Pada 2016, Wallace “Wally” Amos muncul di rancangan Shark Tank di saluran ABC, bagi memohon wang pelaburan sebanyak $50,000 yang akan memberikan pelabur 20% saham dalam syarikat The Cookie Kahuna, sebuah syarikat biskut coklat yang berpangkalan di Hawaii.
Orang yang tidak mengenali Amos mungkin akan terfikir, “Apa yang menariknya? Ia hanyalah biskut.”
Namun, perkara yang penting yang mungkin kebanyakan orang terlepas pandang adalah hakikat bahawa sebenarnya lelaki tersebut merupakan pengasas jenama biskut coklat terkenal dunia, Famous Amos.
Selepas lagenda tersebut kehilangan syarikatnya pada penghujung 1980-an (menurut The New York Times), dia cuba membuat kemunculan semula.
Amos telah mencipta sejarah pada tahun 1957 sebagai black talent agent pertama dalam industri. Namun begitu, ternyata hobinya yang gemar membakar biskut telah membuatkan namanya tercatat ke dalam buku sejarah.
Segala-galanya bermula selepas dia pergi ke mesyuarat perniagaan dan membawa biskut bersamanya.
Tidak lama kemudian, dia mula mendapat permintaan biskut coklat yang tinggi daripada orang ramai. Selepas membuka kedai pada tahun 1975, beliau melancarkan syarikat Famous Amos dengan sokongan daripada peminat selebriti seperti Marvin Gaye dan Helen Reddy yang menderma $25,000 setiap seorang. Menjelang tahun 1982, syarikat itu telah menghasilkan pendapatan sebanyak $12 juta.
Malangnya, dalam perjuangan untuk bersaing dengan syarikat lain, Amos telah menjual bahagian majoritinya di dalamnya dengan harga lebih $1 juta. Dia tiada apa-apa kuasa apabila pemilik baru menukar resipi dan penjenamaan.
Seperti yang dilaporkan The New York Times, dia telah disaman atas pelanggaran tanda dagangan selepas dia memulakan syarikat baharu menggunakan namanya sendiri pada tahun 1992.
Kemunculan Amos di Shark Tank adalah usahanya untuk cuba mendapatkan kembali masa depannya yang telah hilang dan dia berharap ‘Sharks’ dapat membantunya.
Apabila Wally Amos muncul pada musim 8, episod 3 dalam Shark Tank, dia mendedahkan bahawa dia bukanlah seorang ahli perniagaan tetapi lebih mahir dalam bahagian pemasaran.
Malangnya, tidak banyak yang boleh dipasarkan kerana Amos tidak dibenarkan menggunakan wajahnya untuk mempromosikan syarikatnya yang terkini, The Cookie Kahuna disebabkan perjanjian yang telah ditandatanganinya bersama Famous Amos.
Satu demi satu Shark berundur daripada memberikan pelaburan buat dirinya dan usahawan itu akhirnya berlalu tanpa tawaran.
Di sebalik publisiti yang diterima dan usaha baharunya untuk mempromosikan syarikatnya selepas muncul dalam rancangan itu, The Cookie Kahuna nampaknya terpaksa gulung tikar.
Pada 2017, dia menyiarkan video YouTube menyatakan bahawa dia memulakan halaman GoFundMe untuk mendapatkan bantuan kewangan.
Amos kemudian mendedahkan bahawa dirinya telah bankrup dan memerlukan wang untuk membayar sewa, makanan, gas dan keperluan. Dia kemudian meminta derma dan belas ikhlas orang ramai untuk membeli buku yang dikarang.
Walaupun berdepan dengan pelbagai situasi yang mencabar, Amos bagaimanapun tetap bercakap dengan nada positif dalam videonya dan mengatakan bahawa pasti sesuatu yang lebih baik akan datang di masa hadapan. Memang ada sesuatu yang datang iaitu Aunt Della’s Cookies.
Malangnya, perniagaan itu juga telah ditutup kerana kekurangan dana. Sumber juga tidak pasti sama ada Amos mempunyai sebarang rancangan untuk mana-mana syarikat biskut lain di masa hadapan.