- 07/03/2024
- Posted by: Aisya Ismail
- Categories:
Susah nak jadi ketua ni, bukan kerja je kena ‘mantap’ untuk jadi contoh yang baik, skill leadership pun kena power! Kalau tak, memang susah nak buat pekerja ikut cakap kita dan lakukan tugasan mengikut kehendak dan arahan kita sebagai ketua.
Bayangkanlah pekerja yang datang bekerja setiap hari rasa seronok dan bersemangat untuk melakukan tugasan, mesti syok! Apatah lagi bila hasil jualan meningkat dan capai matlamat yang syarikat sasarkan.
Dengan gaji yang kompetitif dan faedah yang baik sangat penting untuk mendapatkan dan mengekalkan pekerja yang berkualiti, tetapi mereka akan bosan bekerja setiap masa tanpa ada aktiviti tambahan yang menyeronokkan.
Pekerja bukan robot, mereka pun perlukan penaik semangat agar terus memberikan yang terbaik buat syarikat.
Apa kata sediakan faedah tambahan untuk pekerja. Mereka sering menghabiskan banyak masa di tempat kerja, tawarkan sesuatu yang menyeronokkan akan memastikan pekerja anda lebih gembira dan produktif. Tetapi apa yang anda boleh tawarkan?
10 Manfaat Keseronokan untuk Pekerja
1. Keahlian gimnasium
Anda boleh menawarkan keahlian gimnasium percuma atau diskaun kepada pekerja sebagai cara untuk menggalakkan kesihatan fizikal dan mental yang baik. Keahlian gimnasium berdekatan boleh membantu pekerja mengoptimumkan jadual harian mereka dan membolehkan mereka menjadi lebih produktif.
Jika mampu, buatlah gimnasium sendiri di pejabat. Pekerja tak perlu keluar dan akan habiskan lebih banyak masa di pejabat.
2. Percutian secara berkumpulan
Percutian akan menggunakan banyak modal syarikat. Walau bagaimanapun, ia boleh menjadi faedah yang hebat untuk menggalakkan kerja pasukan anda dan membolehkan orang ramai mengenali budaya kerja dalam konteks yang menyeronokkan.
Tak semestinya perlu bercuti di luar negara, dalam negara pun ada banyak tempat percutian yang menarik dengan harga yang jauh lebih murah.
Aktiviti ini dapat membangunkan hubungan sosial yang menggalakkan budaya syarikat yang positif.
3. Diskaun pekerja
Ramai majikan memilih untuk menawarkan diskaun pekerja dengan bekerjasama bersama perniagaan tempatan lain untuk menyediakan tawaran eksklusif. Diskaun pekerja seperti pengangkutan awam, teknologi, hiburan dan percutian akan menambah nilai tambahan kepada pakej pekerjaan seseorang melebihi faedah tradisional.
4. Kelab sosial
Kalau di sekolah dulu, berlumba-lumba pelajar nak masuk kelab kegemaran. Kenapa tak teruskan budaya ini di dalam perniagaan?
Kelab membolehkan orang ramai membina perhubungan yang kukuh di seluruh organisasi dan mengenali orang yang mereka mungkin tidak bekerjasama rapat dengan mereka. Kelab juga serta memberi peluang kepada orang ramai untuk mengerjakan projek yang mereka minati dalam konteks pekerjaan mereka.
5. Program kesihatan
Mempunyai program kesihatan di tempat kerja anda boleh meningkatkan kebahagiaan secara keseluruhan dan mengembangkan kemahiran hidup anda di luar tempat kerja.
6. Makanan percuma
Manusia dan makan memang tak boleh dipisahkan. Sesetengah syarikat mempunyai kafe dengan pelbagai pilihan menu dan pekerja boleh makan secara percuma.
Tapi tak perlulah anda sediakan kafe, beri makanan secara percuma pun dah cukup. Anggap saja sedekah dan pekerja gembira dapat jimat duit belanja. Dapat sediakan mesin kopi pun dah cukup menggembirakan mereka.
Makanan ringan dan minuman percuma yang disediakan boleh membantu jimatkan masa dan mengoptimumkan masa yang mereka luangkan untuk rehat.
7. Bilik permainan
Bayangkan pejabat anda ada ruang untuk permainan dan rekreasi, bukan saja nampak ‘cool’, malah merupakan faedah yang bagus untuk pekerja. Terutamanya bila perlu menghilangkan tekanan.
8. Kod pakaian yang fleksibel
Walaupun sesetengah syarikat mungkin memerlukan pakaian yang formal untuk tampak lebih profesional, tak salah jika khususkan satu hari dalam seminggu untuk kod pakaian yang lebih santai.
Ini memberi pekerja kelebihan untuk dapat mengekspresikan diri mereka melalui gaya mereka di tempat kerja. Kod pakaian yang fleksibel boleh membantu orang ramai berasa lebih selesa dan dapat membawa personaliti mereka ke tempat kerja.
9. Khidmat nasihat kewangan
Anda boleh menghubungkan pekerja dengan penasihat kewangan untuk pelbagai situasi, sama ada mereka menguruskan dana persaraan mereka atau mempertimbangkan pelaburan. Mampu mengurus masa depan kewangan anda boleh menjadi faedah yang menarik untuk mereka yang berharap untuk kekal di syarikat jangka panjang.
10. Tempat tinggal
Ada sesetengah perniagaan suka tambah aset syarikat dengan hartanah atau banggunan. Pelaburan yang bagus. Apa kata pertimbangkan untuk beri pekerja tempat tinggal secara percuma. Bukan untuk semua tetapi untuk mereka yang duduk jauh atau tidak mampu untuk menyewa tempat untuk tinggal.
Bina tempat kerja yang lebih baik
Dalam mengejar produktiviti dan kecekapan di tempat kerja, seringkali kita lupa bahawa keseronokan juga merupakan elemen yang penting. Ia bukan saja memperkukuhkan semangat pekerja, tetapi juga membawa kesan positif kepada produktiviti dan prestasi keseluruhan syarikat.
Keseronokan di tempat kerja bukan sekadar elemen tambahan, tetapi merupakan asas kepada persekitaran kerja yang berkesan.
Semoga dengan menyedari manfaat keseronokan ini, majikan dan pekerja dapat bersama-sama membina tempat kerja yang lebih baik, yang menghargai dan menyokong kesejahteraan keseluruhan. Sejauh mana keseronokan dapat menjadi sebahagian daripada budaya korporat, sejauh itulah kita dapat mengecapi kejayaan dan kepuasan di dalam dunia pekerjaan kita.