Lompat dari satu bisnes ke satu bisnes, Abdullah Muhammad Bin Tajuddin akhirnya menemui bisnes yang mecetuskan sikap ingin tahu beliau terhadap industri agroternak yang melibatkan biri-biri.
Bermula dengan 27 ekor biri-biri yang diusahakan bersama adik, Bebiri Hostel Empire telah menjadi bisnes yang berkembang pesat dengan menggunakan sistem pawah moden. Pendekatan ini menarik minat mereka yang ingin menternak biri-biri tetapi tiada tanah, masa, kandang ternakan dan juga kepakaran dalam bidang ini.
Bermula daripada seekor, Bebiri Hostel Empire membantu pelanggan dalam membiak baka biri-biri pilihan yang menjadi hak milik mereka 100% mengikut pakej yang diambil. Bukan baka biasa-biasa, pelanggan boleh memilih untuk memiliki baka Santa Ines yang berasal dari Brazil atau Blackhead Dorper yang berasal dari Afrika.
Bisnes ini ditubuhkan pada 2021 dengan hanya mempunyai 2 staf termasuk Muhammad dan adik beliau. Dalam masa 2 tahun, beliau telah mengaplikasikan pelbagai strategi sehingga berjaya memiliki 14 staf pada tahun 2023.
Kini, Bebiri Hostel Empire mengusahakan 500 ekor biri-biri dan mencatatkan hasil jualan sebanyak RM 1.4 Juta pada tahun 2023.
1. Modul ‘pawah moden’
“Saya pegang pada motto inovasi dijadikan tiruvasi. Saya ambil sistem pawah lama dan jadikan dia bersesuaian dengan zaman sekarang”
Sistem pawah binatang merujuk kepada perbuatan seseorang mengupah orang lain untuk menternak binatang dengan membahagikan sama rata antara pemilik dan penternak. Menggunakan sistem ini sebagai modul bisnes, Muhammad mengambil pendekatan moden yang menyenangkan pelanggan tanpa perlu hadir ke kandang untuk memantau biri-biri mereka.
Pendekatan moden ini melibatkan sistem yang mempunyai rekod status kelahiran, pemakanan, berat, serta penjaga biri-biri yang kemudian disampaikan kepada pelanggan. Mereka juga mendapat layanan khas di mana mereka boleh melihat biri-biri yang diternak secara Live mengikut ‘tagging’ yang dilakukan untuk mengenal pasti pemilik haiwan tersebut.
Setakat ini, 95% pelanggan yang wujud adalah daripada online di serata Malaysia yang tidak pernah jejak ke kandang Bebiri Hostel Empire. Proses penternakan bermula selepas pelanggan membuat persetujuan melalui persetujuan yang dilakukan secara online.
Muhammad menunjukkan penyesuaian beliau dengan teknologi sekarang memberi manfaat dalam memudahkan pengurusan ternakan secara efisien.
2. Facebook Marketing ‘FBOOM’
“Kelebihan sebuah platform tu kita gunakan sepenuhnya sebelum cuba untuk kuasai platform lain. ”
Strategi pemasaran yang melibatkan penglihatan orang ramai memerlukan aktiviti secara agresif. Walaupun dikhususkan kepada pemasaran Facebook, strategi ini tetap relevan digunakan mengikut matlamat yang ingin dicapai.
Muhammad, menggunakan kelebihan Facebook iaitu Group dan Page, memastikan halaman Bebiri Hostel Empire di Facebook wujud untuk memperkenalkan bisnes beliau. Beliau kemudian ‘share’ konten yang dihasilkan di Page bisnes tersebut ke Group yang melibatkan komuniti yang sudah berkeluarga.
Komuniti ini menjadi sasaran kepada Muhammad kerana mereka sentiasa memikirkan aset untuk masa depan. Beliau sebagai usahawan yang ingin membantu orang ramai, menjadikan penternakan biri-biri sebagai tempat pelaburan yang mendatangkan hasil kepada mereka.
Tidak cukup dengan ‘sharing’ secara manual, Muhammad menggunakan software FBOOM yang membenarkan usahawan untuk membuat 300 ke atas pengiklanan secara pantas dalam masa sehari.
Dengan cara yang lebih efektif, beliau mencipta lebih daripada 10 akaun untuk membuat pemasaran yang dikhususkan kepada setiap negeri di Malaysia. Hasilnya, sehingga kini Bebiri Hostel Empire dikenali di serata Malaysia walaupun ternakan yang dilakukan adalah di Johor.
3. Konten ‘proses awal hingga akhir’
“Kita telus dengan customer, customer lagi percaya dengan kita. Kena rajin buat perkongsian jadi orang tahu kita ada kredibiliti”
Bermula dengan zero kos marketing, Muhammad menggunakan strategi pemasaran yang tidak perlu mengeluarkan wang banyak untuk menarik pelanggan akan bisnes beliau. Semuanya dilakukan sendiri di Facebook dan Instagram.
Beliau kemudian menjinakkan diri dengan Tiktok pada tahun 2022 dengan membuat Live setiap hari untuk menunjukkan aktiviti harian seorang penternak haiwan. Tidak sangka dapat menarik komuniti yang minat akan penternakan biri-biri ini, beliau meneruskan perkongsian setiap hari sehingga dapat mengupah 2 orang ‘host’ daripada hasil jualan yang 80% adalah daripada Tiktok.
Setiap hari, sudah menjadi kewajipan kepada Bebiri Hostel untuk menghasilkan konten sekurang-kurangnya 1 Live dan 1 konten kelahiran biri-biri. Kelahiran ini dipaparkan sekali dengan info-info biri-biri tersebut termasuk pemiliknya agar membina rasa teruja kepada pelanggan sedia ada serta viewers yang menonton.
Dari kelahiran sehingga biri-biri membesar dan beranak, bisnes ini menunjukkan proses penternakan yang dilakukan kepada pelanggan untuk menjamin ketelusan mereka. Kini, followers Bebiri Hostel Empire mempunyai 43 ribu orang serta Likes sebanyak 407 ribu.
Biografi Abdullah Muhammad
Asal dari Kampung Melayu Kangkar Pulai, Johor, Abdullah Muhammad dibesarkan oleh kedua ibu bapa kesayangan. Sebelum menjadi seorang suri rumah selepas berkahwin dengan ayah, ibu beliau merupakan seorang pembantu makmal dan ayah pula merupakan seorang pelukis pelan.
Muhammad menghabiskan pengajian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Muar dan menyambung Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Hj Mohd Said di Negeri Sembilan. Habis persekolahan, beliau mendapat tempat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk menyambung pengajian dalam jurusan Syariah dan Muamalat bagi Ijazah Sarjana Muda.
Sebelum mengorak langkah perjalanan hidup menjadi seorang usahawan, beliau pernah bekerja selama 5 tahun di Pusat Pungutan Zakat di Labuan.
Bengang kerana tahu boleh mencapai lebih lagi dari apa yang ada pada waktu itu, terbukanya hati beliau untuk membuat bisnes. Bermula dengan bermain saham, beliau terkapai-kapai dalam bidang tersebut kerana tidak mempunyai mentor untuk memberi panduan sehingga berhutang dengan orang.
Lari pula ke bisnes menjadi ejen penapis air Cuckoo, usaha beliau tidak dilepas pandang. Beliau dinaiktaraf menjadi Manager dalam masa 5 bulan. Selama menjadi Manager, beliau masih dikelilingi hutang yang menjadi penyebab beliau tertekan sehingga rasa ingin bunuh diri.
Cadangan ibu mertua untuk menjual serunding halia berjaya menjadi bisnes yang berkembang sehingga dapat mengupah ejen di Brunei. Namun, bisnes yang dikenali sebagai Wak Ginger itu tidak bertahan lama selepas bermulanya wabak covid-19 yang memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pencarian untuk mencari bisnes yang sesuai berakhir setelah beliau diperkenalkan dengan bidang penternakan biri-biri oleh adik. Inovasi yang menjadi tiruvasi menjadi motto yang dipegang Muhammad untuk menjadikan sebuah bisnes itu mempunyai keunikan sendiri.