Menceburi bidang bisnes sebaik sahaja beliau tamat pengajian, Dr. Rohaizu Roslan mengambil peluang dalam menjadi seorang ‘personal shopper’.
Perjalanan bisnes beliau akhirnya mencetuskan penubuhan R&R Authentics Sdn Bhd atau lebih dikenali sebagai Baby Authentics pada tahun 2019. Bisnes ini yang menjadi peruncit pakaian bayi pada mulanya kemudian berkembang menjadi sebuah destinasi untuk sesiapa yang mencari pakaian keluarga berjenama antarabangsa.
Bisnes ini juga berfungsi secara 100% online bagi memudahkan ibu bapa yang ingin berjimat tanpa perlu bersesak ke pasaraya atau terbang ke luar negara.
Pada tahun 2023, R&R Authentics telah mencatatkan hasil jualan sebanyak RM 1.1 Juta secara keseluruhan.
1. Penyediaan servis instalment
Ada kalanya pelanggan ingin membuat pembelian untuk sesebuah produk tapi mereka tidak mempunyai duit yang tersedia ketika itu. Hasrat mereka terbatal sungguhpun mereka sudah membuat keputusan untuk memperolehnya walaupun lambat.
Ini membuatkan Dr. Rohaizu untuk melihat sudut tersebut sebagai peluang untuk menarik pelanggan yang mempunyai ciri-ciri ini untuk membeli dengan Baby Authentics, menjadikan mereka sebagai jenama pilihan bagi pasangan ibu bapa yang ingin membeli pakaian untuk keluarga mereka.
Hasilnya, Baby Authentics menyediakan skim bayaran ansuran atau instalment yang memudahkan pelanggan untuk membeli dengan mereka tanpa perlu menunggu di kemudian hari. Selain itu, pelanggan juga dapat merasakan kelebihan dalam menjaga kestabilan kewangan mereka sambil menikmati manfaat produk atau perkhidmatan yang diingini.
Dengan menyediakan pilihan ansuran, perniagaan dapat mencapai daya saing yang tinggi dan memperoleh kepercayaan pelanggan. Selain itu, strategi ansuran mendorong kesetiaan pelanggan dan membina hubungan yang kukuh, membawa kepada pertumbuhan bisnes yang berterusan dan membuka pintu kepada segmen pasaran yang lebih luas.
2.Penyediaan Pre-Order
Pelanggan juga terdiri daripada mereka yang mempunyai duit namun stok atau produk yang diingini adalah terhad. Duit sudah tersedia walaupun mereka terpaksa menunggu untuk seberapa lama sehingga stok ada.
Dr. Rohaizu pantas menangani masalah yang pelanggan hadapi dengan mewujudkan sistem pre-order bagi memudahkan mereka membuat tempahan. Pelanggan hanya perlu membayar 30% duit pendahuluan sebelum membayar 100% kepada Baby Authentics apabila barang yang diingini sudah diperolehi mereka.
Menyediakan perkhidmatan pra-pesan (pre-order) menjadi strategi Dr. Rohaizu untuk mencipta keinginan dan permintaan awal sambil memudahkan proses merancang inventori dan pengeluaran produk dengan lebih cermat, mengurangkan risiko kekurangan stok atau pembaziran.
Ia juga memberi kelebihan dalam memberikan visibiliti awal terhadap permintaan pasaran, memudahkan perniagaan untuk merancang pemasaran dan strategi penjualan dengan lebih berkesan.
Kesimpulannya, perkhidmatan pre-order tidak hanya meningkatkan kepuasan pelanggan tetapi juga menyumbang kepada keberkesanan operasi bisnes dan pertumbuhan jangka panjang.
3.Mudahnya dengan E-Commerce
“Kami buat semua proses secara manual tapi sebab kami tahu nak kena grow, then kami start belajar, macam mana buat tracking automated proses. Kalau dulu buat manual secara Whatsapp, kami dah start guna website, buat e-commerce. Jualan dia jadi lebih senang.”
Perubahan bukanlah proses yang senang untuk sebuah bisnes terutamanya untuk sesuatu yang tidak biasa dilakukan. Bukan sahaja untuk seorang usahawan, malah untuk pelanggan. Namun, perubahan juga perlu dibuat demi pertumbuhan bisnes agar tidak ketinggalan daripada perubahan semasa.
Dr. Rohaizu, yang mempunyai sifat sentiasa ingin memperbaiki diri dan bisnes, terbuka minda untuk mengambil cara baru iaitu menggunakan e-commerce sebagai platform untuk memantau jualan dan pesanan dengan lebih cekap.
Kekangan beliau ketika itu adalah untuk mengalih pelanggan untuk membuat pesanan daripada Whatsapp ke E-Commerce bisnes beliau kerana sudah terbiasa dengan cara lama. Namun, Dr. Rohaizu tetap dengan pendirian untuk memanfaatkan cara baru yang kini terbukti sehingga sekarang memudahkan keseluruhan operasi bisnes beliau.
Mewujudkan e-commerce dalam bisnes membawa kepentingan besar dalam menyempurnakan operasi dan meningkatkan kecekapan. Ia memberikan akses mudah dan segera kepada produk atau perkhidmatan secara dalam talian, memperluas jangkauan pasaran dan pelanggan.
E-commerce juga menyediakan platform untuk menjalankan urusan tanpa sempadan geografi, membolehkan perniagaan beroperasi secara global tanpa batasan fizikal yang mempermudah proses transaksi dengan pembayaran dalam talian, meningkatkan kecepatan dan keselesaan untuk pelanggan.
Kewujudan e-commerce membina kemungkinan analisis data, membolehkan perniagaan memahami tingkah laku pelanggan, corak pembelian, dan keperluan pasaran membuka peluang bisnes untuk pertumbuhan dan meningkatkan daya saing dalam era digital yang semakin berkembang.
Biografi Dr. Rohaizu Roslan
Dr. Rohaizu Roslan, pada awalnya telah memperoleh Bachelor of Applied Science (BASc) in Industrial Chemical dan menyambung pelajaran mengambil Master of Science (MSc) in Bioresources, Paper and Coating Technologies sehingga ke tahap Doctor of Philosophy (PhD) in NanoFiber and Nanocellulose Sciences and Technologies di Universiti Sains Malaysia (USM), Georgetown, Pulau Pinang.
Selepas tamat pengajian PhD, beliau pulang ke kampung halaman di Melaka dengan harapan mendapat tawaran kerja tetap. Ketika itu, adik beliau baru sahaja bersalin dan gemar membeli pakaian bayi dari luar negara kerana dapat membeli dengan harga yang murah.
Di situ tercetusnya idea beliau bersama adik untuk menjadi ‘personal shopper’ dan mengambil tempahan daripada rakan-rakan, keluarga serta saudara-mara yang kemudian berkembang menjadi bisnes bersama.