- 08/03/2024
- Posted by: Aisya Ismail
- Categories:
Salah satu kunci menang dalam persaingan adalah dengan memahami kehendak dan keperluan pelanggan. Jika tidak, macam mana nak tahu apa yang mereka mahu serta apa yang membuatkan mereka akan membeli dan terus membeli.
Usahawan akan lebih memahami pelanggan dengan mendapatkan maklum balas pelanggan dan bakal pelanggan tentang produk dan perkhidmatan serta apa kehendak mereka dalam pasaran.
Ini membolehkan anda mengukur kepuasan pelanggan, meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan, membina kesetiaan pelanggan dan membuat keputusan perniagaan yang lebih jelas dan baik. Walau bagaimanapun, anda perlu tahu dulu cara mendekati pelanggan.
Kenapa penting maklum balas pelanggan?
- Tambah baik produk dan perkhidmatan: Dengan meminta maklum balas daripada pelanggan selepas mereka menggunakan produk dan perkhidmatan anda, anda boleh mengetahui tentang pengalaman sebenar mereka, termasuk kelebihannya dan sebarang kelemahan.
- Mengukur kepuasan pelanggan: Prestasi kewangan syarikat dikaitkan secara langsung dengan kepuasan dan kesetiaan pelanggan. Dengan mendapatkan maklum balas pelanggan, anda boleh mengukur kepuasan pelanggan dengan lebih tepat dan mengambil sebarang langkah yang perlu untuk memperbaikinya.
- Meningkatkan pelanggan setia: Membolehkan anda menentukan sejauh mana kepuasan pelanggan dan di mana anda harus membuat penambahbaikan.
- Membantu membuat keputusan: Maklum balas pelanggan adalah salah satu sumber data yang paling boleh dipercayai untuk perniagaan. Ia membantu anda lebih memahami pelanggan dan keperluan mereka.
Cara mendapatkan maklum balas pelanggan
1. Hantar email susulan
Ini adalah kaedah paling biasa digunakan. Sebuah syarikat biasanya menghantar email susulan selepas pelanggan menerima produk atau perkhidmatan yang disediakan. Terdapat banyak syarikat yang menggunakan proses ini.
2. Buat tinjauan
Tinjauan adalah mudah disediakan, dianalisis dan skala. Sebaik-baiknya pastikan tinjauan anda ringkas dengan hanya lima hingga 10 soalan penting yang pelanggan boleh jawab dengan cepat.
Ini akan menjimatkan masa anda dan pelanggan serta mendapatkan respons yang lebih baik.
3. Tawarkan ‘live chat support’
Live chat support ini boleh digunakan di media sosial maupun website yang membolehkan syarikat mendekatkan diri dengan pelanggannya dan lebih memahami cabaran yang mereka hadapi.
Soalan dapat dijawab dengan segera dan mereka menerima maklumat yang mereka cari. Pastikan membalasnya dengan pastas tau.
4. Gunakan media sosial
Ini cara terbaik untuk mendapatkan akses kepada maklum balas pelanggan untuk mengetahui perkara yang pelanggan anda katakan tentang syarikat dan produk anda dalam talian.
5. Menyediakan borang maklum balas pelanggan
Borang anda hendaklah pendek dan termasuk semua soalan yang berkaitan. Jika boleh, berikan pilihan kepada pelanggan untuk menghantar maklum balas mereka melalui e-mel atau melengkapkan borang dalam talian.
6. Hubungi pelanggan anda
Kaedah ini dapat menjana respons pelanggan yang terbaik. Dengan bercakap dengan pelanggan secara langsung, anda boleh menunjukkan kepada pelanggan bahawa anda secara amnya ingin membantu mereka. Namun usaha keras perlu dilakukan kerana tak mudah nak buat orang angkat panggilan yang tidak dikenali.
7. Gunakan tinjauan aplikasi WhatsApp
Hampir semua orang menggunakan aplikasi WhatsApp dan ianya saluran yang berkuasa untuk meminta maklum balas daripada pelanggan anda secara percuma. WhatsApp mempunyai kadar buka yang lebih tinggi daripada email dan sesuai jika anda hanya mengetahui nombor telefon pelanggan.
8. Menawarkan insentif untuk maklum balas
Galakkan pelanggan untuk melengkapkan tinjauan dengan menawarkan insentif sebagai pertukaran untuk maklum balas mereka. Bergantung pada syarikat anda dan produk yang anda tawarkan.
9. Paparkan maklum balas positif
Terdapat pelbagai kelebihan untuk memaparkan maklum balas positif di tapak web anda. Pertama, ia berfungsi sebagai pengiktirafan untuk pelanggan yang berkongsi maklum balas dan memberikan bukti sosial tentang nilai produk dan perkhidmatan anda.
Kedua, ia menggalakkan pelanggan lain untuk meninggalkan maklum balas, kerana pelanggan akan menyedari bahawa anda menghargai pendapat mereka.
Tingkatkan prestasi dan reputasi
Maklum balas pelanggan memainkan peranan utama dalam membina hubungan yang kukuh dengan pelanggan. Ia juga adalah peluang untuk pertumbuhan dan penambahbaikan yang berterusan.
Dengan memahami keperluan dan pandangan pelanggan, perniagaan dapat menyediakan produk atau perkhidmatan yang lebih baik dan seterusnya meningkatkan prestasi dan reputasi.
Ingatlah, setiap maklum balas adalah suara yang penting dan setiap interaksi dengan pelanggan adalah peluang untuk memperkukuhkan hubungan. Dengan menerapkan cara-cara yang telah dibincangkan, perniagaan dapat membina kepercayaan, meningkatkan loyaliti, dan menyumbang kepada keseluruhan kejayaan perniagaan.