FAIZA MARKETING SDN BHD (Najwa Binti Abu Bakar)

Bila ditanya pada para wanita, sudah tentunya mereka tahu tentang Rempah Faiza yang selalu kita nampak di pasaraya berdekatan. FAIZA MARKETING SDN. BHD. merupakan sebuah syarikat yang mengeluarkan produk-produk rempah ratus dan garam dibawah jenama terkenal Faiza.


Produk-produk keluaran Faiza dikilangkan di kilang yang mempunyai pensijilan HACCP, HALAL, MESTI, ISO 9001:2015 dan juga GREEN 5S. Produk mereka diproses dengan menggunakan 100% ramuan semulajadi tanpa ada bahan pengawet dan pewarna tiruan. Dengan pengedaran yang meluas, produk Faiza boleh didapati di pasaraya pasaraya besar dan kedai-kedai runcit.

NAJWA : SUATU MASA DAHULU


Najwa Binti Abu Bakar atau lebih senang dengan panggilan Najwa dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga yang sederhana sahaja. Ayah beliau merupakan seorang kakitangan kerajaan di mana beliau memegang jawatan sebagai Hakim di Mahkamah Syariah di Johor.


Ayah Najwa melanjutkan pelajaran di Tanah Arab iaitu Mesir dan dari situlah bermulanya detik di mana ibu bapa beliau berkenalan. Ibu Najwa berketurunan Arab dan berasal dari Kaherah, Mesir. Setelah tamat belajar, ibu bapa beliau berkahwin dan berpindah ke tanah air Malaysia.


Sejak beliau remaja lagi, ibu Najwa sudah mendedahkan beliau dalam dunia perniagaan. Setiap kali cuti sekolah yang panjang, Najwa akan mengikuti ibunya ke kedai di sekitar Johor dengan menaiki kereta untuk menjual rempah dan barang keperluan runcit yang lain.


“Saya mempunyai 6 adik-beradik dan saya merupakan anak ke 4. Saya seorang sahaja daripada adik-beradik saya yang tidak tamatkan pengajian sehingga ke ijazah sarjana muda. Saya lebih seronok untuk bekerja dan mendapat wang daripada melanjutkan pelajaran sehingga ke ijazah. Semasa saya belajar pun saya suka buat kerja sambilan sebagai jurujual produk kecantikan.”


“Pada tahun 1993 saya bekerja sambil belajar sebagai seorang jurujual produk kecantikan. Pada tahun 1996, ummi telah memperolehi lesen pemborong beras di Johor. Oleh itu saya memutuskan untuk berhenti kerja menjual produk kecantikan dan mula membantu ummi sebagai jurujual beras di Johor. Kemudian saya dinaikkan pangkat sebagai Eksekutif Jualan pada tahun 1997. Selain daripada bidang jualan, saya juga pernah menyandang jawatan sebagai Pengurus di Jabatan Pentadbiran dan Sumber Manusia pada tahun 2000 hingga 2002.”


REMPAH BUNGA RAYA


Pulang sahaja ke Malaysia, ibu Najwa mula belajar berniaga dari rumah dengan bermodalkan RM4 sahaja. Sejarah awal terciptanya rempah Faiza adalah disebabkan oleh minat ibu Najwa dalam memasak dan dorongan daripada ayahnya yang suka makan lauk kari membuatkan ibu beliau belajar cara untuk menyediakan ramuan rempah kari sendiri.

Rempah Faiza yang pada awalnya digiling secara manual dan dibungkus dengan berat 25 gram setiap satu. Rempah buatan sendiri itu kemudiannya dipasarkan. Apabila rempah tersebut mendapat sambutan, ibu Najwa mula menggunakan kaedah mengisar dengan proses mengadun yang lebih teliti bermula dengan rempah dijemur, dikeringkan dan digoreng terlebih dahulu. Pada masa itu, iaitu di sekitar awal tahun 70-an rempah ini dibungkus dan dikenali dengan jenama Bunga Raya.


“Bila perniagaan semakin berkembang, ummi telah memutuskan untuk mengasingkan perniagaan beliau kepada beberapa buah syarikat iaitu Syarikat Faiza Sdn. Bhd. yang fokus kepada Beras dan Faiza Marketing fokus kepada Rempah.”


PENGLIBATAN NAJWA DALAM SYARIKAT


Minat Najwa dalam perniagaan telah diterapkan oleh ibu beliau sejak dari kecil lagi. Menurut Najwa, beliau dan adik-beradiknya telah dilatih untuk membantu keluarga berniaga secara kecil-kecilan dari rumah di mana mereka diajar cara untuk mengendalikan rempah ratus dan terlibat dalam urusan pembungkusan.


“Ayah dan ummi mengasuh kami agar kami berdikari bagi mendapat apa yang kami mahukan, walaupun mereka mampu untuk menyediakannya. Dari situ timbul minat saya untuk berniaga kerana berasa seronok dapat berjumpa dan bergaul dengan orang lain di samping mendapat hasil keuntungan untuk memenuhi simpanan masa depan dan membeli apa yang saya inginkan.”


“Saya juga ingin menyambung legasi atau perniagaan yang telah ummi saya mulakan daripada tahun 1968 dan ingin membantu menaikkan ekonomi orang Islam supaya kami dapat bantu ramai lagi orang Islam. Saya lihat juga pada ketika itu tiada syarikat bumiputera yang mempunyai sistem pengedaran yang bagus seperti Nestle. Saya ingin Faiza Marketing mempunyai sistem pengedaran yang bagus dan produk yang berkualiti.”


Dengan itu, bermulalah perjalanan penglibatan Najwa dalam syarikat Faiza. Beliau diberi kepercayaan untuk mengetuai Jabatan Kawalan Kredit sebagai Ketua Jabatan di syarikat Faiza Sdn. Bhd. pada tahun 2003 hingga 2009. Beliau banyak belajar tentang selok-belok pengurusan perniagaan. Pada tahun 2003 itu juga beliau mendapat jawatan sebagai Pengarah Urusan di Faiza Marketing Sdn. Bhd.


“Di sinilah bermulanya perjalanan saya sebagai Pengarah Urusan dan sebagai seorang usahawan di Faiza Marketing Sdn. Bhd. dan saya diberi kepercayaan oleh ummi untuk menerajui Rempah Faiza dan memikul semua tanggungjawab yang ada.”


“Keadaan agak tegang pada waktu itu dan saya akui saya banyak melakukan kesilapan dan masih dalam proses untuk belajar ilmu pengurusan lagi. Saya menyahut cabaran dan amanah yang telah diberikan oleh ummi untuk menguruskan Faiza Marketing iaitu kilang rempah dan meneruskan legasi dan perniagaan yang telah ummi mulakan. Dengan pengalaman hampir 10 tahun di bidang pekerjaan saya gunakan dan cuba yang terbaik.”

“Faiza Marketing bergerak secara berdikari dengan nilai jualan sebanyak RM800,000 setahun pada ketika itu. Walaubagaimanapun ummi tetap memantau apa jua tindakan yang telah saya lakukan. Saya banyak meminta nasihat dan tunjuk ajar daripada ummi.”


KILANG RM14 JUTA


Pada awal penglibatan Najwa dalam perniagaan, beliau selalu ada masalah komunikasi, kurang mahir untuk menguruskan team dan beliau tidak ada team yang kuat untuk menyokong dari segi jualan. Najwa tidak ada bimbingan dan tidak jelas dengan visi dan misi syarikat yang menyebabkan Najwa kurang yakin dalam membuat keputusan.


Tanpa perancangan yang teliti, Najwa bertindak membuat pinjaman dan melabur untuk membeli lot tanah di Bandar Baru Enstek dan membina sebuah kilang berskala besar dengan nilai sebanyak lebih RM14,000,000. Najwa membuat pembiayaan perniagaan MARA sebanyak RM3,000,000 ditambah dengan modal sendiri, kilang Faiza siap dibina pada tahun 2014 dan mereka pindah secara rasmi pada tahun 2015.


“Apabila kami mula beroperasi di premis baru, baru saya sedar saiz order dan permintaan produk kami tidak mampu menampung kos operasi dan hutang-hutang hasil dari pinjaman yang saya ambil. Ditambah lagi dengan pembelian bahan mentah secara besar-besaran hanya menambah senarai hutang kami.”


Pada tahun 2015, Faiza Marketing melancarkan produk baru iaitu kuah masakan. Akibat dari tiada perancangan yang teliti dan pelan pemasaran yang betul, produk ini tidak mendapat sambutan dan jualan yang sangat rendah dan mereka kerugian sebanyak RM300,000.


“Kami hanya mampu mencapai nilai jualan maksimum RM8,500,000 setahun dengan purata RM700,000 sahaja sebulan yang majoritinya dibantu oleh agen atau pengedar sahaja. Dengan pendapatan sebegitu, kami hanya mampu membayar gaji pekerja dan beberapa bayaran mandatori sahaja. Hutang MARA, hutanghutang pembekal dan kontraktor kilang kami tidak mampu bayar.”


“Saya terpaksa menebalkan muka naik turun pejabat pembekal, kontraktor, bank dan dengan keluarga oleh kerana hutang. Disebabkan hutang juga hubungan saya dengan ummi dan keluarga renggang. Keluarga amat malu dengan saya kerana tidak pandai menguruskan kewangan dan hutang syarikat sehingga nama saya dan disenarai hitam oleh agensi kerajaan dan bank. Saya terpaksa mengeluarkan semua wang simpanan saya dan tidak cukup dengan itu saya juga terpaksa meminjam wang daripada suami saya.”


Menurut Najwa, tidak terkira banyaknya surat rayuan yang beliau perlu buat untuk mendapatkan sedikit ruang bernafas bagi syarikatnya. Beliau perlu memohon timbang rasa para pemiutang untuk memberi mereka masa untuk melangsaikan hutang-hutang yang tertunggak.


“Alhamdulillah ada juga para pembekal yang telah lama bekerjasama dengan kami faham dengan keadaan kami dan yakin kami mampu membayar hutang mereka sedikit demi sedikit.”


TITANIUM RICHWORKS


Najwa sedar beliau tidak mempunyai ilmu yang cukup dalam bidang perniagaan dan pengurusan kerana beliau tiada MenThor dan bimbingan yang kukuh untuk membantu beliau membuat keputusan yang betul tanpa melibatkan kerugian yang besar.


“Saya juga tidak mempunyai internal sales team yang kuat dan Senior Leadership Team (SLT) yang agresif. Sales team saya hanya membuat jualan tanpa ilmu dan data yang betul. Tiada strategi jualan dan tiada pantauan dari SLT.”


“Jadi nilai jualan syarikat tidak meningkat dan hanya berada pada takuk yang cukupcukup makan sahaja. Oleh kerana tiada SLT yang agresif dan mampan, pengurusan syarikat juga kucar-kacir dan tidak sistematik. Semua keputusan dibuat secara terburu-buru tanpa kajian yang mendalam dan banyak kesilapan yang terpaksa kami tanggung.”


Kemuncak pada tahun 2022, Najwa mula rasa sampai bila mereka ingin meneruskan perniagaan dengan keadaan seperti itu dengan nilai jualan yang cukupcukup makan sahaja dan mereka tidak dapat memberikan ganjaran kepada pekerjapekerja. Sejak dari itu, Najwa tekad untuk menuntut ilmu perniagaan dengan Datuk Wira Dr Azizan Osman dan RichWorks.


“Saya mendengar nama RichWorks daripada rakan-rakan SME juga. Dari situ saya mula minat dan ingin tahu dengan lebih lanjut lagi apa yang RichWorks boleh bantu saya. Saya google dan buat kajian berkenaan RichWorks dengan membaca testimoni – testimoni yang ada di internet.”

“Saya mengambil risiko untuk join Titanium Circle di bawah bimbingan Datuk Wira walaupun pada masa itu nilai jualan syarikat masih tidak memberangsangkan dan saya juga terpaksa mengenepikan gaji saya sendiri untuk digunakan bagi membiayai yuran keahlian bersama Richworks.”


“Saya mula mendaftar sebagai ahli Titanium Circle pada bulan Mac tahun 2022. Dari situ saya mula mengikuti semua program-program yang dianjurkan oleh RichWorks. Saya mula sedar saya perlu lakukan sesuatu untuk improve bisnes dan pengetahuan saya, banyak lagi peluang dan ruang untuk Faiza Marketing Sdn. Bhd. berkembang.”


FAIZA YANG BAHARU


Selepas dibimbing oleh RichWorks, Najwa belajar bahawa dalam syarikat RichWorks sendiri amat mementingkan semangat kerjasama dan team building. Jadi beliau bawa bersama-sama SLT Faiza Marketing untuk belajar ilmu kepimpinan dan pemikiran kritikal supaya mereka mudah align dengan beliau.


“Perkara pertama yang saya buat adalah saya buang ego saya. Saya kosongkan minda dan bersedia untuk belajar benda baru dan terima segala kritikan. Saya juga mula betulkan team yang ada. Saya kuatkan internal sales team dan Senior Leadership Team saya. Saya hantar mereka juga belajar dengan RichWorks supaya mereka faham dan boleh align dengan saya.”


“Saya jelaskan visi, misi dan matlamat syarikat kepada semua staf supaya mereka faham arah tuju syarikat dan mereka boleh align dengan saya. Ini penting untuk pastikan kami semua menuju ke arah visi dan misi yang sama menjadi salah seorang dari 1000 usahawan yang dimaksudkan.”


FAIZA MARKETING’S BREAKTHROUGH


Hasil dari bimbingan RichWorks dan sokongan daripada SLT beliau, Najwa sudah boleh membahagikan tugas-tugas beliau kepada mereka. Perkara ini membantu Najwa untuk lebih fokus dalam kelas yang disediakan oleh RichWorks.


“Saya tak boleh nafikan saya masih ada lagi rasa up and down dalam menjalani kehidupan seharian. Apa yang saya boleh lakukan untuk mengekalkan momentum saya dengan memastikan saya sentiasa berada di dalam circle yang positif. Apabila saya berasa ragu, saya akan cepat-cepat meminta pandangan dan bimbingan daripada CAM RichWorks supaya saya kekal fokus dan dalam landasan yang betul.”


“Selain itu saya berpegang dengan prinsip, ‘Do your best and Allah will do the rest’. Apa pun yang kita lakukan dalam hidup kita mesti buat sehabis baik dan trust the process.”


Selama ini hasil jualan syarikat hanya bergantung kepada agen luar sahaja yang mana menyumbang 80% daripada hasil keseluruhan jualan. Impak menyertai RichWorks di tahun pertama telah menunjukkan peningkatan jualan Internal Sales team dari RM3,600,000 setahun kepada RM8,400,000 setahun.


Internal sales Faiza Marketing juga semakin tersusun serta lebih efisien dalam membuat jualan dan servis yang konsisten dan menyeluruh. Impak kepada tahap kewangan Faiza Marketing Sdn. Bhd. pula ialah, aliran tunai juga lebih stabil dan syarikat peroleh margin keuntungan yang lebih tinggi.


“Kami juga mampu membayar hutang-hutang lama dengan konsisten dan secara berjadual. Dengan pengurusan kewangan yang lebih baik, nama Faiza Marketing Sdn. Bhd. berjaya dikeluarkan dari senarai blacklist CCRIS oleh Bank Negara Malaysia.”


NAJWA DAN FAIZA MARKETING


Perniagaan keluarga yang diuruskan bukanlah mudah seperti yang disangka. Sudah semestinya banyak jangkaan yang besar dari keluarga supaya Najwa boleh membawa perniagaan keluarga ini menjadi lebih baik.


Sikap tidak mudah mengalah Najwa membuahkan hasil apabila syarikat mempunyai pertambahan bilangan pelanggan dari 2000 akaun kepada 3000 akaun sekaligus meluaskan lagi liputan kawasan jualan dan pengedaran.

Artikel terbaru

Leave a Reply