Ditawarkan menjadi partner kerana beliau yang mahir dengan selok belok kerja namun proposal yang diberi tidak memuaskan.
Sejak kecil, Ahmad Aiman Bin Mansor menjadikan nasihat ayah untuk memiliki rumah besar dan memakai kereta mewah sebagai pendorong untuk bercita-cita tinggi. Mengikut langkah atuk dan nenek yang pernah berniaga, Aiman juga ingin membuat sesuatu yang berlainan berbanding adik beradik beliau.
Pengalaman Aiman selama 5 tahun bekerja di sebuah syarikat pembinaan membina kemahiran beliau sehingga ditawarkan menjadi ‘partner’ kepada syarikat tersebut.
Beliau bagaimanapun, membuka jalan sendiri dalam menubuhkan sebuah bisnes yang kini dikenali sebagai Aiwin Design. Syarikat beliau ditubuhkan pada tahun 2016 yang bertapak di Kelantan.
Aiwin Design yang dipimpin oleh Aiman, membawakan team penuh dedikasi untuk membawa visi pelanggan menjadi kenyataan. Ketelitian dalam mencipta reka bentuk yang menggabungkan bentuk dan fungsi seiring dengan gaya hidup yang diimpikan.
Dari hanya bekerja sendiri pada awal permulaan, kini Aiman memimpin team yang terdiri daripada 15 orang. Bisnes beliau pada tahun 2023 mencatatkan hasil jualan sebanyak RM 3.8 Juta.
1.Sponsorship Kelab sukan
“Kita kena pastikan dulu siapa sebenarnya pelanggan yang membeli. Kemudian baru kita kenal pasti tempat mereka habiskan masa”
‘Sponsorship’ kepada kelab bola dan badminton membuka peluang pendedahan yang meluas. Ini tidak hanya meningkatkan kesedaran jenama tetapi juga membina hubungan emosional dengan peminat sukan, mencetuskan pertanyaan tentang jenama yang menaja.
Memandangkan 70% pelanggan Aiwin Design adalah di kalangan doktor, Aiman bijak mensasarkan jenama beliau kepada kelab bola sepak yang ditubuhkan di bawah Hospital Universiti Sains Malaysia di Kelantan. Ini kerana target audience bisnes beliau sendiri adalah dari golongan T20 yang mempunyai pendapatan sebanyak RM 10,000 ke atas.
Komitmen kepada kelab sukan menunjukkan semangat kesukanan daripada Aiwin Design yang bukan sahaja dipandang tinggi oleh kelab sukan, malah kepada peminat sukan yang teliti dengan barangan sukan seperti jersey, kasut dan sebagainya.
2.One-stop Interior Design (ID)
“Apa yang buat pelanggan repeat dengan kami adalah pembawakan sebagai one-stop centre. Kita cuba realisasikan apa sahaja yang pelanggan nak”
Kebanggaan Aiwin Design adalah dalam menjadi one-stop centre interior design yang menawarkan segala servis yang ada. Apa yang mungkin tiada dalam syarikat pembinaan lain, Aiwin Design sedia untuk memberikannya kepada pelanggan.
Sebagai contoh, Aiwin Design menawarkan servis pembinaan rumah, pengubahsuaian, perabot custom-made, dan lain-lain untuk memberi kepuasan sepenuhnya kepada pelanggan. Mereka memahami setiap pelanggan mempunyai citarasa sendiri namun kadangkala visi untuk mendapat rumah impian tidak dapat dicapai kerana servis perkhidmatan yang terhad.
Bisnes yang menjadi one-stop centre memberikan kelebihan dengan menyediakan pelanggan akses kepada pelbagai perkhidmatan di satu tempat. Ini mengoptimumkan keselesaan pelanggan yang menjadikan pengalaman lebih mudah dan efisien.
3.‘Sebelum’ dan ‘Selepas’ servis
“Tinggi mana pun kualiti servis, orang tak nampak kalau kita tak tunjuk. Saya deliver servis terbaik dan pastikan setiap projek tu kita post di media sosial”
Pendekatan visual ‘sebelum’ dan ‘selepas’ servis membawa nilai tambah kepada bisnes. Gambar sebelum pembinaan memberikan visual masalah dan kekurangan yang mungkin ada, sementara gambar selepas pembinaan memaparkan hasil transformasi yang megah.
Visual ini menunjukkan keberkesanan sebuah servis seperti yang ditunjukkan oleh Aiwin Design selepas setiap projek yang dihabiskan. Gambar-gambar ini juga dapat digunakan dalam bahan pemasaran, laman web, dan media sosial untuk memaparkan kemahiran dan kecekapan bisnes dalam mengatasi masalah pembinaan rumah.
Prospek dapat melihat jelas perubahan yang dibawa oleh bisnes, memberi keyakinan kepada mereka untuk menggunakan servis tersebut. Walaupun tidak mengupah servis ketika itu, mereka sudah ada pilihan tepat sekiranya ingin menggunakan servis Aiwin Design di masa hadapan.
Dengan memanfaatkan kekuatan visual sebelum dan selepas, Aiwin Design telah membangunkan imej yang kukuh dalam pasaran terutamanya di Kelantan. Strategi ini merangsang permintaan pelanggan yang kemudian menjadi ‘repeat customer’ kerana kepuasan yang mereka dapat.
Biografi Aiman Mansor
Anak kelahiran Johor Bahru ini berpindah ke Kelantan sewaktu beliau berada di sekolah rendah lagi. Aiman dibesarkan oleh ibu dan bapa beliau yang bekerja sebagai pegawai kastam namun ketika itu, mereka yang berasal dari negeri tersebut ingin pulang ke kampung halaman.
Daripada 9 orang adik beradik, Aiman merupakan anak ke 6. Dengan kerjaya yang berbeza di kalangan mereka, hanya beliau sahaja yang mempunyai bisnes sendiri.
Asalnya, beliau meletakkan jurusan seni bina dan IT sebagai pilihan utama untuk menyambung pelajaran. Takdir mengizinkan beliau menyambung belajar tapi dalam jurusan Diploma in Interior Design di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Selama bekerja di sebuah syarikat pembinaan, beliau akhirnya ditawarkan menjadi ‘partner’ namun beliau memutuskan untuk berhenti dan menubuhkan bisnes sendiri kerana tiada kenaikan gaji. Duit simpanan yang hanya tinggal RM 500 memberi desakan hidup kepada Aiman buat sementara waktu.
Rezeki datang bergolek, beliau dapat menyewa sebuah office dengan bantuan isteri dalam pembayaran deposit. Sejak itu, Aiman bertungkus lumus membangunkan bisnes beliau yang bermula daripada sebuah lot yang kini diluaskan menjadi 2 lot.