Sebuah klinik di Batu Pahat Johor, Klinik Kurnia yang diuruskan oleh Dr. Mohd Andalas Putra Bin Ismail diambil alih oleh beliaupada tahun 2016. Klinik ini berpendirian dalam membantu masyarakat dalam mengetahui status kesihatan mereka supaya kekal sihat, cergas, aktif serta dapat tidur lena di malam hari.
Dr Mohd Andalas sendiri mempunyai kepakaran yang meluas dalam bidang Rawatan Konservatif dan Pembedahan Kecil seperti Lipoma, Sebaceous Cyst, bisul, cekam, berkhatan dan sebagainya.
Pendekatan klinik ini lebih kepada datang ke orang awam terutama yang takut untuk datang ke klinik selain menawarkan rawatan perubatan biasa di klinik itu sendiri. Dari surau, ke balai raya hingga ke kampung, orang ramai akan terus mendapat keputusan kesihatan selepas pemeriksaan dilakukan ke atas mereka.
Hasil jualan Dr Mohd Andalas sejak tahun 2019 semakin naik dan melonjak tinggi dengan cepat. Setakat Ogos 2023, hasil jualan beliau mencatatkan sebanyak RM 1.9 Juta.
- Facebook Live selama 44 hari
“Saya buat live selama empat puluh empat hari tapi last sekali saya buat sampai tiga empat bulan, daripada situ sale naik daripada sebelum itu RM10 – RM12 ribu,”
“Bulan Disember 2018 dah naik rm32 ribu. Masuk Januari 2019 RM 40, RM 50, RM 60 ribu, dia terus naik. Alhamdulillah daripada 2018 itu sales saya cuma RM240 ribu, 2019 dia jadi RM 700 ribu lebih setahun tu”
Facebook Live yang pernah dan masih menjadi sensasi yang diguna pakai oleh orang ramai tidak kira selebriti atau orang biasa malah perniagaan menunjukkan bahan-bahan atau content yang authentic kepada penonton. Paling penting adalah konsistensi yang diberi oleh perniagaan itu sendiri supaya orang lebih nampak dan kenal.
Seperti waktu operasi kedai yang perlu dibuka sekurang-kurangnya 5 hari dalam seminggu, Facebook Live juga mempunyai waktu puncak tersendiri dan perlu dilakukan secara terus menerus agar perniagaan itu dapat berinteraksi bersama prospek atau pelanggan. Mereka boleh memberi komen untuk bertanya tentang produk atau servis yang ditawarkan, membuatkan mereka lebih yakin dan menjadi penonton setia perniagaan itu.
Menjadikan Facebook Live sebagai sumber menarik pelanggan, inti yang dapat kita ambil daripada Dr Mohd Andalas adalah konsistensi yang dilakukan. Akan sentiasa adanya media sosial atau platform yang menjadi sensasi terbaru tetapi sekiranya kita tidak mengambil peluang, tidaklah terbukanya kejayaan tersebut dalam perniagaan yang seorang usahawan itu impikan.
- Fikiran luar kotak mengikut masalah
“Yang mana konsep dekat klinik ni kebanyakan doktor-doktor berfikir, ‘sekarang ni pesakit akan datang pada klinik.’ Itu yang dia orang punya itu that is a kesilapan lah. Even kita buat marketing pun kita nak pesakit datang ke klinik kita
“Apa yang kita buat adalah untuk masyarakat tahu status kesihatan. Kita pergi ke masyarakat, kita tak buat masyarakat itu datang ke kita. Itu benda paling utama yang kita buat yang mana kita menawarkan servis kita pergi ke tempat orang terutama untuk masyarakat kita tak caj apa pun. Kita tak cabar kita buat for free”
Ada usahawan melihat masalah sebagai masalah. Ada usahawan melihat masalah sebagai peluang. Peluang yang sebenarnya meluaskan lagi perniagaan, tambah pula sekiranya perniagaan lain belum terfikir untuk menawarkan sesuatu baru.
Dr Mohd Andalas, tanpa berlengah, mencetuskan idea yang memudahkan pelanggan yang tidak dapat hadir ke klinik sedia ada dengan menghadirkan diri beliau ke rumah atau lokasi pelanggan. Daripada satu ke satu tempat, usaha lebih diberikan kepada pelanggan dan klinik beliau.
Sehingga sekarang, beliau masih menggunakan strategi yang sama menjadikan klinik ini dikenali dengan perkhidmatan yang mesra pelanggan.
- Membenarkan diri membuka minda
“Belajar untuk membetulkan diri dulu lah sebab niat waktu itu saya buat business untuk bayar hutang, untuk bayar ni, nak kaya. Tapi niat itu diperbetulkan jadi bila saya buat keputusan untuk belajar segalanya berubah. Segala berubah. Jadi first thing yang saya rasa apa yang betul saya buat adalah bila saya membenarkan diri saya membuka minda saya, saya tidak ego untuk terima atau belajar benda yang barulah. Sebab doktor ni kebanyakannya susah nak nak terima pendapat orang lain.”
Sebagai seorang usahawan, keterbukaan minda bukan sahaja memberikan perspektif baru malah menciptakan solusi yang lebih kreatif dan berinovasi. Dunia yang selalu berubah akan mengubah cara perniagaan itu beroperasi walaupun hanya sedikit. Namun, apakah yang seorang usahawan itu lakukan untuk menyesuaikan perniagaan dengan peredaran zaman?
Klinik Kurnia yang mencatatkan hasil jualan yang semakin meningkat membuktikan strategi dengan pelbagai cara dapat menarik kepercayaan pelanggan. Dr Mohd Andalas yang membenarkan diri beliau membuka minda untuk menerima ilmu baru telah membuka jalan kepada perniagaan beliau, membezakannya daripada klinik-klinik yang lain.
Dahulu, klinik dilihat sebagai sebuah kedai atau tempat untuk kita membuat pemeriksaan kesihatan. Siapa sangka kini klinik itu sendiri yang datang kepada sesiapa yang memerlukan?
Biografi Dr Mohd Andalas Putra Bin Ismail
Dr. Mohd Andalas Putra dilahirkan daripada keluarga yang sederhana oleh ayah beliau yang dulu bekerja di Jabatan Parit dan Tali Air, sekarang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) manakala ibu beliau pula bekerja di sebuah pejabat pos.
Sejak kecil berusia 5 hingga 11 tahun, beliau bersama 8 adik beradik yang lain tinggal bersama nenek dan ibu saudara untuk dijaga. Beliau kemudian memasuki sebuah sekolah asrama Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan menyambung pelajaran di Kolej Matrikulasi. Selepas tamat pengajian, beliau terus mengambil jurusan perubatan di Indonesia di bawah tajaan MARA. Hampir kesemua adik beradik beliau merupakan seorang doktor merealisasikan impian ibu tercinta.
Dr. Mohd Andalas pernah bekerja bersama hospital kerajaan dan swasta dalam bidang perubatan sebelum beliau diajak rakan untuk membuka klinik pada tahun 2012. Selama 4 tahun, keuntungan jualan tidak seperti yang diimpikan dan salah satu klinik daripada dua buah yang ada diambil alih sepenuhnya oleh Dr Mohd Andalas untuk beliau kembangkan walaupun hutang-hutang yang ada terpaksa ditanggung sendiri.
Ditambah dengan nama yang disenarai hitam, loan tidak boleh diambil, dan hutang yang tidak habis-habis, beliau hampir bankrup. Beliau mengambil masa 2 tahun untuk melangsaikan segala hutang yang ada. Kini, beliau bebas hutang dan memfokuskan untuk mengembangkan lagi klinik beliau ke tahap yang lebih tinggi.