp Business
WhatsApp Business membawa faedah yang ketara dalam memudahkan komunikasi antara perniagaan dan pelanggan. Melalui platform ini, perniagaan dapat menyediakan saluran komunikasi yang lebih cepat dan mesra, membolehkan pelanggan bertanya, membuat pesanan, dan mendapatkan maklum balas dengan mudah. Kemudahan ciri-ciri yang ada di WhatsApp seperti profil perniagaan yang terperinci memudahkan lagi pelanggan mengenali sesuatu perniagaan dengan lebih lanjut dan mendapatkan maklumat yang diperlukan.
Penggunaan pesanan automatik dan resit dalam WhatsApp Business juga memberikan kemudahan tambahan, menyederhanakan proses jual beli dan membantu pelanggan memantau transaksi mereka. Selain itu, pemberitahuan atau pengumuman produk baru dan promosi khas melalui WhatsApp dapat meningkatkan interaksi dan memastikan pelanggan sentiasa peka dengan tawaran terkini.
WhatsApp Business juga membolehkan sesuatu perniagaan untuk memberikan perkhidmatan pelanggan yang lebih baik dengan menyediakan sokongan langsung dan menjawab pertanyaan pelanggan dengan lebih pantas. Komunikasi dua hala yang mudah ini juga memberikan ruang kepada pelanggan untuk memberikan maklum balas, sekaligus menyumbang kepada pembinaan hubungan yang lebih kukuh.
3. Servis penambahan
Terdapat beberapa sebab pentingnya untuk menyediakan servis tambahan seperti kelas menggubah bunga dalam perniagaan bisnes bunga kerana inisiatif ini dapat memberikan nilai tambah kepada pelanggan yang merangkumi pelbagai manfaat. Pertama, kelas gubahan bunga ini dapat memperluaskan kepelbagaian perkhidmatan yang ditawarkan, menjadikan perniagaan lebih menarik dan komprehensif.
Selain itu, kelas ini juga menjadi peluang untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan kepada lebih ramai orang. Pelanggan yang mengambil kelas gubahan bunga juga berkemungkinan akan menjadi pelanggan setia yang menggunakan perkhidmatan gubahan bunga syarikat tersebut pada masa hadapan, dan tidak dinafikan juga boleh berpotensi untuk bekerja dengan Flower Frenzie.
Servis tambahan ini juga dapat mewujudkan hubungan yang lebih erat dengan pelanggan dan membangunkan komuniti yang berkongsi minat yang sama. Mempelajari seni menggubah bunga juga dapat meningkatkan interaksi sosial serta memberi peluang untuk berkongsi pengalaman yang positif.
Inisiatif ini menggambarkan komitmen kepada pembelajaran dan kesediaan untuk memberikan pengalaman yang lebih holistik kepada pelanggan, mencipta kelebihan kompetitif dalam industri bisnes bunga.
Biografi Zelda Raha Sulaiman
Zelda Raha, berasal dari Kuching, Sarawak dan telah berpindah ke Kuala Lumpur semenjak kecil. Ayahnya telah berkhidmat dengan kerajaan dan ibunya seorang surirumah tangga. Zelda telah bersekolah di sebuah sekolah kebangsaan di Kuala Lumpur dan kemudiannya telah melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di salah sebuah universiti tempatan di utara Semenanjung Malaysia, di dalam jurusan Perakaunan. Beliau telah lulus Ijazah beliau dengan kepujian dan seterusnya telah bertugas di salah sebuah firma audit sebagai seorang akauntan dan juruaudit di Kuala Lumpur.
Zelda telah mengalami perubahan hidup apabila arwah ibu beliau diserang kanser sekali lagi. Mengambil keputusan berani untuk mengundurkan diri dari mencapai cita-cita yang lebih tinggi di Firma Audit tersebut, dan demi memberi tumpuan kepada ibu yang tersayang, Zelda menyedari keperluan untuk mencari sumber pendapatan.
Peluang datang apabila saudara dari keluarga suaminya memutuskan untuk melepaskan syarikat bunga dimiliki beliau. Zelda melihat ini sebagai peluang untuk mengambil alih dan menjadikannya fokus utama dalam membaik pulih dan menguruskan perniagaan tersebut. Keputusan ini, bagi beliau, adalah satu langkah yang bermakna dalam menyeimbangkan tanggungjawab keluarga dan mencari pendapatan yang stabil.
Pada awalnya, Zelda tidak memiliki pengetahuan tentang perniagaan bunga, para pembekal bunga mahupun gubahan bunga, maka beliau bermula dari bawah. Dengan mengambil inisiatif peribadi, beliau berusaha sendiri untuk mendapatkan bunga dari pembekal, membuat lawatan ke Petaling Street, dan menguruskan proses pembelian bunga. Sudah menjadi rutin beliau pada setiap malam Jumaat untuk menguruskan pembelian bunga-bunga segar dari pembekal yang diperoleh dari Tanah Tinggi Cameron juga dari luar negara supaya lebih mudah untuk digunakan apabila diperlukan kelak.
Inisiatif dan tekad Zelda untuk memulakan bisnes bunga menunjukkan keberanian dan keazaman beliau yang tinggi untuk menyokong keluarga dan team dan mencapai keseimbangan antara kehidupan perniagaan dan tanggungjawab keluarga. Ini mencerminkan semangat keusahawanan yang kuat dalam mengejar impian sambil memenuhi tanggungjawab peribadi.