Sebuah syarikat yang menumpukan kepada industri fesyen, As Suffiyah menjual pakaian muslimah yang tertumpu kepada pasaraya-pasaraya besar seperti AEON dan LOTUS’s.
Yakinnya pembeli dengan jenama ini adalah kerana kualiti mereka yang tersendiri, digandingkan dengan penambahan aksesori dan corak-corak baru yang dipasarkan.
Hj Abdul Rashid B Osman, yang kini merupakan Chief Executive Officer (CEO), kepada As Suffiyah Collection Sdn Bhd, pernah ‘makan gaji’ dan bekerja di pelbagai syarikat termasuk pasar malam selama 15 tahun. Pengalaman beliau yang memberikan keyakinan untuk berniaga di kiosk di sebuah pusat membeli-belah, Tesco Seri Manjung membawa kepada kejayaan beliau dalam menyewa kedai yang besar dalam pasaraya AEON. Beliau yang kini mempunyai 15 rangkaian kedai di serata pasaraya AEON dan Lotus’s seperti di Perak, Pulau Pinang dan Kedah mencatatkan jualan sebanyak RM 4.9 Juta setakat Ogos 2023.
1.Fokus kepada satu produk
“Saya ni cepat ambil tindakan, bila fikir sesuatu terus nak buat tanpa berlengah. Itulah yang sering dimarahi oleh isteri saya, dikatanya saya gelojoh dan tak sabar. Tapi saya memang tak suka bertangguh, sebab tu saya mampu buka sampai 15 kedai dalam masa 8 tahun. Kelemahan paling ketara adalah saya tak boleh predict sama ada tindakan yang saya ambil itu berhasil atau tidak dan itu sangat bahaya bila bertindak tanpa ilmu yang betul.”
Tindakan yang cepat mendatangkan hasil yang cepat. Akan tetapi, ada masanya yang perlu kita mengambil masa dan kaji semula apa yang perlu kita fokuskan supaya tidak tersasar dalam menggapai sesuatu.
Seperti Hj Abdul Rashid B Osman yang pernah gopoh dalam bisnes dan bertindak mengikut emosi walaupun tidak tahu apa yang beliau buat dapat mendatangkan untung ataupun tidak. Beliau kadang kala bertaruh dengan tindakan yang dilakukan dalam bisnes tanpa memikirkan kesan yang bakal berlaku pada masa hadapan.
Namun, beliau yang inginkan perubahan mula buang yang keruh dan mengambil yang jernih dan menumpukan kepada satu produk sahaja. Beliau tidak lagi menumpukan kepada kepelbagaian barang yang boleh dijual seperti tudung, telekung,kebaya dan macam-macam lagi tetapi hanya fokus kepada kebarung. As Suffiyah kini lebih dikenali dengan penjualan kebarung yang senang untuk pembeli mencari jenis pakaian ini dengan lebih mudah.
2. Fokus kepada kekuatan bisnes
“Bila takda team, modal pula kecik menyebabkan pergerakan saya slow, sedangkan pesaing saya telah jauh meninggalkan saya. Ketika PKP kedai saya terpaksa ditutup menyebabkan saya buntu. Masa tu TikTok baru sangat, saya pun tak berapa pandai buat Live. Isteri pun lebih kurang mcm saya juga tak pandai TikTok atau Facebook.”
“Cabaran utama ceteknya ilmu online saya menyebabkan jualan tidak mencapai sasaran.“
Hj Abdul Rashid, walaupun tidak biasa menggunakan online platform, tidak menjadikannya sebagai halangan. Beliau sedar bahawa beliau juga kekurangan staf dan memerlukan team yang boleh mengendalikan media sosial sebagai strategi dalam membuat orang ramai lebih kenal jenama As Sufiyah.
Beliau mula berfikiran terbuka dalam membina team dan membuka peluang pekerjaan bagi mereka yang mempunyai kemahiran untuk bersama-sama menaikkan bisnes beliau. Sebanyak 2 kali saringan dilakukan dalam setiap proses pengambilan pekerja menyebabkan beliau kini mempunyai 50 orang staf selepas digabungkan dalam setiap outlet yang ada.
Menggunakan kekuatan yang beliau ada iaitu mempunyai outlet yang banyak di serata lokasi, team sales dan marketing yang mengendalikan media sosial As Suffiyah berjaya meningkatkan pengenalan jenama ini di mata lebih ramai prospek sekaligus meningkatkan jualan yang dahulunya pernah menurun dengan kehadiran Facebook dan Instagram mereka yang menarik perhatian.
3. Database yang kuat dan menekankan product awareness
“Hampir 80% daripada database saya datangnya daripada customer yg dtg ke kedai (walk-in), selebihnya adalah melalui online platform. Dari situ saya boleh kenalpasti secara fizikal customer saya dan mudah untuk create member dan testimoni.”
Ramai usahawan mempunyai database yang banyak tetapi tidak tahu untuk menggunakannya dengan betul. Jadi apa sebenarnya yang terlalu penting tentang database?
Perkara betul yang dilakukan oleh Tuan Hj Abdul Rashid adalah menggunakan database sebagai strategi seterusnya. Walaupun orang ramai mengenali sebuah produk, ia tidaklah menjamin pembelian prospek tersebut terutamanya jika mereka tidak yakin dengan apa yang ditawarkan.
Jadi, dengan database yang beliau ada, beliau menekankan product awareness dalam setiap content yang dibuat dalam media sosial yang sedia ada. Hal ini mencetuskan tarikan yang tinggi terhadap jenama beliau yang menjadikan antara kekuatan strategi yang mengukuhkan bisnes beliau sehingga kini.
Biografi Hj Abdul Rashid B Osman
Tuan Hj Abdul Rashid yang tidak asing dalam bidang perniagaan, mempunyai latar belakang pendidikan di mana beliau telah memperoleh Diploma in Business di Institut Teknologi MARA (ITM) yang kini lebih dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau kemudian menyambung pelajaran dalam Diploma in Business Management di FGU-Kronberg Business College di Koningstein, Germany.
Beliau seperti keluarga lain, dibesarkan oleh ibu bapa beliau dan merupakan anak ke-2 daripada 7 adik beradik. Ayah beliau dulu bekerja sebagai seorang buruh kasar di Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) dan ibu beliau pula seorang surirumah yang kadang kala mengambil upah membasuh pakaian di rumah orang.
Pandai mencari duit sendiri sejak zaman sekolah, beliau pernah menjual surat khabar dan bekerja di kedai makan dan pernah menjadi Caddy Golf sebagai pekerja sambilan.
“Saya selalu percaya bahawa dalam hidup ini bukan orang lain yang akan menentukan masa depan, tetapi diri saya sendiri yang akan mencorakkan masa depan saya. Sebab itu saya tak pedulikan apa orang lain kata, asalkan saya tahu perkara betul yang saya buat. Alhamdulillah semua yang saya sayang dan dekat dengan saya sentiasa memberi sokongan kepada saya.”
Beliau berharapan agar orang ramai dapat lebih merancang hidup mereka ke arah yang baik dengan bimbingan yang betul daripada seorang mentor.
“Jangan kedekut duit untuk belajar kerana ilmu itu sangat bernilai sebagai penunjuk jalan, daripada kegelapan kepada jalan terang benderang.”