Menjadi titik perubahan drastik kepada Siti Hajar Mohd Yussof apabila beliau dibuang kerja kerana salah faham yang berlaku di antara beliau dengan majikan.
Tekad untuk tidak dipandang rendah lagi, beliau melihat berniaga sebagai jalan keluar. Selagi ada usaha, selagi itu beliau percaya rezeki ada di mana-mana.
Pengalaman hampir 10 tahun beliau di syarikat penerbitan buku walaupun hanya sebagai kerana biasa memberi beliau idea untuk memulakan bisnes dengan apa yang beliau tahu.
Siti Hajar kini bangga dapat membantu guru dan ibu bapa dalam mencari bahan pembelajaran untuk anak setelah menubuhkan Aqil Fayyadh Resource yang juga dikenali sebagai FayyadhBook pada tahun 2018.
Dipenuhi dengan bahan bacaan tahap sekolah rendah hingga menengah dan buku-buku agama, FayyadhBook telah menjual naskhah buku sebanyak 50 ribu sejak penubuhannya.
Pada tahun 2023, Siti Hajar berjaya melonjakkan hasil jualan bisnes beliau kepada hampir RM 2 Juta.
1.Penghantaran sampel buku
“Kadang-kadang sekolah cari buku yang relevan dengan pelajar sekarang. Apa kita buat ialah bagi mereka cuba dulu”
Khusus dalam menjual buku-buku melibatkan bacaan sekolah rendah dan sekolah agama, Siti Hajar tidak hanya melakukan pemasaran melalui online kerana percaya secara offline juga sangat membantu dalam meningkatkan hasil jualan beliau selain membantu sekolah mendapatkan buku bacaan berkualiti.
Beliau, dari sekolah ke sekolah mengambil peluang untuk membina hubungan dengan guru-guru dan pentadbir sekolah. Dengan mencadangkan bahan bacaan yang sesuai kepada pelajar-pelajar, ini memberi peluang kepada pihak sekolah untuk menguji keberkesanan buku dahulu sebelum membuat keputusan untuk membuat pembelian secara besaran.
Ini mengukuhkan reputasi kepada FayyadhBook sebagai sumber yang boleh dipercayai dalam menyediakan bahan-bahan yang relevan. Dalam jangka masa panjang, ini juga telah membuka pintu kepada bisnes dalam memperluaskan jenama bisnes kepada ibu bapa.
2.Pantas membalas ‘chat’
“Masuk notification saja, terus balas chat. Itu yang saya terapkan kepada staf supaya pelanggan rasa dihargai”
Sesiapa sahaja boleh menjual tapi tidak semua orang boleh konsisten. Siti Hajar, tidak ketinggalan dalam pemasaran online, menggunakan platform Shopee untuk membuat penjualan buku. Apa yang membezakan beliau adalah kecekapan yang diterapkan dalam bisnes bagi setiap pertanyaan pelanggan terhadap buku-buku yang menarik minat.
Sebagai contoh, Shopee sendiri mempunyai Seller Chat bagi menjawab sebarang pertanyaan pelanggan. Dengan membantu mereka untuk membuat keputusan, ia telah menaikkan penilaian beliau sebagai Shopee Seller di mana platform ini mengenalpasti penjual yang aktif melayan pelanggan.
Hasilnya, FayyadhBook dipaparkan menjadi antara penjual buku yang dipromosikan sendiri oleh Shopee agar pelanggan dapat customer experience yang terbaik. Bagi mereka yang klik di laman utama FayyadhBook juga, mereka dapat melihat nilai 4.9 daripada 5 bintang sebagai bukti bisnes ini memberi kepuasan yang tinggi kepada mereka.
Kepercayaan pelanggan bukan sahaja dapat diperoleh, malah mereka yang aktif dalam pembelian buku juga akan menjadi follower kepada bisnes ini. Kini, FayyadhBook telah meraih sebanyak hampir 4 ribu followers di Shopee dengan penjualan lebih daripada 10 ribu naskah buku.
3.Kolaborasi bersama penerbit buku
“Semua jadi mudah lepas saya kerjasama dengan penerbit buku sebab saya sendiri dapat info tentang buku-buku baru. Minat pembaca sentiasa berubah-ubah”
Kerjasama antara sebuah bisnes penjual buku dan syarikat penerbitan buku dapat memberikan akses kepada katalog yang lebih luas. Ini membolehkan penjual untuk menawarkan pilihan buku yang lebih beraneka. Strategi ini digunakan oleh Siti Hajar melalui kolaborasi beliau bersama Pustaka Nadwa.
Akses yang diberikan juga membenarkan FayyadhBook untuk menjalankan kempen pemasaran bersama untuk meningkatkan lagi kesedaran tentang buku-buku yang dijual. Sebagai contoh, bisnes ini pernah menyertai Selangor International Book Fair yang dianjurkan pada tahun 2023.
Syarikat penerbitan buku ini telah membantu dalam menyediakan bahan iklan untuk FayyadhBook agar mereka bersama dapat meningkatkan penjualan secara kreatif. Buku-buku eksklusif ditengahkan agar pembaca buku terutamanya ibu bapa berminat untuk membeli bahan bacaan menarik untuk anak-anak mereka.
Dalam bekerjasama, Siti Hajar juga sentiasa memperoleh info tentang pengeluaran buku-buku baru mengikut tren di pasaran agar beliau sentiasa menyediakan bahan bacaan yang relevan kepada pelanggan tetap beliau seperti di sekolah-sekolah.
Biografi Siti Hajar
Siti Hajar, pernah bekerja sebagai seorang kerani di sebuah syarikat penerbitan buku. Beliau tidak pernah terbayang untuk memiliki sebuah bisnes kerana hanya berfikir untuk mendapat pendapatan demi sesuap nasi dengan gaji yang sebanyak RM 700 sahaja.
Sikap dedikasi yang sentiasa mengambil tahu tentang proses penerbitan buku membawa beliau kepada kejayaan yang dibina selepas dibuang kerja angkara salah faham bersama majikan. Meninggalkan sejarah hitam yang berlaku, beliau mula menjual buku secara online namun tidak mendapat hasil seperti yang diinginkan.
Sangkaan beliau adalah beliau telah melakukan segalanya dengan betul sehinggalah beliau mengikuti kelas Bina Bisnes Berjaya bersama RichWorks apabila terlihat iklan yang dipaparkan di Facebook beliau. Selepas menghadiri program-program seterusnya, beliau menggunakan ilmu yang diserap sehingga dapat melonjakkan jualan menjadi 6 angka dalam masa setahun.
Tidak cukup lagi, beliau menyertai Program Mentorship SPIRE sehingga berjaya memasuki Program Mentorship TITANIUM kerana berjaya mencapai RM 1 Juta yang bagaikan mimpi buat beliau.
Siti Hajar, menempuh cabaran dengan keberanian, membuktikan bahawa setiap permulaan yang kecil boleh menjadi asas kejayaan besar dalam dunia perniagaan.