AI Curtains Home Furnishing Sdn Bhd dengan pengalaman dan kepakaran Ketua Pegawai Eksekutif mereka, Aida Haswani Abu Hassan selama lebih 15 tahun dalam bidang jahitan pemasangan langsir, membantu orang ramai yang berasa bosan duduk di rumah kepada berasa rindu untuk pulang ke rumah dengan menyediakan perkhidmatan mendeco dan mencantikkan rumah dari hasil seni jahitan langsir serta pemasangan langsir dan wallpaper dari ukur, jahit sehingga pemasangan.
Sepanjang perjalanan Aida Haswani dalam menceburi bidang jahitan dan pemasangan langsir, beliau telah memperbaiki setiap satu kesalahan, dari yang kecil ke besar, mengasah ilmu beliau dengan tajam dalam menyempurnakan maksud sebenar Langsir serta fungsi yang berperanan dalam ‘Menutup Tingkap’ dengan sempurna.
AI Curtains Home Furnishing Sdn Bhd juga menyediakan perkhidmatan barangan hiasan dalaman lain seperti memasang wall panel, memasang karpet, memasang bidai dan juga memasang wallpaper berkualiti premium. Kini, syarikat yang mempunyai HQ di Setia Alam, sudah memiliki cawangan ke-2 di Denai Alam.
Pada tahun 2023, bisnes ini mencatatkan hasil jualan sebanyak RM 1.53 Juta.
1.Menguatkan penjenamaan bersama team
“Saya kuatkan branding saya, bukan sahaja brand company tapi self branding juga. Saya wujudkan Team media khas supaya banyak hasilkan content yang menarik dan kami sekarang banyak menggunakan Team content creator untuk hasilkan video produk kami. Lebih banyak content lebih banyak awareness tentang produk kami. Dari situ branding kami jadi lebih kuat. Strategi ini sangat membantu syarikat saya sekarang dan amat berbeza dengan syarikat penyedia langsir yang lain.”
“Begitu juga dengan branding secara online di google, facebook dan tiktok, saya menjalankan marketing serentak bagi meningkatkan awareness dan menaikkan sale”
Penguatan penjenamaan adalah salah satu aspek yang penting dalam mempengaruhi persepsi dan reputasi perniagaan di mata pelanggan dan di pasaran. Ia membantu dalam membuat perniagaan itu lebih dikenali dan mewujudkan kepercayaan pelanggan terutamanya pada era yang orang ramai cerdik teknologi. Ia juga membuka peluang untuk pelanggan mengenalpasti apa yang ditawarkan oleh perniagaan itu dan siapa disebalik pengurusan syarikat tersebut.
Strategi betul yang dilakukan oleh Aida Haswani adalah dengan menguatkan penjenamaan syarikat dan diri beliau, selari dengan matlamat untuk memberi orang ramai persepsi bahawa AI Curtains mempunyai keunikan yang tersendiri. Dengan team content creating yang sama-sama memberi sokongan, penghasilan bahan-bahan menarik dari juga menjadi daya tarikan agar lebih ramai mengikuti AI Curtains di media sosial seperti di Facebook, Instagram dan Tiktok.
2.Sasaran menggunakan magic numbers
“Meletakkan sasaran dan target jualan yang nak di capai . Mulakan dengan magic number yang jelas untuk forecast impact supaya nampak jelas dan ini akan bantu kurangkan banyak kesilapan ketika run sesuatu projek-projek atau kempen”
Konsep ‘magic numbers’ merujuk kepada metrik yang menjadi indikator kepada sesebuah perniagaan. Pentingnya konsep ini adalah ia memberi pandangan yang jelas untuk seorang usahawan itu mengukur dan memantau perkembangan perniagaan mereka. Selain itu, ia juga memberi pintu untuk usahawan tersebut fokus kepada aspek-aspek lain dengan lebih mudah.
Apa yang dilakukan oleh Aida Haswani dengan konsep ‘magic numbers’ ini adalah beliau menjalankan setiap projek dengan mengetahui dahulu apa yang hendak dicapai. Kemudian, beliau akan memecahkan setiap aktiviti yang dilakukan kepada tahunan, bulanan, mingguan dan harian mengikut kesesuaian garis masa projek tersebut.
Strategi ini bukan sahaja boleh dilakukan dalam perniagaan, malah boleh dipratikkan dalam kehidupan seharian untuk kehidupan yang lebih berdisiplin.
3. Cepat sentap ke realiti
“Dalam berniaga mestilah saya ada rasa sedih dan tertekan juga. Tapi bila saya ada circle dan bimbingan yang bagus, saya akan sedih sekejap saja. Saya tak akan melayan perasaan saya lama-lama sebab saya kena bangkit untuk teruskan bisnes, setiap hari saya perlu pastikan saya lebih bertenaga dan lebih bersemangat positif kerana saya masih ada staf yang perlu saya beri motivasi setiap hari. Jadi saya perlu kekal positif bagi memberi energy yang seimbang untuk organisasi saya.”
Tiada perniagaan yang tidak pernah ada masalah. Sebagai seorang usahawan, anda perlu cepat kembali dan sentap ke realiti sekiranya perniagaan menghadapi masalah kerana dunia masih berpusing dan bergerak. Ia tidak menunggu kita yang tidak melakukan apa-apa yang hanya akan bertapuk di tempat yang sama.
Aida Haswani menjadikan circle sekeliling beliau sebagai motivasi untuk memastikan beliau sentiasa mempunyai tenaga yang lebih daripada staf-staf kerana beliau sedar tanggungjawab beliau sebagai ketua yang memimpin mereka. Beliau yang pernah melalui pelbagai cabaran sewaktu muda menjadikannya sebagai penguat untuk mempunyai perniagaan yang berjaya lebih daripada apa yang beliau pernah capai.
Biografi Aida Haswani Abu Hassan
Aida Haswani Abu Hassan yang mempunyai 7 adik-beradik termasuk beliau berkahwin seawal 20 tahun dan merupakan seorang suri rumah. Setelah ibu dan bapa meninggal dunia, Aida Haswani terpaksa menanggung adik-adik yang masih bersekolah.
Sungguhpun tidak mempunyai pengalaman dalam perniagaan dan tidak sempat menghabiskan pengajian peringkat Diploma, beliau mengambil keputusan untuk memasuki kelas belajar menjahit pakaian. Oleh kerana tiada kekosongan, guru menjahit beliau menyarankan untuk memasuki kelas belajar menjahit langsir.
Dari situ, beliau mula mengambil upah daripada kedai-kedai kain langsir sebagai sumber pendapatan pada tahun 2004. Sambil belajar, beliau juga terpaksa membawa anak beliau ke kelas kerana tiada siapa yang menjaga.
Dulu hanya mempunyai bengkel jahitan di rumah sewa sebelah rumah dan kemudian beliau mengembangkannya dalam menyewa sebuah kedai kecil di pekan Kapar. Perjalanan beliau dalam bidang ini tidak sia-sia kerana beliau kini memiliki bangunan 4 tingkat yang menempatkan kilang jahitan, pejabat dan showroom. Beliau juga dapat membeli 4 kenderaan untuk syarikat termasuk sebuah Van, 2 buah kereta Bezza dan sebuah kereta Aruz.
Dalam pencapaian peribadi beliau pula, beliau telah membawa seluruh keluarga menunaikan umrah dan dapat membeli sebuah kereta Mercedes, sebuah kereta Alphard dan sebuah kereta Axia untuk anak beliau. Selain itu, beliau juga mengumpul emas dan mempunyai simpanan peribadi dan mampu menghadiahkan diri dengan pelbagai barang berjenama.
“Nak berniaga mesti ada strategi, jika kita tersilap langkah mengatur strategi, itu yang jadinya langgar dinding dan memakan kos yang banyak dan itu lebih sia-sia jika emosi tidak dapat dikawal dengan baik.”
Aida Haswani yang telah banyak menggunakan strategi betul memastikan beliau tidak terhanyut dengan masalah yang menimpa demi perniagaan dan keluarga yang menjadi simbol kekuatan beliau.