Syarikat hartanah, Binazrin Group daripada Manjung, Perak ini adalah kumpulan syarikat yang menumpukan bisnes mereka kepada pembinaan rumah atas tanah. Syarikat ini dimulakan oleh Pengarah Urusan, Mohd Azrin Kamaruddin pada tahun 2011.
Kemampuan syarikat ini untuk menyediakan projek berkualiti tinggi memberi keyakinan kepada penduduk sekitar Perak untuk mendapat rumah yang diimpikan terutamanya di Manjung, Perak Tengah, dan Teluk Intan.
Kumpulan syarikat ini juga merupakan salah satu pembangun utama dalam pembangunan Tanah Melayu yang telah membangunkan banyak kawasan yang asalnya dipindahkan dan membantu membangunkan bandar-bandar kecil.
Dengan menyediakan pakej tanah lot banglo, pakej tanah dan banglo serta pakej bina rumah, reputasi mereka yang berjaya memberi kepuasan mengikut kehendak pelanggan telah meluaskan nama syarikat di sekitar Perak.
Sejak ditubuhkan, Binazrin Group telah memasarkan sebanyak lebih daripada 500 tanah lot. Pada tahun 2023, Binazrin Group telah pun meraih hasil jualan sebanyak RM 6.61 Juta.
1.Design ‘Melayu Moden’
“Setiap strategi berbalik kepada visi dan misi kita untuk membangunkan tanah rizab Melayu. Kita kena buat sesuatu yang orang lain belum buat lagi dan penuhi kehendak pasaran”
Sebut sahaja tentang pembinaan rumah, pasti reka bentuknya yang menjadi antara faktor pemilihan orang ramai dalam membuat pembelian. Di Binazrin Group, Mohd Azrin sentiasa memastikan beliau dapat memenuhi kehendak pelanggan.
Oleh itu, bisnes beliau menyediakan pelbagai reka bentuk untuk memberi peluang kepada mereka yang mempunyai citarasa yang berbeza. Antara reka bentuk yang menyerlah adalah seperti ‘Melayu Modern’ di mana konsep yang diaspirasikan adalah daripada unsur-unsur budaya Melayu namun tetap kelihatan moden.
Menggunakan konsep ini, Binazrin Group sebagai syarikat yang ingin membangunkan tanah rizab Melayu, bukan sahaja dapat membantu kaum ini, malah dapat mengukuhkan jenama mereka di mata orang sebagai syarikat yang meningkatkan kualiti hidup penduduk tempatan.
2.Booth ‘mall ke mall’
“Bila dah ada result, kita kena showcase dekat orang, tak boleh simpan. Kalau tidak, macam mana orang nak tahu bisnes kita wujud ke tak”
Hasil daripada projek-projek yang berjaya, Mohd Azrin memastikan agar ia dipaparkan kepada sasaran Binazrin Group iaitu penduduk di Perak. Memandangkan kawasan Manjung, Perak Tengah dan Teluk Intan semakin membangun dengan pusat membeli belah seperti Aeon Mall, lokasi ini menjadi tempat penduduk berkumpul terutamanya individu-individu yang sudah berkeluarga.
Dengan menyediakan ‘booth’ di pusat membeli-belah, Binazrin Group dapat mencapai audiens yang luas kepada mereka yang sedang mencari perkhidmatan pembinaan. Portfolio yang terhasil daripada projek-projek sebelumnya menjadi bukti untuk menarik pelanggan berinteraksi bersama team Binazrin Group yang menjalankan tugas.
Pentingnya pembukaan ‘booth’ dari mall ke mall juga adalah untuk mengumpul data pelanggan agar dapat menarik mereka untuk membeli walaupun bukan waktu sekarang. Pemasaran yang konsisten melalui data ini membentuk hubungan yang lebih kukuh dengan membina kepercayaan pelanggan yang berpotensi.
3.Hak pelanggan untuk ‘customize’
“Sebagai seorang usahawan, saya kena ambil kira apa yang pelanggan nak. Kita cuba adjust sebaik mungkin so ada win-win dekat situ”
Dalam bisnes, segalanya adalah tentang pelanggan. Tidak wujud pelanggan kepada sesuatu bisnes itu sekiranya sesuatu servis itu tidak memenuhi keperluan mereka.
Pentingnya bagi bisnes bina rumah atas tanah untuk membenarkan pelanggan membuat penyesuaian sendiri dalam reka bentuk rumah adalah kerana memberikan pengalaman yang lebih peribadi kepada mereka. Dengan memberi peluang untuk melakukan penyesuaian ini, ia memberi hak kebebasan untuk mereka membuat pilihan.
Tamat sahaja projek, team Binazrin Group mengambil peluang untuk menemu bual pelanggan dan memaparkannya di media sosial seperti di Facebook dan Instagram untuk meluaskan lagi pengetahuan orang ramai tentang pakej di mana prospek dapat membina rumah mengikut apa yang digambarkan sendiri.
Biografi Mohd Azrin Kamaruddin
Anak kelahiran Perak, Mohd Azrin Kamaruddin melalui zaman persekolahan menengah beliau di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Balik Pulau, Pulau Pinang. Menjadikan kejuruteraan sebagai bidang yang ingin diceburi, beliau menyambung pelajaran di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan memperoleh ijazah sarjana muda dalam kejuruteraan mekanikal.
Sebelum penubuhan Binazrin Group, Mohd Azrin pernah bekerja makan gaji sebagai seorang jurutera selama 2 tahun. Ingin meluaskan lagi pengetahuan, beliau membuat keputusan untuk menjadi seorang eksekutif jualan di sebuah syarikat hartanah. Dalam masa 2 tahun sahaja, beliau dinaikkan pangkat menjadi Pengurus Besar.
Selepas 3 tahun berlalu, Mohd Azrin memutuskan untuk menubuhkan bisnes hartanah sendiri selepas mendapat keyakinan daripada segala pengalaman yang dipelajari.
Dengan sikap optimistik yang ada pada Mohd Azrin, beliau ingin membantu lebih ramai penduduk tempatan untuk memiliki hartanah moden, selesa dan berpatutan. Beliau percaya bahawa ilmu itu penting untuk mengatasi apa segala cabaran yang melanda. Dari tindakan yang ada kalanya menuju kepada jatuh atau bangun usahawan itu jugalah yang membenarkan bisnes mereka untuk bergerak ke arah peningkatan.